Pakatan Harapan: Empat persoalan, empat penyelesaian
oleh Liew
Chin Tong Saya kongsikan ucapan saya di
sidang meja bulat pembangkang tempoh hari berkaitan penubuhan Pakatan Harapan
supaya dapat memperdalam debat terbuka dengan lebih banyak perspektif. Saya
memberitahu sidang bahawa saya akan menyentuh empat isu klise yang kerap menjadi
persoalan. Pertamanya, adakah pakatan baru itu ditubuh tergesa-gesa? Sebenarnya, Pakatan Rakyat berakhir pada Jun 2015
walaupun sebenarnya ia gagal berfungsi untuk tempoh agak lama; setidak-tidaknya
sejak krisis Menteri Besar Selangor, atau mungkin lebih awal lagi. Jadi,
sebuah pakatan perlu segera ditubuh kerana pembangkang harus bersedia dengan
kemungkinan Umno menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan
menggantikannya dengan Datuk Seri Zahid Hamidi ataupun Tan Sri Muhyiddin
Yassin. Kerana ada lompong besar dalam kepimpinan politik Malaysia. Lebih
cepat diisi, lebih baik impaknya kepada rakyat yang mahu melihat pembangkang
sebagai pengimbang kepada kerajaan Umno. Yang kedua, mampukah pembangkang
menang pilihan raya akan datang dengan mudah? Ada berpendapat pembangkang
hanya perlu bersabar sementara kerajaan sedia ada hancur sendiri. Tak perlu buat
apa-apa buat masa sekarang, tunggu saja bertanding satu-lawan-satu pada pilihan
raya kelak. Kemenangan pasti diperoleh dengan mudah. Ada kenyataan menyebut:
“Bukan Pembangkang yang menang pilihan raya tapi Kerajaan yang kalah.” Pendapat
seperti ini mungkin ada betulnya tapi ia terlalu berserah. Mengharapkan
menang mudah boleh menyebabkan pengundi takut keputusan pilihan raya tidak
memihak kepada majoriti dan kembali memilih Umno apabila keadaan
mendesak. Jadi, pembangkang harus memupuk sokongan rakyat dan memperoleh
kepercayaan mereka untuk menggantikan kerajaan. Ketiga pula, bagaimana untuk
menang tanpa PAS? Ada juga suara klise betapa PAS memiliki pengaruh terbesar
dalam kalangan pengundi Melayu terutama masyarakat luar bandar. Maka tidak ada
gunanya pakatan baru tanpa penyertaan PAS. Tapi, kita mesti ingat, tanpa sayap
progresif mereka, PAS tidak mampu meraih sokongan pengundi Melayu bandar, apatah
lagi pengundi bukan Melayu. Kalau kita anggapkan saja “angin” politik memihak
kepada pembangkang, keputusan pilihan raya akan datang bergantung sama ada
pembangkang mampu mengalahkan Umno di 35-40 kerusi marjinal di
Semenanjung. Sekarang, Umno memegang 73 kerusi . Jika mereka hilang 40 kerusi
marjinal, ia menjadi titik penamat Umno sebagai kerajaan. Kerusi marjinal
kebanyakannya kerusi separa-bandar di pantai barat Semenanjung dan terdiri
daripada komposisi etnik bercampur. Kerusi-kerusi itulah yang sukar dikuasai
PAS yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang tanpa sayap progresif. Sudah
pasti Umno akan cuba mengulangi taktik yang diguna pakai pada pilihan raya 2013
dengan cuba menakut-nakutkan pengundi Melayu separa-bandar di kawasan kerusi
marjinal terhadap orang Cina. Walaupun taktik itu menjadi pada 2013, tak
semestinya ia menjadi sekali lagi pada pilihan raya akan datang. Lebih
penting lagi, pakatan pembangkang yang baru mesti menyakinkan pengundi Melayu di
kawasan separa-bandar betapa kerajaan baru lebih baik berbanding kerajaan Umno.
Dan, untuk menjadi lebih baik, perkauman tidak harus dijadikan isu. Sebaliknya, kepercayaan dan kesepaduan antara etnik dalam
kalangan rakyat Malaysia perlu dibina demi masa depan yang baru. Jika pakatan
baru pembangkang dapat membina kepercayaan dan kesepaduan rakyat terutama dalam
kalangan orang muda Melayu di kawasan separa-bandar, akan ada gelombang atau
tsunami yang akan menyingkirkan Umno buat selama-lamanya. Gelombang itu
secara dasarnya berkenaan ekonomi. Kita boleh lihat sendiri bagaimana gerakan
‘Baju Merah’ cuba memainkan isu ketidakseimbangan ekonomi antara orang Melayu
dan Cina. Suara mereka mungkin kedengaran bersifat perkauman tapi nada mereka
jelas berkaitan ekonomi. Pakatan baru pembangkang mesti menyakinkan rakyat
Malaysia bahawa amalan kronisme Umnolah yang menyebabkan masalah tiada
pekerjaan dan pendapatan yang mencukupi dalam kalangan orang muda Melayu. Ia
bukan disebabkan oleh orang Cina atau DAP, atau mana-mana hantu momok
lain. Contohnya, dengan kedatangan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang dibawa
masuk ke Malaysia oleh Zahid Hamidi dalam tempoh tiga tahun sejak 2016, akan
wujud persaingan yang mengakibatkan pengurangan pendapatan pekerja
Melayu. Kroni Umno untung tapi orang muda Melayu terseksa. Lebih-lebih
lagi, semua itu tiada kaitan dengan PAS. Ada banyak kerja yang menunggu tapi
melalui kepimpinan sekarang yang konservatif, PAS dijangka tidak berminat untuk
turut sama. Keempat, bolehkan PKR berperanan seperti Tengku Razaleigh Hamzah
(Ku Li) pada 1990? Ada pendapat salah dalam kalangan teman seperjuangan dan
penyokong pembangkang bahawa PKR boleh memainkan peranan seperti Ku Li dengan
menerajui dua pakatan berbeza pada satu masa. Pada 1990, Semangat 46 yang
dipimpin Ku Li bekerjasama dengan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah dan
dengan DAP dalam Gagasan Rakyat. Ketika itu, DAP dan PAS lebih tertumpu pada
kawasan masing-masing dan tidak ada perebutan tuntutan kerusi pilihan
raya. Namun, kali ini berbeza sama sekali. PAS dan Amanah akan bertembung dan
berebut kerusi pilihan raya. Secara dasarnya, PAS sedar dengan kenyataan betapa
Parti Amanah Negara (Amanah) berkembang pesat dan cuba menyingkirkan pengaruh
PAS. PAS tentu tidak akan membenarkannya. Begitu juga Amanah. Kedua-dua parti
itu tidak akan membenarkan PKR untuk menyediakan ruang untuk parti yang satu
lagi. Jelaslah, Malaysia memerlukan pakatan pembangkang yang mampu mengisi
lompong kepimpinan, seterusnya membentuk masa depan dengan polisi yang rasional
dan memimpin negara atas nama kesepaduan, bukannya perpecahan. Sudah tiba
masanya untuk bersikap jelas. Sudah tiba masa untuk bergerak ke depan dan
membentuk masa depan yang baru untuk Malaysia.
No comments:
Post a Comment