Wednesday, September 2, 2015

Skandal 1MDB: Laporan polis dah lama tapi habuk pun tak ada – Khairuddin

 
Beliau menuntut polis memberikan status siasatan laporan yang yang telah dibuat terhadap Najib, Rosmah, Riza Aziz dan Jho Low berkaitan skandal 1MDB.
Khairuddin-Abu-Hassan,-igp,-najib,-mahathir
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar didesak supaya menjelaskan status siasatan laporan yang dibuat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Aziz dan Jho Low.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, laporan terhadap empat individu itu yang berkaitan 1MDB telah lama dibuat tetapi sehingga kini tiada perkembangan mengenai hasil siasatan.
"Saya mempunyai hak untuk mengetahui kedudukan atau status laporan polis ke atas Najib Tun Razak, Rosmah Mansor, Riza Aziz serta Jho Low.
"Tan Sri Khalid Abu Bakar tolong beri pencerahan dan jangan menyimpang dari asas sebenar kes skandal 1MDB.
"Jangan terlalu kalut dengan isu-isu lain! Laporan polis saya dah lama buat tapi habuk pun tak ada. Inilah imej polis masa kini yang sedang ditertawakan oleh seluruh dunia," katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebook.
Khairuddin berkata, sekiranya Khalid membuat kenyataan mahu memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menghadiri Bersih 4.0, mengapa polis tidak boleh memanggil Najib, Rosmah, Riza dan Jho Low?
"Apa istimewanya mereka ini? Kenapa PDRM pilih kasih dan praktik 'double standard' dalam siasatan mereka?," katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia sedang memerhati dan negara-negara luar juga sedang melihat pihak penguatkuasa negara ini yang tidak berkredibiliti, tidak telus, tidak adil, tidak professional serta tidak amanah.
Malah, katanya, kuasa eksekutif kita sudah disalah guna dalam menangani skandal 1MDB.
"Perkara yang patut diberi keutamaan untuk menyiasat polis tidak siasat. Perkara-perkara yang tidak patut siasat direka-cerita untuk menyiasat," katanya.

No comments:

Post a Comment