Tindakan Datuk Seri Najib Razak dalam
mengganggu siasatan berhubung sumbangan RM2.6 bilion yang beliau terima
menunjukkan wang itu diperolehi secara haram, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari
ini.
Bekas perdana menteri itu, yang kini merupakan
salah satu pengkritik tegar Najib, berkata ini adalah antara sebab mengapa
majoriti rakyat Malaysia menolak beliau sebagai perdana menteri dan "benci"
kepadanya.
"Tindakan Najib menghalang siasatan ke atas
wang RM2.6 bilion yang ada dalam akaun peribadinya, membuktikan wang ini
didapati secara haram.
"Jika didapati secara halal, Najib tidak perlu
takut siasatan diteruskan," tulis beliau di dalam blognya hari ini di bawah
tajuk "Wahai Ahli
Umno".
"Sesungguhnya majoriti rakyat menolak dan benci
Najib sebagai perdana menteri. Mereka tidak dapat terima dakwaan Najib yang
RM2.6 bilion yang ada dalam akaunnya adalah derma orang Arab."
Bekas perdana menteri yang berulang kali
mendesak Najib meletak jawatan berkata, pentadbiran sekarang menyebabkan nilai
ringgit merudum begitu teruk hingga harga barangan naik, inflasi meningkat dan
saham jatuh.
"Ramai sekarang ini sudah muflis. Beban ditokok
dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang menyebabkan harga barangan dan
khidmat naik lagi," katanya.
Bagi mereka yang mempunyai anak yang menyambung
pelajaran di luar negara pula, Dr Mahathir berkata, mereka terpaksa berbelanja
lebih besar untuk anak mereka memandangkan nilai ringgit yang makin merosot
ketika ini.
"Pembangunan negara diabaikan dan wang sebanyak
RM42 bilion dipinjam, dilabur secara tidak bijak dan berbilion ringgit sudah
tidak dapat dikesan.
"Yang diketahui ialah, Najib memiliki wang
sebanyak RM2.6 bilion dalam akaunnya di bank Arab-Malaysian. Sekarang wang ini
dipindah entah ke mana.
"Apabila siasatan dibuat oleh badan kerajaan
yang bertanggungjawab, Najib bubar badan-badan ini," katanya.
Dr Mahathir merujuk kepada lumpuhnya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan
pasukan petugas khas yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia serta Cawangan Khas Polis
Diraja Malaysia yang terlibat menyiasat kemelut 1MDB dan wang RM2.6
bilion.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menjelaskan, wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib diterima beliau dari
seorang penderma Timur Tengah.
Najib berkata, beliau menerimanya bagi pihak
Umno, dan bukan untuk kegunaan peribadi.
Tuduhan mengenai wang RM2.6 bilion itu mula
timbul dalam satu laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai, memetik
dokumen daripada penyiasat Malaysia.
WSJ berkata, sumber dana itu tidak diketahui,
tetapi ia berlegar di kalangan beberapa entiti berkaitan 1MDB dalam pelbagai
bahagian, sebelum dimasukkan secara berperingkat ke dalam akaun Najib pada Mac
2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei.
No comments:
Post a Comment