Wednesday, September 23, 2015

Jangan jadi budak-budak, kata Pengerusi Penjaja kepada kepala 'Baju Merah'



Sebuah persatuan penjaja menyelar Datuk Jamal Md Yunos yang menjadikan dirinya bahan ketawa dan berkelakuan kebudak-budakan, selepas pemimpin 'perhimpunan baju merah' itu menuntut Jalan Petaling dibuka kepada peniaga Melayu.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Datuk Ang Say Tee akhirnya bersuara semalam, beberapa hari selepas 'perhimpunan baju merah' dianjurkan 16 September lalu, memberitahu Jamal yang orang Melayu turut mentertawakannya.

"Apa yang orang ramai akan fikirkan? Anda tidak boleh senang-senang berkata anda mahu, dan kami serahkan kepada anda. Orang Melayu juga mentertawakan cadangan beliau.

"Saya rasa kelakuannya seperti budak-budak, meminta sesuatu dari ibunya selepas diberitahu jangan," kata Ang kepada The Malaysian Insider.

Beliau juga berkata Jamal tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kenyataan tentang "imuniti" yang dikatakan dinikmati peniaga di tempat pelancongan popular dikenali sebagai Chinatown itu, dengan menuduh mereka mendapat sokongan pihak berkuasa walaupun menjalankan perniagaan haram.

Ang berkata, pihak berkuasa menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan itu dari semasa ke semasa, dan yang terbaru pada minggu lepas.

"Kami tidak benarkan penjualan produk palsu, dan jika peniaga berkeras melakukannya dan ditangkap, mereka perlu berurusan dengan pihak berkuasa sendiri," katanya.

Perhimpunan minggu lepas kecoh apabila sekumpulan penunjuk perasaan cuba merempuh benteng di Jalan Petaling sehingga memaksa pihak polis menggunakan tembakan meriam air bagi mengawal keadaan.

Chinatown sebelum itu diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh pihak berkuasa, dan banyak perniagaan ditutup hari itu kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini.

Jamal sebelum ini berkata, peserta perhimpunan kecewa dengan "imuniti" yang dinikmati peniaga di Jalan Petaling, dengan tiada tindakan diambil terhadap mereka walaupun menjalankan perniagaan haram.

Beliau juga menuduh mereka menjual produk tiruan dan video lucah.

Beliau turut mencadangkan supaya peniaga Melayu dibenarkan menjalankan perniagaan di Jalan Petaling dan bukannya membiarkan kawasan itu terus dimonopoli kaum Cina.

Jamal berkata dia pernah memohon untuk mendapatkan tempat menjalankan perniagaan di kawasan itu 10 tahun lalu tetapi ditolak.

Mengulas dakwaan ketua Umno bahagian Sungai Besar itu yang perniagaan di Jalan Petaling dimonopoli kaum Cina, Ang berkata peniaga Melayu dan India turut menjalankan perniagaan di sana, kebanyakannya menjalankan menjual makanan dan minuman serta surat khabar.

Beliau berkata sesiapa yang ingin membuka perniagaan di kawasan popular di pusat bandaraya Kuala Lumpur itu perlu mengemukakan permohonan kepada Datuk Bandar tetapi tiada jaminan ia akan diluluskan kerana semua 700 gerai sudah diambil.

"Anda juga perlu mengambil kira yang jika terlalu banyak perniagaan baharu di kawasan itu, ia akan memberi kesan kepada mata pencarian peniaga sedia ada yang berada di sana selama bertahun-tahun," kata Ang lapor The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment