Ghairahnya mahu runtuhkan rumahtangga orang P;ej Usta Ahmad Awang
Kewujudan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga bagi calon-calon PAS dalam pilihan raya umum yang lalu adalah suatu yang misteri.
Pimpinan pusat PAS berkali-kali menafikan wujudnya baiah tersebut sejak 2009 lagi.
Terbaru tiga hari yang lalu setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS Datuk Nik Zawawi Salleh menegaskan bahawa mereka tidak pernah meluluskan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga itu.
Ini bererti PAS Kelantan tidak mematuhi keputusan MSU sekiranya benar baiah tersebut di kenakan ke atas wakil-wakil rakyat PAS di negeri tersebut.
Ini bermakna baiah sumpah baiah taklik talaq tiga tidak diperakui oleh ulama PAS sendiri.
Dan dengan sendirinya tindakan PAS Kelantan itu adalah bukti tidak walaknya mereka kepada kepimpinan ulama.
Maka tidaklah sepatutnya isu tersebut dibangkitkan oleh pimpinan PAS Kelantan khasnya apatah lagi pimpinan Pusat PAS amnya.
Kesungguhan sesetengah pemimpin PAS yang begitu ghairah mahu meruntuhkan rumahtangga di kalangan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang kini bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) menimbulkan kehairanan besar di kalangan masyarakat umum.
Seolah-olah mahu dipisahkan semua wakil-wakil rakyat ini dengan pasangan masing-masing tanpa sedikit pun ingin melihat hujah dan pandangan ahli fekah yang memberi jalan keluar kepada persoalan hukum menghiasi dada-dada media.
Tidaklah dinafikan adanya pendapat ahli fekah yang menghukumkan jatuh talaq dengan sumpah taklik oleh suami terhadap isterinya, tetapi ia tidak ada kena mengena dengan sifat taklik dalam baiah politik seperti yang dilakukan oleh PAS.
Lebih menyedihkan apabila mereka yang bersungguh-sungguh ini seakan-akan mahu membalas dendam dan ‘gembira’ melihat rumahtangga sahabat yang dahulunya berjuang dalam PAS, runtuh dan musnah.
Seakan-akan tiada ruang untuk hujah menyelamatkan rumahtangga ini dikedepankan.
Islam diwajahkan dengan pandangan yang cukup jelek seolah-olah politik kepartian Islam ini kerjanya mencerai-berai rumahtangga orang semata-mata dengan cuba menjadikan perjuangan politik Islam sebagai alasan untuk mewajarkannya.
Institusi keluarga
Institusi keluarga merupakan entiti penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan negara, bahkan terhormat dan mulia kedudukannya di sisi Islam.
Melindungi keluarga termasuk dalam kategori melindungi kehormatan dan zuriat keturunan yang merupakan salah satu daripada maqasid (tujuan-tujuan) syariah yang lima perkara.
Jelas bahawa keutuhan integriti keluarga merupakan sesuatu yang dilindungi dalam syariat Islam.
Walaupun perceraian antara suami isteri dibolehkan dalam Islam tapi itu adalah perkara yang hanya wajar dilakukan dalam suasana yang amat mendesak dan tidak ada jalan keluar yang lain untuk mengatasi masalah rumahtangga.
Bahkan dalam masalah perbuatan ilaa’ atau bersumpah tidak menyetubuhi isteri dalam tempoh lebih empat bulan pun jelas kesukaan Allah terhadap pernikahan berbanding penceraian.
Allah S.W.T berfirman (Al-Baqarah, 226-227):
“...kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Dan pada waktu mereka berniat memilih talak, maka Allah berfirman:
“Dan jika mereka berazam (untuk) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
Syeikh Muhammad Shalih Al-Utsaimin menyebut dalam Durus wa Fatawa Haramul Makki:
“Ini menunjukkan bahawa Allah tidak suka terhadap orang yang memilih jalan talak daripada kembali menyambung tali pernikahan.”
Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap orang yang menjatuhkan talaq tiga sekaligus adalah mempermain-mainkan kitab Allah.
“An-Nasai meriwayatkan dari Mahmud bin Labid: Bahawa ada seorang memberitahu kepada Rasulullah bahawa ada orang yang menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus. Baginda bangkit dengan berang seraya berkata: Apakah ada yang berani mempermain-mainkan kitab Allah sedangkan aku masih hidup di kalangan kamu? Kemudian seorang bangun dan berkata di hadapan Rasulullah: Biar aku bunuh dia wahai Rasulullah?”
Walaupun akhirnya sahabat itu tidak dibenarkan meneruskan hasratnya untuk membunuh pihak yang menjatuhkan talak, peristiwa ini menunjukkan bahawa soal hubungan suami isteri dan keluarga sesuatu yang tidak wajar dihubungkaitkan dengan sebarang kepentingan politik kepartian.
Ini demi menjaga keutuhan dan nama baik keluarga itu sendiri.
Allah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 89:
“Allah tidak menghukum kamu lantaran sumpah-sumpah yang kamu lafazkan secara tidak sengaja, tetapi Dia menghukum kamu lantaran sumpah yang kamu sengajakan. Bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.
"Sesiapa yang tidak berupaya untuk melunaskan denda tersebut, maka dia hendaklah berpuasa selama tiga hari. Ini sebagai denda penebus sumpah kamu apabila kamu terlanjur bersumpah. Oleh itu, berhati-hatilah apabila bersumpah. Demikianlah Allah menerangkan titah perintah-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur.”
Umat Islam dituntut agar berhati-hati berkaitan dengan sumpah ini dan tidak bermudah-mudah mengheret institusi dan kehormatan keluarga dalam pertarungan politik kepartian.
Maksud firman-Nya: “Jagalah dan berhati-hatilah terhadap amalan sumpah di kalangan kamu.”
Dengan perkataan lain, jangan mempermudah dan memperbanyak sumpah dalam budaya hidup kamu.
Dalam sumpah laknat, rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya, sesuai dengan perutusan Islam itu sebagai Rahmat untuk seluruh alam.
Bermohon istighfarlah dengan Allah. Sungguhpun mungkin si pelafaz sumpah telah memohon kecelakaan dan laknat terhadap dirinya, namun Allah bukan Tuhan yang suka-suka hendak menurunkan laknat kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengasihani.
Allah Maha Mengetahui bahawa sumpah itu bukanlah niat sebenar bagi calon itu melainkan hanyalah tatacara yang dipaksakan ke atasnya oleh partinya yang mahu memastikan calon itu patuh kepada parti berkenaan dan tidak melompat kepada parti lawan (Umno-BN).
Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang sama sekali tidak tunduk kepada kebencian dan kegeraman manusia pendendam yang mendoakan keburukan kepada orang yang hanya berbeza pendapat atau yang memasuki wadah politik Islam yang lain.
Apatah lagi si pelafaz sumpah berkenaan masih komited terhadap perjuangan Islam dengan wadah yang baru, bukanya melompat kepada parti lawan yang di maksudkan ketika melafazkan sumpah baiah dahulunya.
Realiti kerosakan masyarakat
Realitinya ketika ini, memang terdapat kerosakan masyarakat yang parah; rasuah dibudayakan demi memenangi tampuk kuasa dan pilihan raya.
Malah ada kerajaan yang sedia berkuasa di sesebuah negara lumrah membeli calon dan pemimpin dengan mengajukan rasuah bernilai jutaan ringgit.
Sehingga – dengan sebab itu – ada parti politik yang terlanjur melibatkan institusi keluarga untuk menjamin kesungguhan dan integriti calon mereka; agar tidak mudah dipujuk dan dibeli.
Mereka mengadakan semacam sumpah hingga mentaklikkan cerai isteri; baik satu atau tiga sekali gus dengan tindakan politik tertentu oleh penutur sumpah itu sendiri.
Amalan politik mempertaruhkan rumahtangga calon sememangnya tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.
Ia merupakan ciri warisan masyarakat jahiliah.
Kerana itu PAS sendiri melakukannya dalam keadaan misteri dan menyembunyikan amalan yang boleh mengaibkan imej parti.
Hubaya-hubaya meremeh bai’ah Oleh Subky Latif
AMAT memilukan betapa antara orang yang ditarbiyah bertahun-tahun meremehkan bai’ah yang setiap calon PAS amal selama ini. Ia sudah diadakan sebelum era kepimpinan ulama dan diteruskan setelah konsep kepimpinan ulama diwujudkan. Tiada siapa dalam PAS mempertikainya dan tidak ada calon yang menolaknya.
Tidak ramai yang masih hidup tahu bagaimana ia bermula. Tetapi PAS ada pengalaman apabila kerajaannya yang pertama di Terengganu ditumbangkan awal 1960-an apabila beberapa Adunnya menyokong undi tidak percaya kepada Menteri Besar Mohd Daud Abdul Samad yang diusulkan oleh Adun Perikatan, Ibrahim Fikri. Jemaah Islam itu mengira ia satu pengkhianatan. Ahli dan penyokong bertungkus lumus, berhabis menegakkan kerajaan yang pertama itu, ia tumbang oleh wakil rakyat yang tidak setia.
Mengutuk orang meninggalkan parti tidak berguna. Yang penting ialah membendung perbuatan yang tidak bermaruah itu. Cara terbaik ialah memperkenalkan bai’ah kepada calonnya. Antara kandungan bai’ah ialah mereka akan dilaknat Allah jika khianat. Kebelakangan ini ada yang menambah tertalak tiga isterinya. Ia tidak sekadar calon biasa, bahkan pemimpin dan tok guru melafazkan bia’ah itu.
Yang dikira khianat itu bukan calon yang menang saja, malah ada calon lari semasa kempen menyebabkan masuk pilihan raya dengan calonnya hilang. Mungkin yang meninggalkan PAS itu kerana marahkan ketua parti, tetapi ketika kerajaan PAS Terengganu tumbang itu ketua parti ialah Dr Burhanuddin alHelmy dan Prof Zulkifli Muhammad yang tidak pernah dicela oleh ahli PAS dulu dan sekarang.
Tiada calon yang membantah. Setengah calon masa dulu dipaksa jadi calon, tetapi tiada paksa berbai’ah. Mereka diberi pilihan berbai’ah untuk menjadi calon. Jika mereka kira ia dipaksa, mereka boleh tarik diri dari bertanding. PAS boleh gantikan dengan calon lain. Tidak ada yang menolak bai’ah.
Ada mufti dari Perlis dan Pulau Pinang mengira bai’ah hingga tertalak tiga isteri tidak laku di sisi agama. Maka pandangan mufti dijadikan sandaran bagi wakil rakyat dan setengah pemimpin untuk berpisah dengan PAS. MP dan Adun tidak merasa perlu meletak jawatan setelah meninggalkan parti. Ia dirasakaan tidak khianat, tidak tertakluk dengan laknat yang pernah dilafazkan dan tidak tercerai isterinya.
Bagus dan bertuahlah kiranya ia tiada apa atau tidak laku. Tetapi kalau laku seperti yang hakim syariah Kelantan kata, macam mana. Saya teringat tentang perli seorang mahasiswa terhadap rakannya yang tak tinggal solat dan puasa. Bagaimana dengan solat tunggang-tonggeng setiap hari, bila mati, tiada neraka dan tiada syurga. Jawab kawan itu, jika tiada syurga dan neraka, dia tidak apa-apa. Bagaimana kalau ada? Ia tidak rugi, sebaliknya yang tidak solat dan tidak puasa akan rugi. Terdiam orang yang meremehkan syurga dan neraka itu.
Jika bai’ah itu laku orang yang dikira khianat itu akan berdepan dengan laknat dan isterinya tercerai. Jika dia tidak percaya bai’ah itu laku, dia akan bersekedudukan dengan jandanya secara tidak sah, justeru perkahwinannya sudah terbubar.
Cerai itu pula talak tiga. Untuk berbalik semula, janda itu kena kahwin lain dulu. Kalau suami isteri itu tidak mahu bercerai, maka Waibi akan kehilangan isterinya terus. Ada sistem yang menggunakan Cina buta. Yang jantan mengambil upah. Lepas nikah dicerainya. Tetapi pandangan masyhur ulama, Cina buta itu tidak laku. Macam nikah mutaah yang diamalkan oleh Syiah dulu.
Ada yang mengira pelanggaran bai’ah itu dapat ditebus dengan memberi makan sejumlah orang miskin. Adakah terhapus pantang itu dengan memberi makan saja sedang kerusi yang dibawa lari tidak dipulangkan? Atau tidak gugur talak? Jika menjamu makan dibolehkan, maka ini ertinya dia mengakui pelanggaran telah dilakukan. Jika pelanggaran itu diakui, tidak memadai sekadar menjamu makan, tetapi dia mesti menyatakan penyesalan dan minta maaf kepada sekalian yang terlibat, pulangkan balik kerusi dan mengaku tidak akan mengulanginya lagi. Atau kembali semula ke pangkuan PAS, taubat dan kemudian berjamu. Tetapi sekadar mengaku taubat, tidak minta maaf, tidak menyesal, sama seperti orang mengaku taubat, lepas itu dia terus langgar taubatnya.
Mungkin juga pendapat dua mufti itu laku. Tetapi mufti yang lain diam. Majlis mufti tidak pula membincangkannya. Mufti itu juga ulama. Maka mereka boleh berbeza panangan dengan ulama yang lain. Kemudian orang boleh menimbang pandangan ulama mana lebih kuat. Kita kena tanya mufti yang dua tu dulu. Cara mana pandangan itu mereka buat. Adakah sekadar ilmu yang ada dan kitab fekah yang dibaca dan ada kajian yang luas?
Terutama mufti Perlis yang diketahui seorang warga universiti. Orang universiti biasanya dia ada kajian termasuklah menemui pihak yang ada hubungan berkaitan. Ilmu dan pengetahuan saja tidak cukup. Dia mesti jumpa Majlis Syura Ulama PAS, tanya mengapa mereka buat begitu dan begini? Apa yang medorongkan Dr Burhanuddin dan Prof Zulkifli dulu buat begitu? Dan bagaimana ulama zaman Dato’ Asri Muda putuskan bai’ah itu?
Macam mana Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato’ Dr Haron Din dan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang luluskan bai’ah sedemikian. Mufti adalah atas dari kadi dan hakim syariah. Hakim tidak jatuhkan hukum sebelum mendengar kesaksian yang dituduh, peguam bela dan pendakwa. Dalam sejarah ulama rasmi atau ulama yang mendekati umarak tidaklah sama bisanya dengan ulama bebas dan yang tidak makan gaji. Ulama bebas itu menjauhkan diri dari umarak kerana celakalah ulama yang mendekati umarak. Bahagialah umarak yang mendekati ulama tetapi kurang bahagiannya bila umarak itu mendekati ulama yang mendekatinya siang dan malam.
Mufti yang makan gaji luas pengalamannya dengan semua hukum hakam dan pentadbiran yang berkaitan bidang kuasanya. Tetapi mereka tidak ada pengalaman menjaga orang politik. Ulama PAS kaya dengan pengalaman politik dan kerenah orang politik bersamanya. Antaranya ialah menghadapi rakannya yang lari dari jemaah.
Abu Hurairah, Imam Bukhari, Imam Muslim kaya dengan ilmu hadis tetapi tidak sama dengan Sayidina Umar al-Khatab, Ali Abu Talib dan Umar Abdul Aziz yang tidak sekadar mahir dengan ilmunya tetapi mentadbir dengan ilmunya. Para khalifah dan gabenornya tidak sekadar memanfaatkan ilmunya tetapi berijtihad dalam perkara yang tidak ada dalam al-Quran dan hadis.
Itulah lebih ulama yang berpolitik. Apapun pandangan mufti tentang bai’ah itu menjadi rujukan kepada setengah orang PAS yang hendak lari dari bai’ahnya. Jika 50,000 orang tidak menghargai bai’ahnya, besar jasa mereka pada perkembangan politik umat. Mungkin bai’ah itu tidak wajib, tapi samalah ia tidak wajib taklik bagi setiap pengantin laki-laki. Mengapa taklik yang mungkin dikira bidaah oleh setengah orang disyaratkan oleh pentadbiran syarak? Tentu ada muslihatnya.
Hubaya-hubaya meremehkan bai’ah, takut tertipu diri sendiri. Elakkan berloyar buruk. Bukan orang lain yang binasa. Takut kita sendiri binasa. -Detikdaily via harakahdaily
ULASAN GB
GB sengaja membawa dua tulisan di atas, satu dari Ust Ahmad Ahmad Awang, seorang tokoh ulama yang bertahun-tahun menjadi Presiden Persatuan Ulama Malaysia ndan kini Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Kawasan Asia Fasifik yang pernah menjadi Naib Presiden PAS. Manakala tulisan yang satu lagi oleh penulis politik veteran, Subky Latif yang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah.
Jelas kepada kita tulisan Ustaz Ahmad Awang sarat dengan nas-nas aqli dan naqli, manakala tulisan Subky Latif hanya bersandarkan emosi dan setimen politik semata-mata.
Di dalam satu tulisannya yang lain, Subky menyatakan memperlecehkan ulama dibimbangi datang "tulah". Tetapi ternyata Subky sendiri memperlecehkan ulama seperti Ustaz Ahmad Awang.
Bagi orang-orang PAS termasuk Subky, ulama hanya ada dalam PAS. Kalau tidak menyertai PAS atau sudah keluar dari PAS maka seseorang itu tidak bergelar ulama lagi(?)
Hatta, Ketua Ulama Sedunia, Sheikh Yusof Al-Qardhawi tidak diiktirafkan sebagai ulama oleh orang-orang PAS. Kerana Sheikh Yusof Qardhawi menyatakan [VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud. Tetapi bagi orang PAS, hudud perlu ditegakkan dahulu dan sesiapa menangguhkannya dianggap sebagai penentang hudud.
Begitu juga di dalam soal Baiah Talak. Dr Yusuf Al-Qaradawi apabila ditanya berkaitan Isu Cerai Ta'liq, beliau menjawab dengan kenyataan berikut :-
"Sesungguhnya pandangan yang saya berpegang padanya dan yang telah saya fatwakan sejak bertahun lamanya adalah -
SESUNGGUHNYA TALAK MUAALAQ YANG TERIKAT TALAQ ITU DENGAN SESUATU ATAU LARANGAN SESUATU (BUKANLAH TALAQ YANG DISYARIATKAN OLEH ALLAH S.W.T) UNTUK MEMISAHKAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI.
AKAN TETAPI IA BERKAITAN DENGAN SUMPAH. SEKIRANYA JIKA DIA MELANGGAR SUMPAH ITU MAKA CUKUPLAH BAGI DIA UNTUK MEMBAYAR KAFARAH SUMPAH IAITU (Memberi 10 Makan Orang Miskin @ 10 Orang Pakaian)
Pandangan ini adalah pandangan sebahagian SALAF yang dirajihkan oleh Ibnu Taimiyyah Dan Anak Muridnya Imam Ibn Qayyim. Pandangan ini saya pilih dan rajihkan. Saya melihat ianya sesuai dengan Ruh Islam. Pandangan ini juga adalah pandangan ramai AHLI ILMU dan AHLI FATWA dizaman kita ini. RUJUKAN : Dr Yusuf Al-Qaradawi, Fatawa Muasirah, Jil 3, M/s :342, Cetakan Darul Qalam Linnasyar Wa Tauzi' KUWAIT. 2013
Tetapi PAS bersakit-sakit menyatakan jatuh talak tiga bagi wakil rakyat yang melompat parti. Kerana apa? Bukan kerana ilmu, tetapi kerana sakit hati, dengki hati dan dendam kesumat yang tak terperi.
Lagipun tujuan asal baiah talak ialah untuk menghalang seseorang wakil rakyat itu untuk melompat ke parti UMNO/BN. Apa yang berlaku wakil-wakil rakyat berkenaan TIDAK melompat ke parti UMNO BN, Mereka berpindah kepada parti Islam yang lain iaitu Parti Amanah.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment