Sunday, September 27, 2015

Bekas Ketua Pengarang NST dedahkan bagaimana Najib akan kekal berkuasa sehinga selepas PRU14..



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan berundur dalam waktu terdekat, dan begitu juga parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak akan digantikan pada pilihan raya umum akan datang (PRU14), kata wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin.

Menulis dalam blognya, bekas ketua pengarang New Straits Times Group itu berkata, parti Melayu itu akan menggunakan wang dan kuasa bagi memancing undi, sambil menakutkan orang Melayu dengan mengatakan mereka berdepan risiko "dihapuskan" oleh golongan minoriti Cina.

"Cukup ramai orang di sekeliling perdana menteri yang percaya dengan wang dan kuasa politik, mereka boleh terus mengatur undi luar bandar yang cukup atas nama kelangsungan hidup bangsa (kaum) untuk terus berpaut kepada kuasa.

"Penggunaan emotif 'bangsat' oleh Najib menerima sokongan ramai orang Melayu luar bandar.

Najib sendiri percaya boleh mempertahankan kuasanya sehingga PRU akan datang untuk memimpin BN ke arah kemenangan.

"Jadi, siapa yang rasa Najib akan disingkirkan tidak lama lagi dan BN tidak lagi wujud pada PRU akan datang, eloklah fikir dua kali," kata Kadir.

"Selagi beliau boleh mendapatkan separuh daripada pakcik, makcik, Orang Asli, penduduk luar bandar dan peneroka Felda untuk memihak kepada beliau, Umno akan kembali berkuasa dan kedudukan beliau tidak akan dapat disangkal. Beliau akan berjaya menyangkal tuduhan yang dibuat terhadapnya."

Beliau berkata, apa yang Najib perlu lakukan pada masa sama ialah, memastikan tiada tindakan jenayah diambil terhadapnya.

Begitu juga, katanya, penggubal undang-undang BN harus dipantau rapi bagi mengelakkan sebarang kejadian berpaling tadah atau undi tidak percaya.

Memetik contoh "perhimpunan baju merah" 16 September di mana pihak penganjur boleh meyakinkan orang ramai untuk menyertainya, Kadir berkata, tiada apa yang boleh menghalang modus operandi yang sama digunakan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Moto Najib – wang adalah raja – diterima baik orang Melayu yang miskin di kampung-kampung dan penempatan Felda.

"Dengan kemerosotan harga komoditi yang berterusan dan peningkatan kos sara hidup akibat kejatuhan nilai ringgit dan pelaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kuasa wang lebih kuat di kalangan orang miskin luar bandar, "katanya.

Najib tidak memerlukan "cerdik pandai Melayu" atau orang bandar, menyedari yang beliau tidak dapat mengancam mereka supaya berserah diri kerana rasa takut yang disebarkan, katanya.

Bagaimanapun, Kadir berkata, Najib, parti dan kerajaan makin lemah dari segi media memandangkan media arus perdana kini kehilangan pembaca dan berdepan masalah kewangan.

Beliau berkata, integriti dan standard laporan mereka kini jatuh apabila mempertahankan Najib dan kerajaannya runtuh dalam setiap kes saman yang mereka tewas.

Sebaliknya, media bebas seperti akhbar Sinar Harian dan penerbitan di bawah The Edge Media Group, makin diterima pembaca, dan pada masa sama semakin ramai yang menggunakan blog, Facebook, Twitter dan Instagram.

"Percubaan Najib dan penyokongnya menggunakan platform ini, bermula dari PRU 2013, tidak berjaya dengan cemerlang.

"Sebaliknya, laman web mereka digunakan rakyat untuk meluahkan cemuhan ke atas mereka." lapor The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment