Thursday, September 26, 2019

KENAPA MAKIN RAMAI CUBA HASUT TUN M MUNGKIR JANJI ATAU MUFTI PERLIS SEKADAR PEMBAWA SUARA SHAHIDAN KASSIM?


Dari semasa ke semasa, semakin dekat janji peralihan kuasa menemui titik kenyataan, ternampak semakin ramai yang mahu Tun Mahathir Mohamad memungkiri janji penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.
Terbaru, walaupun tidak menyebut dan hanya ditulis secara umum, tetapi tidaklah sukar untuk memahami bahawa surat terbuka Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin juga mempunyai maksud yang sama.
Meskipun beliau mengatakan tulisannya adalah bersifat umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa, namun berdasarkan konsensus penyerahan jawatan kepada Anwar sudah pun ada sebelum PRU14 lagi, maka apabila memperkatakan tentang peralihan kuasa yang sudah ada persetujuan itu, tentulah ia ditujukan kepada Anwar.
Jika tidak ada konsensus penyerahan jawatan secara khusus kepada Anwar, rasanya tidak mungkin Dr Asri ada idea untuk menulis surat terbuka ini kepada Perdana Menteri.
Mufti Perlis seolah-olah cuba menasihatkan Tun Mahathir agar lebih memikirkan redha serta murka Allah daripada menunaikan janji kepada Anwar yang disifatkannya sebagai rakus, tamak kuasa dan sebagainya.
Soalnya, daripada kasyaf mana dan daripada penilaian kaca mata apa beliau melihat Anwar sebagai seorang yang rakus dan tamak kuasa?
Apakah beliau benar-benar yakin bahawa jika Anwar menjadi pengganti Tun Mahathir, keadaan negara akan menjadi lebih buruk daripada sekarang?
Ataukah tulisan beliau atas nama mufti itu sekadar membawa mesej Shahidan Kassim, Pengerusi Perhubingan UMNO Perlis yang difahami mahu PH berbalah dan dengan demikian akan memudahkan BN merampas semula kuasa dalam PRU15 akan datang?
Dalam erti kata yang mudah juga, Dr Asri, sebagaimana ramai yang lain yang sebelum ini menolak penyerahan jawatan kepada Anwar, mereka dengan jelas cuba menghasut Tun Mahathir agar memungkiri janji yang telah dipersetujui dalam PH.
Kalau orang politik menghasut orang politik untuk mungkir janji, mungkin boleh difahami maksud dan tujuannya.
Tetapi, apa untungnya seorang mufti dengan jubah dan kopiah juga turut melakukan kerja-kerja menghasut ini?
Apakah mereka sanggup menanggung dosa Tun Mahathir jika akhirnya pemungkiran janji itu benar-benar berlaku?
Dalam janji politik, jika mahu, Dr Wan Azizah Wan Ismail pun boleh mungkir janji apabila beliau ditawarkan oleh Yang Dipertuan Agong untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana sebaik kemenangan PH pada 9 Mei 2018 lalu.
Meskipun PKR memiliki kerusi Parlimen majoriti dalam PH, namun oleh kerana berpegang kepada janji konsensus bahawa Tun Mahathir adalah calon Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah tanpa ragu-ragu memilih untuk akur dengannya dan menolak permintaan Agong itu.
Hendaklah difahami, selain janji Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri, kedudukan Anwar sebagai bakal Perrdana Menteri ke-8 juga adalah janji dan muafakat yang dipersetujui oleh PH, bukannya janji Tun Mahathir seorang diri.
Kenapa jika Dr Wan Azizah boleh patuh kepada janji PH, ada pula yang gatal tangan, termasuk Mufti Perlis sanggup menulis cuba menghasut Tun Mahathir menjadi pemungkir janji?
Adakah mereka ini mahu Tun Mahathir berkelahi sekali lagi dengan Anwar dan seterusnya mungkin mengkibatkan kematiannya berakhir dengan kehinaan?
Selain itu, jika mereka mahu Tun Mahathir mungkir janji kepada Anwar, mereka mahu siapa sebenarnya sebagai Perdana Menteri ke-8.
Azmin Ali?
Mukhriz Mahathir?
Muhyiddin Yassin?
Kalau betul-betul ikhlas, beranikanlah diri menyebut nama yang dirasakan lebih layak daripada Anwar itu!!! (Shahbudindotcom 26/09/2019)

KENAPA SETELAH LEBIH TIGA BULAN, BARU KHIDMAT PAKAR MAHU DICARI?


Ini adalah kenyataan terkini Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berhubung status siasatan berkenaan video seks sejenis yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Beliau berkata, polis sedang mendapatkan khidmat pakar untuk menganalisis kandungan video seks tersebut.
“Arahan sudah dikeluarkan, kami sedang dapatkan khidmat pakar untuk menganalisis kandungan video itu.
“Untuk jalankan siasatan dalam kes sebegitu tinggi sudut teknikal bukan senang, sebagai Ketua Polis Negara, saya tidak ada kepakaran itu,” katanya lagi.
Seterusnya, Abdul Hamid menegaskan, “hanya selepas itu kami akan bawanya ke mahkamah dan kemuka semua bukti yang kami ada”.
Setelah berlarutan lebih tiga bulan tanpa ada sebarang keputusan dan rakyat terus tertanya-tanya, sekali lagi berdasarkan kenyataan Abdul Hamid ini, hakikat paling mudah untuk difahami ialah siasatan masih memerlukan lebih masa untuk disiapkan.
Tetapi, yang menimbulkan persoalan, mengapa hanya setelah lebih tiga bulan berlalu, baru mahu mendapatkan khidmat pakar?
Kenapa khidmat pakar tidak dicari sejak awal lagi?
Berapa lama pula usaha untuk mencari dan mengenalpasti pakar itu?
Apakah mungkin tempoh tiga bulan juga diperlukan untuk tujuan itu?
Setelah pakar diperolehi, berapa bulan lagi diperlukan untuk pakar tersebut menjalankan kerjanya dan menghantar laporan kepada polis?
Setelah laporan diperolehi, berapa lama lagi sebelum ia dapat diumumkan?
Akhirnya, bolehkah kita meletak harapan menjelang pertengahan tahun 2020 akan datang di mana ketika itu penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim sepatutnya sudah berlaku, siasatan kes video seks ini sudah ada keputusannya? (Shahbudindotcom 25/09/2019)

“TERIMA HAKIKAT, WAWASAN 2020 GAGAL, PERANG BASMI KEMISKINAN GAGAL”


Sungguh sedih Sidang Parlimen penggal ketiga tahun 2019 yang bermula pada 7 September, iaitu empat hari sebelum pembentangan Belanjawan Negara 2020 oleh Menteri Kewangan pada Jumaat 11 September 2019 isu memerangi kemiskinan menjadi fokus perbahasan di parlimen.
Sepatutnya tahun 2020 adalah tahun Malaysia menjadi negara maju seperti yang diimpikan oleh Wawasan 2020 sejak 30 tahun yang lalu, 1990.
Sepuluh tahun terakhir Wawasan 2020 dari 2009 hingga 9.5.2018 kita diperintah oleh sebuah kerajaan yang dipanggil kleptokrasi yang mana gerombolan pucuk pimpinan berkuasa beserta parti politiknya mencuri khazanah negara.
Sejak tahun 1970 apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan dengan satu dari dua tujuan utamanya iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, kita telah mencapai sedikit kemajuan dalam usaha itu.
Tetapi mulai akhir tahun 1980an terutama selepas peristiwa sedih Operasi Lalang dan perpecahan di dalam Umno, kita melihat satu fenomena baru di mana DEB telah dirampas oleh klik berkuasa yang bersifat oligarki menjadikan DEB satu dasar untuk mengkayakan segelintir elit ekonomi dan politik sama ada Melayu atau Bukan Melayu menjadi super kaya atau ultra kaya.
Mereka hijack atau rampas tujuan asal DEB. Maka terbitlah golongan kroni dan sistem crony- Capitalisme. Akhirnya DEB gagal. Wawasan 2020 gagal.
Dalam situasi inilah, kita selama ini didodoi oleh Kerajaan BN sejak 60 tahun yang lalu dan para Eksekutif Kerajaan Malaysia sejak setahun setengah yang lalu bahawa perang membasmi kemiskinan di Malaysia telah berjaya kerana kadar keniskinsn itu tak sampai 1% iaitu hanya 0.4% sahaja.
Rupa-rupanya kita rakyat negara ini termasuk Ahli ahli parlimen ditipu dengan angka statistik.
Hanya apabila kita dikejutkan oleh laporan rasmi Wakil khas dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyatakan data rasmi kerajaan bahawa kadar kemiskinan di Malaysia 0.4% adalah silap dan tidak tepat, yang sebenarnya ialah pada kadar 15% barulah kita semua tersedar dari mimpi indah yang palsu.
Malaysia masih gagal memerangi kemiskinan sejak DEB diperkenalkan 50 tahun yang lalu. Kerajaan baru Malaysia jangan lagi berada dalam denial mode atau mod penafian.
Terima hakikat, kita sebagai satu negara bangsa telah gagal mencapai objektif utama DEB iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
Kita perlu merangka satu dasar ekonomi yang benar-benar dapat membasmi kemiskinan rakyat. Ini merupakan satu tugas besar kerajaan Pakatan Harapan sekarang.
Sebagai seorang Ahli Parlimen saya teruja untuk membantu kerajaan yang memerintah sekarang untuk memerangi kemiskinan.
Bercakap sahaja tidak berguna, kini adalah masa untuk bertindak. Guballah dasar baru membasmi kemiskinan itu sekarang juga.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
25.9.2019.

Saya mungkin ada lagi tiga tahun paling lama, kata Mahathir


News  |  Diterbitkan   |  Dikemaskini 
Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mempunyai banyak masa untuk menyelesaikan banyak perkara.
Bercakap pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York, semalam, Dr Mahathir menegaskan beliau akan melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
“Saya bekerja 18 jam sehari kerana saya tidak mempunyai banyak masa.
“Saya janji akan berundur sebelum PRU akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada lagi tiga tahun paling lama.
Iklan

“Dalam tempoh tiga tahun itu, saya perlu menyelesaikan banyak perkara,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.
Mandat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu akan berlarutan hingga 2023, sekali gus menyaksikan PRU-15 bakal diadakan pada atau sebelum itu.
Mengikut konsensus PH sebelum PRU14, Dr Mahathir akan dilantik sebagai perdana menteri dan kemudiannya menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Anwar. Namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.
Dr Mahathir sebelum ini juga pernah menyatakan bahawa beliau akan berundur selepas dua tahun memegang jawatan perdana menteri.
Portal itu turut melaporkan Dr Mahathir sebagai berkata, beliau tidak pasti jika penggantinya boleh melakukan dengan baik dan mengungkit kekecewaan terhadap penggantinya ketika berundur pada 2003.
“Saya tidak boleh menjamin orang yang menggantikan saya akan melakukan dengan baik, atau mungkin tidak terlalu baik.
“Saya tidak boleh jamin, tetapi kita boleh melaksanakan jentera yang betul.
“Jika anda bekerja mengikut sistem itu, saya fikir kita boleh mencapai matlamat status negara maju menjelang 2030,” katanya.
Beberapa minggu lalu, dalam temubual bersama Bloomberg, Anwar berkata beliau menjangka akan menyandang jawatan perdana menteri sebelum 2020.
Presiden PKR itu turut menjelaskan tiada tanda mana-mana parti yang memperkenalkan, mempromosikan atau melobi orang lain untuk jawatan itu.
Polemik itu terjadi susulan Dr Mahathir dikatakan memilih Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali sebagai pilihan kedua untuk menggantikannya.
Bagaimanapun, Azmin yang terpalit dakwaan isu video seks menyukarkan rancangan tersebut.
Azmin yakin video berkenaan merupakan kerja orang dalam PKR yang mahu merosakkan kerjaya politiknya dan polis turut mendakwa seorang pemimpin parti politik menjadi dalang di sebalik video itu.
Polis masih menyiasat perkara ini namun Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendakwa proses pengenalan wajah gagal mengaitkan Azmin dengan video itu.
Anwar berulang kali menafikan terlibat dalam video seks itu walaupun setiausaha politiknya antara yang ditahan dalam hubungannya dengan kes berkenaan.

Ketika Umno anggap syahid, PAS serah pada pihak berautoriti


News  |
PAS melahirkan kebimbangan sekiranya provokasi berhubung kematian pekerja kilang dalam kejadian amuk di Bayan Lepas jika tidak dibendung boleh mengundang kepada konflik perkauman yang lebih kritikal, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS itu menggesa semua pihak memelihara keharmonian negara dan tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dalam menghadapi provokasi isu agama dan kaum.
Beliau meminta orang ramai supaya bersabar dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Iklan

"Tular pelbagai versi maklumat di media sosial mengenai insiden tersebut sehingga ramai orang membuat pelbagai kesimpulan tertentu.
"PAS juga meminta rakyat supaya serahkan kepada pihak yang lebih berautoriti untuk menentukan status syahid. Rakyat awam tidak mempunyai kedudukan sah untuk menentukannya.
"Sekiranya hal ini tidak dibendung dengan segera, PAS bimbang rakyat akan terus mengapi-apikan isu ini sehingga boleh mencetuskan konflik perkauman yang lebih kritikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi dalam ceramah di Kubang Kerian, Kota Bharu semalam menyifatkan penyerang yang ditembak mati selepas mengamuk di Pulau Pinang sebagai syahid.
Nurul Amal Mohd Fauzi 
Insiden amukan berlaku 23 September lalu apabila penyelia bahagian kawalan kualiti maut manakala seorang pengurus keselamatan parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian di sebuah kilang di Bayan Baru.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan menyerang kedua-dua mangsa sebelum dia ditembak mati sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek yang juga pekerja di kilang berkenaan dikatakan seminggu tidak hadir bekerja dan pihaknya dimaklumkan lelaki itu telah menghantar surat peletakan jawatan yang berkuat kuasa penghujung September ini.
Pagi tadi, Bukit Aman memaklumkan pihak Polis telah menahan tiga lelaki yang memuat naik kenyataan berbaur perkauman di media sosial berhubung kematian seorang lelaki Melayu dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 23 September lalu.
Timbalan Pengarah Forensik/Databank/ DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan masing-masing ditahan di Pulau Pinang dan Kedah.
Beliau berkata, ketiga-tiga mereka ditahan pada 26 September selepas laporan polis dibuat pada 25 September dan kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi permohonan reman.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, Malaysia mempunyai peruntukan perundangan untuk mengatasi isu ini dan ia wajib dipatuhi oleh semua pihak.
"Sikap cabar mencabar, memprovokasi dan balas dendam akan mengeruhkan situasi.
"Hentikan sebar sebarang spekulasi yang akan menjurus kepada andaian yang tidak tepat," katanya.

Polis siasat dakwaan Puteri Umno ‘lelaki berparang mati syahid’

Polis akan menyiasat dakwaan pemimpin Puteri Umno yang menyifatkan kematian seorang penyerang berparang yang mengamuk di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang sebagai mati syahid.
Walau bagaimanapun, kata Timbalan Pengarah Forensik/Databank/ DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, DCP Mohd Dzuraidi Ibrahim setakat ini belum ada laporan dibuat mengenai perkara itu.
"Kita akan siasatan kenyataan yang dikeluarkan termasuk dari Puteri Umno.
"(Namun) setakat ini tidak ada lagi (laporan polis dibuat)," katanya pada sidang media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.
Iklan

Pada kejadian pada 4.45 petang Isnin lalu, seorang individu berusia 25 tahun yang bekerja di kilang terbabit mengamuk sebelum menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.
Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana cedera parah di beberapa bahagian badan terutama kepala manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun cedera, tetapi berada dalam keadaan stabil.
Rabu lalu, Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi ketika tampil dalam satu ceramah di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, menyifatkan kematian syahid itu terjadi selepas suspek mengamuk kerana marah terhadap dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
"Kelmarin bersemadinya seorang syuhada, assyahid Sheikh Mohd Khairil yang ditembak disebabkan beliau mengamuk di hadapan dua orang kafir yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad.
"Semoga Allah SWT mengurniakan syurga Firdaus buat arwah, sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah," katanya.
Sehubungan itu, Dzuraidi menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan berhati-hati serta tidak menyebarkan sebarang berita yang berbaur perkauman di media sosial dan beri ruang kepada pihak polis untuk jalankan siasatan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata pihaknya akan menyiasat kenyataan Nurul Amal itu.
Katanya, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika ini sedang membuat semakan berhubung kenyataan berkenaan.
“D5 sedang semak dan siasat,” yang dipetik portal Berita Harian.

Kematian Adib akibat jenayah, polis lambat bertindak - Koroner


Kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau tiga penyerang tidak dikenali yang mengheret dan memukulnya ketika rusuhan berlau di Kuil Sri Mahamariamman di Seafield tahun lalu.
Koroner Rofiah Mohamad ketika menyampaikan keputusan bagi menentukan punca kematian Adib juga mengumumkan mahkamah mendapati polis tidak bertindak semasa rusuhan berlaku.
Menurutnya, trauma tumpul pada dada yang membawa kepada kematian anggota bomba itu bukan akibat perbuatan sendiri mahupun disebabkan oleh kemalangan.
"Saya juga membuat dapatan kematian arwah disebabkan kegagalan PDRM dan FRU kawal rusuhan.
Iklan

"Keterangan jelas menunjukkan telah berlaku beberapa kebakaran sebelum arwah terlibat. Anggota bomba juga telah diancam perusuh yang tak mahu kebakaran dipadam.
"Ada polis berkawal dan api berjaya dipadam bomba.
"Adalah amat malang bila dua troop FRU dengan ratusan anggota dengan tujuh kenderaan pelbagai jenis, water cannon, gas tank dan sebagainya, tetapi hanya melihat perusuh-perusuh melakukan khianat pada bomba dan tak melakukan apa-apa.
"(Mereka) hanya siap siaga dengan senjata mereka, semata-mata kerana tak diberi arahan walaupun keadaan meruncing," jelasnya.
Rofiah berkata salah seorang saksi juga memberi keterangan bahawa Ketua Polis Daerah Subang Jaya tidak dapat dihubungi semasa kejadian itu.
Beliau berkata kegagalan pihak polis menjalankan tugas mereka menyumbang kepada insiden berkenaan.
Dengan berakhirnya inkues itu, Rofiah berkata, mahkamah menyerahkan kepada Peguam Negara dan polis untuk menjalankan siasatan serta melakukan pendakwaan.

Wednesday, September 25, 2019

Isu kewarganegaraan: Pas ingatkan DAP tidak campur urusan KDN



Isu kewarganegaraan: Pas ingatkan DAP tidak campur urusan KDN
Pas memberi amaran kepada DAP dan semua pihak untuk tidak mencampuri secara keterlaluan urusan permohonan kewarganegaraan yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, DAP secara agresif memberi tekanan untuk melonggarkan syarat kewarganegaraan termasuk cadangan meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pindaan Perkara 14 Perlembagaan itu akan membolehkan taraf kewarganegaraan diberi secara automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki luar negara.
“Pindaan ini hanya akan membuka ruang kepada dwi kerakyatan atau pertindihan taraf kewarganegaraan anak.
“Penganugerahan taraf kewarganegaraan di Malaysia sangat mementingkan syarat perkahwinan dan kekeluargaan.
“Pada masa ini, KDN perlu diberikan ruang untuk mengemaskini kelemahan yang terdapat dalam proses kewarganegaraan sehingga menyebabkan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian kad pengenalan,” katanya.
Beliau menerusi satu kenyataan hari ini juga berkata, rakyat juga sangat bimbang dengan situasi lambakan pemegang-pemegang kad pengenalan yang tidak tahu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.
walhal katanya, pengetahuan asas dan sesi temuduga ujian Bahasa Melayu adalah pra syarat untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.
“Pas mahu KDN terus membongkar dan menangkap semua dalang yang terlibat dalam isu penjualan MyKad.
“Isu ini sangat bahaya dan perbuatan khianat berbanding pelbagai isu remeh temeh yang sengaja ditularkan untuk menutup kontroversi ini,” jelasnya.SITI NUR


Berita penuh https://malaysiadateline.com/isu-kewarganegaraan-pas-ingatkan-dap-tidak-campur-urusan-kdn/

Mat Sabu tetap ingat sahabat lama walaupun berbeda parti



Mat Sabu tetap ingat sahabat lama walaupun berbeda parti
Mohamad Sabu menziarahi bekas Ketua Dewan Ulamak Pas, Sheikh Ismail Khamis, dekat Alor Setar.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu meneruskan amalan tradisi menziarahi teman-teman lamanya, walaupun sudah berada dalam wadah politik berbeda.
Terbaru, hujung minggu lalu, dalam lawatan kerja ke Kedah, Menteri Pertahanan itu sempat menziarahi Sheikh Ismail Khamis, bekas Ketua Ulamak Pas Negeri, di rumahnya, dekat Langgar, Alor Setar.
Dalam hantarannya di FB, Mohamad menyifatkan Sheikh Ismail sebagai “sahabat lama yang juga ulamak dan agamawan yang disegani.”
“Kami saling bertanya khabar, bercerita kisah lama antara kami. Terkadang bergelak ketawa bila mengenangkan kenangan lama,” catatan Mohamad dipetik.
Hujung Ogos lalu, Mohamad turut mengunjungi Ustaz Hashim Jasin, Mursyidul Am Pas, di kediamannya, Arau, Perlis.
Mohamad menziarahi Hashim yang dikatakan agak uzur, selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH di tiga kawasan serentak di Perlis.
Mohamad Sabu dan isteri menziarahi Mursyidul Am Pas, Ustaz Hashim Jasin di Arau, Perlis.
“Beliau (Hashim) merupakan rakan lama yang sering menjadi regu ceramah saya dulu-dulu. Tidak lengkap jika turun ke Perlis tidak bertemu dan bertanya khabar beliau,” jelas Mohamad.
“Mudah-mudahan Allah terus mengurniakan kesihatan yang baik kepada al-Fadil Ustaz dan menjaga persahabatan kami hingga ke akhir hayat,” tambahnya.
Mohamad memang dikenali sebagai personaliti yang mengingati rakan-rakan lama, dengan menziarahi mereka termasuk yang masih aktif dalam Pas ataupun kerap bertanya khabar sahabat-sahabat baik walaupun mereka tidak memegang apa-apa jawatan penting.
Beliau turut menziarahi tok-tok guru pondok, khususnya di Kedah, apabila ada kesempatan dan masa luang ketika lawatan kerja sebagai menteri.
Awal Februari tahun ini, Mohamad mengadakan kunjungan ke atas bekas Bendahari Pas Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman di rumahnya, di Kota Bharu.
Awal Februari lalu, Mohamad Sabu mengunjungi bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman di Kota Bharu.
Mohamad pernah menjadi ahli Parlimen Kelantan selama dua penggal, 1990-1999, ketika Ustaz Halim dilantik Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Kelaziman Mohamad menziarahi rakan-rakan lamanya meskipun kini berbeda parti politik dilihat sebagai amalan mulia sikap terbuka dan pendekatan matang yang perlu diteladani.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/mat-sabu-tetap-ingat-sahabat-lama-walaupun-berbeda-parti/#more

Muafakat Nasional: PAS lebih berkehendak, kata Subky






N Faizal Ghazali





Di sebalik kejayaan Muafakat Nasional yang dimeterai dua parti Melayu Islam di negara ini, seorang veteran PAS menceritakan bagaimana parti itu bersungguh-sungguh mahu kerjasama itu dijayakan.


Pengerusi Assabiqun PAS, Subky Latif, memberi gambaran keperluan parti itu bekerjasama dengan Umno begitu mendesak.

Beliau yang juga bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS memberitahu anggota veteran parti itu bertanya kepadanya mengenai cadangan kerjasama tersebut serta untung dan rugi jika ia dimeterai.

"Saya kata begini: PAS yang nak (berkehendak). Kalau Umno tak nak, PAS nak.


"Saya kata (lagi), kalau Umno tak nak, PAS ambil satu sikap, (kalau) gunung tak datang pada (Nabi) Muhammad, biar Muhammad datang kepada gunung.

"Maknanya kita yang nak, tapi memanglah Umno (pun) nak. Tapi pada PAS saya kata, PAS lebih nak," katanya pada sidang media sempena pengumuman Hari Assabiqun Kebangsaan di Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Assabiqun ialah salah satu sayap dalam PAS yang menghimpunkan pemimpin veteran parti itu.


PAS ada, Umno pun ada
Subky berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud bantahan anggota veteran PAS susulan termeterainya Muafakat Nasional di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Subky, dengan penjelasan demikian anggota veteran PAS akan bersama dan menyokong usaha tersebut.

Tambah beliau, Muafakat Nasional itu juga membawa hikmah tersendiri kerana ia berjaya menamatkan isu kafir-mengkafir melibatkan penyokong kedua-dua parti suatu ketika dulu.


"Yang paling menggembirakan kita dengan perkembangan itu (ialah) isu kafir-mengkafir tamat," katanya.

Subky yang juga bekas wartawan menjelaskan, Muafakat Nasional itu bukan bermakna PAS dan Umno bersatu, sebaliknya kedua-dua parti terbabit tetap berdua.

"Sekarang ini kedudukannya, kita bukan bersatu dengan Umno, tetapi kita berdua. PAS dan Umno berdua.

"Ke mana-mana pun berdua. (Di mana) PAS ada, Umno ada," jelasnya.


Baca 'Ada orang PAS kafirkan ibu bapa mereka'
Sementara itu mengulas mengenai Hari Assabiqun Kebangsaan Subky berkata, program yang menghimpunkan veteran PAS itu akan berlangsung pada 5 Oktober ini di dewan Majlis Daerah Ketereh, Kota Bharu.

"Ia bagi mengumpulkan ahli dan pemimpin dari pelbagai peringkat PAS yang banyak berjasa kepada parti.

"Mereka mungkin berumur lebih 55 tahun dan jumlah sebenar saya masih belum dapat pastikan lagi. Ramai antara mereka yang tidak lagi pegang sebarang jawatan.

"Perjumpaan ini juga untuk menghargai mereka supaya mereka rasa jasa mereka dikenang dan terus bersama PAS sehingga akhir hayat.

"Kita ambil kesempatan buat pelancaran di Kelantan dan selepas ini diadakan di setiap negeri. Semua ahli dijemput hadir untuk meraikan orang lama ini," kata Subky.

RM850 saja? Patut RM 2,000 sekaki persegi, kata DPMM






Ramieza Wahid dan Naimmullah Jaya




Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Amirhamzah Karim mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu membeli tanah di Kampung Baru pada harga rendah.

Katanya, harga yang ditawarkan seharusnya berpatutan dengan nilai tanah semasa iaitu RM 2,000 satu kaki persegi.

“Di situ (Kampung Baru) tanah itu adalah nilai dia RM 2,000 kaki persegi, kenapa nak beli RM850 saja, kenapa tidak nilaikan pada harga semasa.

“Kalau dengan harga murah sebegitu, kamu fikir konsep jangka panjang, penjagaan hartanah Melayu di KL (Kuala Lumpur) semua, dia tak seiring,” katanya pada sidang media bersama ahli jawatankuasa DPMM di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Amirhamzah Karim, Setiausaha Agung DPMMAmirhamzah turut menjelaskan kerajaan harus melupuskan konsep penjualan tanah rizab Melayu di bawah harga pasaran.

“Bila tanah rizab Melayu selalunya orang bila nak beli, mesti nilai di jatuh. Kenapa? Dia boleh beli pada harga pasaran.

“Kenapa di zaman sekarang masih lagi sikap orang mengatakan tanah rizab Melayu mesti di bawah pasaran. Ini adalah sikap yang tidak adil,” katanya.

Sabtu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata harga yang ditentukan bagi
pembelian tanah di tempat berkenaan adalah dengan nilai RM650 hingga RM850 satu kaki persegi.

Amirhamzah turut mencadangkan agar pembelian tanah diuruskan melalui proses pajakan tanah kepada penduduk di Kampung Baru.

“Di Singapura pun negeri-negeri yang maju pun (tanah) semua akan dibeli secara pajakan. Pajakan jangka panjang.

“Itulah kaedah sepatutnya yang kita (kerajaan) gunakan dan kaedah itu sebenarnya memastikan bahawa kesinambungan kepunyaan tanah milik orang Melayu itu berterusan sampai bila-bila.

“Kita harap kaedah ini yang patut diteruskan. Jadi pemikiran yang bahawa semua tanah kerajaan kena beli itu patut ditolak sama sekali untuk warisan tanah rizab Melayu,” katanya.


Khalid Samad semasa sesi soal jawab bersama pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru Sabtu lalu turut memberi jaminan bahawa tanah di Kampung Baru tidak akan dijual kepada bukan Melayu.

Katanya, ini seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu Seksyen 14 (4).

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut berkata usaha pembangunan semula Kampung Baru adalah demi menjaga kepentingan masyarakat Melayu di negara ini, seperti diperuntukkan dalam akta berkenaan.

Kerajaan patut pajak, baru Kampung Bharu kekal milik Melayu




Nizam Zain


Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Seri Syed Hussein Syed Al-Habshee (tengah) berbincang sesuatu bersama barisan kepimpinan tertinggi DPMM selepas sidang media mengenai perkembangan DPMM dan isu semasa di Pejabat DPMM, Bukt Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyifatkan tindakan kerajaan yang menawarkan RM850 satu kaki persegi tanah Kampung Bharu bertentangan dengan manifesto pilihan raya lalu.

Setiausaha Agungnya, Amir Hamzah menegaskan, penawaran pembelian tanah itu bukan sahaja di bawah nilai semasa bahkan menyebabkan orang Melayu kehilangan tanah rizab yang diwarisi berpuluh tahun lalu.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan pendekatan lain dalam pembangunan semula Kampung Bharu, bukan lagi menerusi pembelian sebaliknya melalui pajakan tanah.

“Ikut penilaian yang dulu semasa kempen yang dilaksanakan pentadbiran lepas nilainya RM2,000 untuk satu kaki persegi. Jadi nilai sekarang masih jauh.

“Kenapa tanah-tanah Melayu ini perlu dijual? Kaedah kedua yang ada ialah tanah Melayu ini boleh dipajak. Kerajaan boleh memajak daripada tuan-tuan punya tanah selama 60 tahun dan boleh dibangunkan.

“Barulah seperti yang dihasratkan dalam manifesto PH itu untuk mengekalkan kepunyaan orang Melayu agar sentiasa kekal,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DPMM di sini hari ini.
Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim bercakap kepada media mengenai perkembangan DPMM dan isu semasa di Pejabat DPMM, Bukt Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZILSabtu lalu, kerajaan menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Bharu di sini dengan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, tawaran tersebut merupakan kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Amir juga menegaskan, isu pembelian tanah-tanah rizab Melayu sepatutnya tidak berlaku lagi atas apa jua alasan termasuk pembangunan semula kawasan Kampung Baru.

“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku lagi kepada tanah-tanah rizab Melayu. Keadah yang patut digunakan ialah kaedah pajakan.

“Kaedah itu paling sesuai sekali supaya tanah-tanah rizab Melayu ini kekal dalam keadaan rizab Melayu.

“Pewarisan tanah rizab Melayu ini sentiasa kekal sampai bila-bila. Saya rasa pandangan yang kerajaan gunakan hari ini sepatutnya bertukar,” katanya.

Katanya lagi, walaupun kerajaan boleh memajak tanah Kampung Baru untuk tempoh 60 tahun, namun hak milik tanah tersebut masih terpelihara sementara pembangunan pula boleh dilakukan.

“Bila dipajakkan, ia boleh dibeli sesiapa saja pun tapi dalam tempoh 60 tahun digunakan dan boleh diteruskan.

“Kepunyaan tanah tersebut tidak bertukar tangan, masih kekal kepada tuan punya tanah dan selepas tempoh pajakan tamat, ia kembali balik (tuan tanah),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Pas bantu mangsa Paya Jaras atas dasar kemanusiaan


Manzaidi Mohd Amin
MGF19092019_Tinjauan-Rumah-Roboh-Paya-Jaras_03
Zaharudin Muhammad


KUALA LUMPUR – Pas Sungai Buloh secara konsisten membantah sebarang pencerobohan tanah kerajaan sehingga memberikan kesan buruk kepada kepentingan awam seperti banjir, pencemaran dan seumpamanya.

Namun, Pas kawasan itu juga secara konsisten membantu penduduk yang rumah mereka dirobohkan oleh kerajaan Selangor baru-baru ini atas dasar kemanusiaan.

Yang Dipertuanya, Zaharudin Muhammad menegaskan, dakwaan Menteri Besar, Amirudin Shari kononnya Pas cuba menangguk di air keruh dengan kejadian itu adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, jika mereka menangguk di air keruh, nescaya Pas akan menghalang rundingan penduduk dengan kerajaan negeri sebelum perobohan dilakukan.

Tetapi sebaliknya Pas menggesa dan menyokong penduduk berunding dengan kerajaan sebagaimana yang terjadi pada 4 September lalu.

“Malah, kita turut gembira dengan keputusan penangguhan perobohan yang dicapai kedua pihak hasil dari perbincangan itu.

“Mendengar tangisan anak kecil, ibu yang merintih, ada bapa digari, tiada tempat berteduh selepas perobohan, cuaca jerebu yang teruk, hujan melanda di sebelah petangnya, menjadikan mangsa roboh tiada pembelaan dan boleh berlakunya krisis kemanusiaan.

“Suasana inilah memaksa Pas bersama penduduk tempatan membantu, melindungi dan menyediakan makanan sehingga mereka betul-betul stabil dan trauma mereka hilang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pada Rabu lalu, lebih 30 buah rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dirobohkan bagi meneruskan projek meluaskan sungai di tepi kawasan perumahan.

Projek meluaskan sungai tersebut sudah lama dijalankan namun terpaksa ditangguh beberapa kali susulan rayuan penduduk kampung.

Menurut Zaharudin, sekalipun kerajaan negeri melabelkan pihak yang membantu penduduk itu sebagai menangguk di air keruh, Pas tetap membantu mereka yang lemah tanpa pembelaan.

Katanya, lebih mengecewakan apabila menteri besar memfitnah keluarga terbabit sebagai pendatang tanpa izin dan degil untuk berpindah walaupun sudah diberi notis dan arahan.

“Apa yang dapati ada dokumen dari wakil rakyat kawasan itu, Khairuddin Othman membantah pemindahan itu dan menggesa penduduk supaya terus menetap di situ.

“Surat bertarikh 12 Julai 2016 bertajuk “Bantahan terhadap sebarang tindakan perobohan ke atas 153 rumah kediaman di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh” itu membuktikan Khairuddin waktu itu membantah perobohan bukan meminta tangguh perobohan.
fbkhairuddin
Status akaun Facebook ADUN Paya Jaras, Khairuddin 
Othman bertarikh 3 Julai 2016 memberi jaminan
kepada penduduk.
“Bahkan, dalam Facebooknya bertarikh 3 Julai 2016 membuat status, ‘jangan keluar dari rumah dan tunggu arahan saya selanjutnya’,” kata beliau.

Kenyataan itu menjadikan penduduk yakin mereka berhak berada di situ sehingga notis Ogos 2019 dikeluarkan supaya mengosongkan rumah dalam tempoh 30 hari.

Permintaan penduduk ialah menangguhkan perobohan sehingga November ini bukan permintaan mereka untuk terus kekal di situ.

“Namun, Menteri Besar dan Khairudin sendiri termasuk beberapa Exco kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain menggambarkan seolah penduduk berdegil enggan berpindah sehingga menjadikan mereka sebagai punca banjir.

“Jika berlaku banjir kerugian dan akibat projek yang tidak dapat dijalankan, kami melihat ADUN Paya Jaras dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (bekas menteri besar ketika itu) adalah turut terlibat kerana penangguhan itu dilihat berpunca daripada bantahan oleh Kharuddin sendiri melalui surat rasminya pada 12 Julai 2016,” ujarnya.

Beliau berkata, Pas Sungai Buloh telah menghantar surat kepada Khairuddin untuk mengajaknya bertemu dan berbincang tetapi pejabat wakil rakyat itu ditutup. – MalaysiaGazette