Thursday, September 17, 2015

Akhirnya pemimpin UMNO akui himpunan ‘baju merah’ demi selamatkan Najib, bukan Melayu



Beberapa pemimpin akar umbi Umno melihat himpunan ‘baju merah’ yang berlangsung pada Rabu lebih kepada mempertahankan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukannya maruah kaum Melayu.

Bercakap kepada The Malaysian Insider semalam mereka berkata, perhimpunan itu dianjurkan penyokong setia Najib untuk menunjukkan presiden Umno berkenaan masih mendapat sokongan ahli parti.

"Pada masa sama himpunan itu juga mahu mencari kambing hitam untuk masalah yang timbul kebelakangan ini.

"Najib dan konco-konconya terdesak untuk mencari pesalah dan kambing hitam berkaitan isu yang timbul," kata ahli Umno Cawangan Keliang, Hulu Selangor Moohamad Faizal Abdul Raub merujuk kepada serangan terhadap DAP dan kaum Cina secara umumnya.

Najib berdepan krisis keyakinan dan kepercayaan disebabkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terbaru berkaitan derma RM2.6 bilion mengakibatkan ramai ahli Umno sendiri berpaling daripadanya.

Najib juga dikritik badan anti rasuah asing pada forum Anti Rasuah Antarabangsa di Putrajaya yang dihadiri 1,000 peserta dari 30 negara.

Faizal berkata, isu dihadapi Umno pada ketika ini disebabkan kelemahan kepimpinan Najib dan skandal kewangan dihadapinya.

Penganjur himpunan mengatakan ia dianjurkan sebagai reaksi balas terhadap perhimpunan Bersih 4 yang diadakan di Dataran Merdeka selepas beberapa peserta dilihat memijak gambar Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Aktivis Umno dari Pokok Sena, Ramli Yunos bersetuju dengan Faizal himpunan baju merah bertujuan mempertahankan Najib di mana pimpinan yang hadir diketahui adalah penyokongnya seperti Datuk Ahmad Maslan dan Tan Sri Annuar Musa.

"NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang hadiri juga dipimpin parti dan yang friendly Barisan Nasional.

"Malah mereka ini juga yang menyokong kepimpinan Najib walaupun himpunan tersebut disulami dengan isu bangsa dan kepentingan Melayu," kata Ramli.

Ramli berkata, tidak dinafikan lagi sememangnya himpunan itu dihadiri dari kalangan Umno sendiri dan ia boleh dilihat daripada ucapan pemimpin yang hadir semasa himpunan baju merah itu.

Ahli Umno Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh pula mengatakan himpunan yang berlangsung semalam seolah-olah mahu menunjukkan Najib yang berdepan krisis dalam partinya masih mempunyai sokongan kuat walhal hakikatnya akar umbi sudah tidak lagi mempercayainya.

Asrul turut mempertikaikan tujuan sebenar himpunan baju merah itu dengan menyifatkan mesej yang cuba disampaikan tidak jelas.

"Motifnya tidak jelas, adakah ia untuk orang Melayu atau untuk Najib? Atau adakah untuk Jamal (Datuk Jamal Mohd Yunus) yang merupakan penganjur himpunan tersebut?" katanya.

Beliau juga menganggap himpunan itu sebagai tidak berfaedah, sebaliknya berkata jika mahu menunjukkan kekuatan sebenar kaum Melayu lebih baik berkumpul di masjid sembahyang berjemaah.

Himpunan baju merah semalam dianjurkan kumpulan silat Melayu, Pesaka dan disokong beberapa pemimpin Umno dan NGO Melayu, adalah penegasan terhadap dominan kaum tersebut.

Walaupun ia berjalan dengan aman di Padang Merbok, terdapat unsur provokasi berbau perkauman dengan poster dan kain rentang semasa himpunan berlangsung.

Malah, peserta himpunan juga melalui kawasan yang dilarang pihak berkuasa iaitu di Plaza Low Yat dan kekecohan juga tercetus di Jalan Petaling apabila sekumpulan peserta bertempur dengan polis sehingga meriam air terpaksa digunakan.

Dalam himpunan tersebut, pemimpin NGO dan Umno menggesa supaya maruah kaum Melayu dipertahankan dan menyerang parti lawan, DAP kerana mencabar kesabaran orang Melayu.

Namun, Faizal menyifatkan hujah-hujah berbau perkauman tanpa fakta sudah tidak laku dan berupaya untuk mempengaruhi sentimen orang Melayu, sebaliknya penyokong Umno mahu semua persoalan dijawab dengan fakta dan angka.

"Gen Y sekarang nak cakap guna fact and figure. Mereka tidak mahu ada pusing-pusing," katanya lapor The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment