Sekumpulan individu berpakaian berwarna merah "menyerbu" forum pasca Bersih 4 yang turut menampilkan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, beberapa wakil rakyat pembangkang dan aktivis di Bayan Baru, Pulau Pinang malam ini.
Mereka dilihat memasuki Dewan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kira-kira jam 9.25 malam ketika aktivis Adam Adli Abdul Halim sedang berucap.
Kira-kira 40 individu berkenaan disambut hos program itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang berkata forum itu terbuka kepada semua orang.
Hadirin terutamanya yang terdiri daripada warga emas, bertepuk tangan menyambut kehadiran kumpulan itu ke forum "Pasca Bersih 4: Di manakah hala tuju Malaysia?".
Kumpulan itu yang terdiri daripada anak muda berdiri di belakang hadirin yang memenuhi hampir keseluruhan dewan berkenaan dan mendengar ucapan Adam.
Ketika Adam mengakhiri ceramahnya, Sim menjemput Ketua Penerangan Umno Bayan Baru Datuk Mohd Ridzwan Bakar untuk memberikan ucapan.
Pemimpin Umno terbabit tampil ke depan dan bercakap secara ringkas tentang isu-isu Melayu seperti masalah setinggan di Bayan Baru.
Ketua Penerangan Umno Bayan Baru Datuk Mohd Ridzwan Bakar tampil memberikan ucapan ringkas pada forum pasca Bersih 4 tentang isu-isu Melayu seperti masalah setinggan di Bayan Baru.
Ketua Penerangan Umno Bayan Baru Datuk Mohd Ridzwan Bakar tampil memberikan ucapan ringkas pada forum pasca Bersih 4 tentang isu-isu Melayu seperti masalah setinggan di Bayan Baru.
Ridzwan berkata, itu antara isu-isu yang mengecewakan anak muda Melayu dan menjadikan mereka marah malah beliau memberi jaminan mereka berada di sini bukan untuk menimbulkan kekacauan tetapi hanya mahu mendengar apa yang ahli Parlimen Sim katakan.
"Saya tidak mahu bercakap panjang. Kami hanya mahu mendengar pengisian dalam ceramah ini. Kita berada di sini bukan untuk mengganggu majlis itu.
"Malah semalam pada perhimpunan itu, tiada siapa yang memijak gambar pemimpin DAP. Tetapi apabila beberapa peserta memijak gambar pemimpin kami, kami berasa marah. Jangan sesekali berbuat seperti itu lagi," katanya sambil disambut dengan sorakan kumpulan terbabit dan melaungkan "Allahuakbar".
Kedua-dua pihak kemudiannya menayangkan gambar untuk menunjukkan niat baik namun hanya beberapa saat selepas itu kekecohan berlaku susulan perbezaan pendapat yang melibatkan Ketua Penerangan PKR Bayan Baru Mohd Aidil Fitri Ibrahim dan seorang lagi ahli Umno Azlizam Ahmed Jalaluddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan dan Keselamatan Sungai Kluang .
Azlizam menunjukkan posting di laman Facebook milik Aidil baru-baru ini yang menuduh Umno Bayan Baru mengenakan tambang bas untuk membawa penyokong ke perhimpunan “baju merah” semalam sebagai contoh mereka tidak mempunyai duit untuk membayar peserta.
Azlizam berkata perkara itu tidak berlaku dan meminta Aidil, yang sudah lama dikenalinya untuk meminta maaf kerana membuat dakwaan itu.
Ketika Aidil berkeras melakukannya, satu pergelutan kecil tercetus dan sekumpulan ahli berbaju merah tersebut mula membuat bising. Sim dan penganjur forum itu cuba menenangkan pergelutan itu.
Beberapa anggota polis yang berada di dalam dewan bertindak meleraikan keadaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Aidil akhirnya tampil ke depan dan memohon maaf atas postingnya itu dan kumpulan terbabit meninggalkan dewan atas nasihat polis.
Ridwan dan Azlizam sempat mengikuti forum itu sebelum beredar dalam beberapa minit dan bertemu dengan media untuk menerangkan apa yang sebenarnya berlaku.
"Ia adalah mengenai percanggahan pendapat antara kedua-dua pihak. Mereka adalah dari kampung yang sama.
"Terdapat kira-kira 80 orang kami di sini. Kami tidak datang kerana perbezaan pendapat antara mereka. Kami datang sebagai penduduk Bayan Baru," katanya sebelum meninggalkan dewan.
Forum itu diteruskan, dengan Sim mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas bantuan mereka.
No comments:
Post a Comment