Monday, September 26, 2022

Azeez Lepas Tanpa Bebas Kes Rasuah, Ubah Wang Haram - Percaya ker???


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes rasuahnya.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas beliau berkata, mahkamah berpuas hati dengan permintaan pihak pendakwaan untuk perintah membebaskan Azeez.

“Ini bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan siasatan mereka mengenai petunjuk ‘baharu’, selepas tertuduh (Azeez) mengemukakan representasinya (atas) pertuduhan.

“Mahkamah tidak boleh (membuat kesimpulan) bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan perbicaraan,” katanya.

Setakat ini, hanya lima saksi telah memberi keterangan sejak perbicaraan bermula pada 2020.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk sebutan sementara menunggu keputusan oleh peguam negara mengenai representasi Azeez yang menuntut penarikan balik tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Pihak pembelaan telah mengemukakan lima representasi kepada pihak pendakwaan berhubung tuduhan dihadapi Azeez.

Bekas pengerusi Tabung Haji itu didakwa pada 2019 atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Dia juga berdepan 10 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta dana daripada sebuah syarikat, Menuju Asas Sdn Bhd.

Bagaimanapun, empat daripada 10 tuduhan pengubahan wang haramnya membabitkan RM12.9 juta telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan awal bulan ini.

Mahkamah Rayuan memerintahkan Azeez dibicarakan atas baki enam tuduhan pengubahan wang haram dan tiga tuduhan rasuah.

Azeez diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, manakala Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengendalikan pendakwaan ~ FMT

PAS tetap kekal bersama PN, tapi buka pintu MN: Ketua Penerangan

 


agendaily.com
22/09/2022
Ketua Penerangan PAS Senator Ir Khairil Nizam Khirudin.

PAS kekal berpendirian tetap bersama Perikatan Nasional (PN), namun membuka seluas-luasnya pintu Muafakat Nasional (MN) kepada semua parti yang tidak mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) serta agenda ‘Khemah Besar’ mereka.

Ketua Penerangan PAS Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata malah PAS membuka pintu kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGI) yang sedia bekerjasama berdasarkan teras keadilan Islam, untuk memelihara institusi raja-raja serta hak rakyat.

Menurutnya perkara tersebut adalah selari dengan peruntukan yang sedia wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan dan PAS akan terus mengusahakan agenda tersebut untuk memastikan berlakunya penyatuan dihasratkan tersebut.

“Maksudnya, kita masih lagi terbuka dan kita pun tidak tahu bila tarikh pilihan raya. Jadi selagi mana kita tidak dapat lagi ketentuan yang sampai ke dinding kita katakan paling mudah, selagi itu PAS akan terus berusaha untuk menyatukan ummah ini untuk memastikan satu lawan satu dengan PH dalam PRU ke 15,” katanya menurut Harakah.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung rancangan Bual Bicara di Bernama TV bersama hos, Sherkawi Jirim membicarakan tajuk “PAS berakidah bukan berideologi?” di stesen media itu, semalam.

Khairil Nizam berkata jika kerjasama dihasratkan itu tidak menjadi kenyataan, maka pertembungan tiga penjuru bakal berlaku dan boleh mengulangi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dimenangi PH, apatah lagi tiada parti boleh mendabik dada menguasai tujuh juta pengundi baharu.

“Jadi apa yang perlu dilaksanakan ialah kita mesti berusaha untuk menyatukan antara PAS, UMNO dan Bersatu serta parti-parti Melayu lain yang mahu bersama dengan kita yang menolak PH, DAP dan juga ‘Khemah Besar’.

“Dan kita harapkan perkara itu boleh menjadi kenyataan dan kita menjemput juga rakan-rakan daripada NGO dan NGI untuk bersama dengan kita. Insya-Allah banyak kerusi yang boleh barangkali kita boleh berbincang.

“Pada saya isu asasnya bagaimana kita nak menerima kesamaan di antara kita. Menolak perbezaan kerana kita tahu kemudaratan yang lebih besar, mimpi ngeri yang lebih besar sekiranya PH sekali lagi memerintah negara,” katanya lagi.

Menurutnya, Undi18 adalah cabaran kepada semua parti politik dengan variasi latar belakang serta geografi kependudukan pengundi golongan tersebut di mana perlu didekati, selain peranan di media sosial.

“Di peringkat PAS kita berusaha untuk mengambil semua strategi yang sedia ada sama ada anak muda yang berada di bandar, semi bandar mahupun di kawasan luar bandar.

“Kita cuba untuk engage dengan mereka dengan pendekatan-pendekatan yang saya yakin pendekatan yang sama juga diamalkan oleh parti-parti lain. Bezanya kita tak boleh berteraskan kepada politik kotor, politik fitnah, politik tohmah.

“Kerana kalau itu yang kita ajar kepada generasi muda ini, bayangkan mereka akan menjadi pemimpin akan datang. Inilah kerosakan yang akan kita laksanakan sekiranya kita mengambil pendekatan politik tanpa agama,” kata Khairil Nizam sambil berharap perpecahan undi tidak berlaku.

Keputusan kes Zahid buat warganet kecewa, rasa tak percaya

 


inforakyat.net
FARIDA ABD GHANI
Keputusan kes Zahid buat warganet kecewa, rasa tak percaya. Warganet meluahkan rasa kecewa dan tidak percaya mereka di media sosial terhadap pembebasan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada tuduhan rasuah berhubung kontrak sistem visa luar negara (VLN).

Zahid menjadi “trending” di Twitter, dengan lebih 12,000 hantaran menyebut bekas timbalan perdana menteri itu.

Seorang pengguna @shieranism berkata: “Zahid bebas? Serius? ‘What the fish’”.

Seorang lagi pengguna dengan nama @adelkamall, menyatakan betapa bagusnya peguam Zahid.

Pengguna, @YbSadik berkata ia adalah berita yang “membimbangkan”. “Apa pun, harap Zahid tidak terlalu gembira. Saya percaya yang paling buruk masih belum datang untuknya,” kata @YbSadik, merujuk kepada perbicaraan pengubahan wang haram dan pecah amanah Zahid.

Seorang lagi pengguna dengan nama @datukhensem, menyindir bahawa jika penyokong Umno boleh menerima keputusan mahkamah ke atas Zahid, mereka perlu menerima keputusan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak, yang baru-baru ini dipenjarakan selepas kalah dalam rayuannya dalam kes SRC International.

Seorang pengguna dikenali sebagai shanghaifish membuat hantaran, seorang lelaki dibebaskan “untuk menyelamatkan orang lain daripada kutukan”.

“Sistem keadilan apakah ini? Bangsa yang tidak tahu malu dan korup.”

Zahid, 69, bebas daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem visa luar negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

RM90.9 juta masuk akaun peribadi Najib pada 2012-Pegawai bank

 


satuberita.my
By Bernama
-September 26, 2022
MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wang berjumlah RM90.9 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi dua transaksi pada 2012.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, berkata berdasarkan penyata akaun berakhir nombor 694, kemasukan wang RM15,149,963.64 ke dalam akaun bekas perdana menteri itu adalah pada 31 Okt, dan RM75,749,963.64 pada 20 Nov 2012.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Najwa Bistamam pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Najib membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam penyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Najib yang bertindak melalui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah menyebabkan 1MDB terbabit dalam dua transaksi, dengan tertuduh memperoleh sejumlah RM90,899,927.28.

Transaksi itu adalah berkaitan pertuduhan kedua yang dihadapi oleh Najib, membabitkan pengambilalihan aset dengan nilai yang diragui oleh 1MDB.

Sementara itu Uma Devi berkata pada Nov dan Dis 2011, Najib telah mengeluarkan cek berjumlah RM2,494,000 kepada beberapa pihak.

“Pihak itu ialah Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM494,900), Yayasan Rahah (RM1 juta), ORB Solutions Sdn Bhd (RM450,000), Mashi Publication Sdn Bhd (RM30,000) dan Transformasi Kreatif (RM520,000),” kata saksi pendakwaan ke-37 itu.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

— BERNAMA