ULASAN Pada asalnya saya melihat perhimpunan aman ini boleh diterima sehinggalah saya terlihat poster yang tertulis "Hapuskan SJKC" yang dipamerkan oleh para peserta Himpunan Maruah Melayu.
Tindakan sedemikian adalah amat tidak wajar sekali yang mana SJKC merupakan salah satu institusi pendidikan yang berwibawa untuk melahirkan golongan akademik serta jutaan pelajar berkaliber setiap tahun.
Saban tahun, ratusan dan ribuan pelajar bukan Cina hasil didikan SJKC yang berjaya menamatkan pelajaran dengan cemerlang sekali.
Sebagai seorang pemimpin Pemuda MCA, saya mendokong sepenuhnya Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang mana bahasa Melayu tetap menjadi bahasa kebangsaan kepada setiap warganegara Malaysia.
Inilah sebab saya memilih untuk menulis dalam bahasa Melayu. Setiap daripada kita juga mempunyai hak dan kebebasan untuk memilih jenis sekolah yang ingin dimasuki. Hal ini tidak boleh disangkal sama sekali.
Perhimpunan yang mempamerkan poster provokasi sebegini pastinya menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Zaman sekarang Sekolah Kebangsaan pun mula dimasuki pelajar berbangsa Cina, malah SJKC jua dipenuhi pelajar berbangsa Melayu.
Percampuran sebeginilah yang dikatakan integrasi nasional yang membawa ke arah perpaduan.
Keunikan dan keistimewaan negara Malaysia yang selama ini diuar-uarkan secara bangga megah sebenarnya terbentuk daripada percampuran budaya sebegini.
Tuhan tidak mengubah nasib satu-satu kaum melainkan kaum itu sendiri. Saya bangga sebagai rakyat Malaysia, tanah tumpah darahku. Janganlah kita beremosi dengan melawan emosi.
Dengan menghapuskan SJKC boleh menghidupkan kembali maruah Melayu, banyak perkara tidak logik boleh berlaku.
Saya percaya maruah Melayu akan hilang andai kata SJKC dihapuskan kerana orang Melayu yang dahulunya berdada lapang berhati mulia sudah hilang ke mana?
QUEK TAI SEONG adalah ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA
No comments:
Post a Comment