Wednesday, September 2, 2015

AMANAH Selar UMNO Kaitkan Bersih 4.0 Dengan Perkauman


 
Timbalan Pengerusi parti AMANAH Negara, Tn Hj. Salahuddin Ayub membidas pemimpin UMNO yang membuat kenyataan cuba mengaitkan himpunan Bersih 4 pada 29 hingga 30 Ogos lalu, dengan isu perkauman.

Di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan petang semalam, beliau dengan tegas menyatakan tidak timbul langsung isu perkauman dalam Bersih 4 seperti yang cuba diapi-apikan oleh pemimpin Umno itu.

"Saya sendiri tidak akan mengikuti himpunan bermula Bersih 1 hingga Bersih 4, jika dengan jelas atau berselindung ia bertujuan mahu menjatuhkan kerajaan dengan kekerasan, menghapuskan kuasa aja-raja Melayu atau mempertikai hak dalam Perlembagaan," katanya.

Tetapi, semua rakyat termasuk beliau sendiri, telah turun menyertai Bersih atas kesedaran yang tinggi dan sebab yang jelas, iaitu menuntut pilihan raya yang adil dan ketidakadilan dalam urus tadbir kerajaan seperti rasuah dan salah guna kuasa, tambah kenyataan itu lagi.

"Ingin saya tegaskan bahawa, rakyat yang turun ke himpunan Bersih tidak boleh dikaitkan dengan isu perkauman kerana yang turun itu terdiri daripada pelbagai kaum," ujarnya.

Katanya, adalah tidak benar sama sekali untuk mendakwa Bersih 4 cuba mencetuskan isu perkauman dengan melatarbelakangkannya dengan tragedi 13 Mei.

"Bagi saya, tuduhan yang dibuat oleh pemimpin ini sangat jahat dan rasis," tegasnya.

Jika kita masih ingat, ketika himpunan Besih 1, ramai orang Melayu menyertainya, namun pemimpin Umno yang sama jugalah ketika itu menuduh bahawa Melayu yang turun ke himpunan itu adalah barua kepada orang Cina, kononnya Cina sibuk berniaga, orang Melayu pula hendak menjatuhkan negara.

"Oleh yang demikian, saya daripada Parti Amanah Negara (Amanah) ingin menjelaskan sikap kita bahawa penyertaan dalam himpunan Bersih 4 adalah untuk bersama tuntutan rakyat dan tidak timbul langsung isu perkauman seperti yang cuba dimainkan," tambahnya.

Pada hujung minggu lalu, ratusan ribu rakyat memakai baju T kuning turun ke jalan raya bagi menyokong tuntutan BERSIH di dalam satu perhimpunan selama 34 jam di Kuala Lumpur yang menuntut reformasi sistem pilihan raya yang telus, adil dan bersih disamping menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan ekoran dakwaan skandal 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadinya.

Akhbar-akhbar juga UMNO telah mengulas perhimpunan berkenaan dari kacamata perkauman dimana Utuan malaysia misalnya menyatakan kononnya perhimpunan BERSIH telah ditawan oleh DAP.

Ada pihak yang mendakwa jumlah peserta Melayu di perhimpunan tersebut hanya sekadar 20%.

Beberapa pemimpin BERSIH telah menjawabnya dengan menyatakan pada perhimpunan BERSIH 4.0, jumlah peserta Melayu tidak berkurangan tetapi, jumlah keseluruhan peserta perhimpunan BERSIH yang terbesar di dalam sejarah negara itu telah bertambah dengan penambahan peserta dari kalangan bukan-Melayu naik mendadak.

Perhimpunan BERSIH 4.0 telah berlansung dengan aman para peserta yang terdiri dari pelbagai kaum telah menunjukkan disiplin yang tinggi dengan masing-masing bekerjasasama untuk bantu-membantu diantara satu sama lain dan perhimpunan berkenaan telah mendapat liputan meluas di media-media antarabangsa.

No comments:

Post a Comment