Thursday, September 3, 2015

PKPIM tuntut PM jawab dua soalan dengan jujur

 

Oleh Mohammad Fazril Mohd Saleh

PKPIM merujuk ucapan José Ugaz, Presiden Transparency International (TI) dalam P
ersidangan Anti-Rasuah Antarabangsa (IACC) yang berlangsung pada 2 September, 2015 di Putrajaya.
Beliau dengan jujur menegur kerajaan Malaysia agar tidak hanya memberikan janji manis untuk melakukan perubahan dalam membanteras rasuah.

 Segala tindakan dan inisiatif membanteras rasuah tidak akan berjaya selagi dua soalan asas tentang isu RM 2.5B (USD 700M) belum terjawab secara tuntas: 1) Siapa yang membayar wang tersebut ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib?; dan 2) Untuk tujuan apa ia dimasukkan? Meneliti kronologi kes ini dari awal, Najib tidak pernah konsisten dalam jawapan beliau. Setelah satu per satu informasi bocor, maka muncullah pelbagai jawapan untuk menutup "lubang" yang beliau cipta sendiri. Rombakan Jemaah Menteri yang berlaku secara tiba-tiba, dengan pengguguran orang nombor dua ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara terbuka mengkritik isu 1MDB, pengguguran Peguam Negara, penahanan dan siasatan terhadap pegawai penyiasat SPRM dan arahan pertukaran tugasan penjawat awam yang terlibat dengan penyiasatan kes memperlihatkan "belang" sebenar Najib.

PKPIM mewakili para pelajar dan mahasiswa Islam di Malaysia berasa jelek dengan sikap dan tindakan Perdana Menteri ini. Kami mendambakan seorang pemimpin tertinggi negara yang berketerampilan, progresif, amanah, transparen dan berintegriti. Kegagalan Perdana Menteri memberi penjelasan secara tuntas dan sikap berdolak dalih sudah menghilangkan kepercayaan kami terhadap kepemimpinan beliau. Kami tuntut Perdana Menteri bertindak sewajarnya dalam menjawab kemelut ini atau letak jawatan secara sukarela. Jangan tunggu sampai dijatuhkan.
Kepada Jemaah Menteri, kami menasihatkan agar berpihak kepada kebenaran. Sudah-sudahlah mempertahankan kesalahan dan kebatilan. Bak kata pepatah Melayu, "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga". Kebenaran akan muncul, dan yang bersalah akan dihukum. Jangan sampai para menteri sekalian turut dihukum akibat bersubahat.

Kepada rakyat, ingatlah kita sekarang berada dalam suasana susah, payah dan sukar. Disebabkan skandal besar negara para pemimpin yang khianat dengan amanah rakyat, kita semua terpaksa menanggungnya. Justeru, menjadi tanggungjawab kita membetulkan keadaan demi hidup dan masa depan kita.
Rasuah musuh negara. Ketidaktelusan Perdana Menteri dalam menjawab persoalan tentang isu ini "membangkitkan spekulasi" PM menerima rasuah. PKPIM sekali lagi menuntut jawapan untuk dua soalan tadi: siapa beri, dan untuk apa?

No comments:

Post a Comment