Tuesday, September 22, 2015

Rakyat Malaysia menderita, panda Cina pula dapat layanan diraja

 

oleh V Shuman
 Kuiz: A meminjamkan sepasang haiwan kepada B untuk beberapa tahun.
Haiwan itu kemudian membiak dan melahirkan anak dalam kurungan bernilai jutaan ringgit yang disediakan B, namun anak tersebut perlu dipulangkan kepada A selepas mencecah dua tahun.
Soalannya, siapa yang hutang siapa, dan kepada siapa?
Ramai di antara kita akan menjawab yang A sepatutnya membayar B kerana menjaga haiwan mereka, dan malah membenarkan mereka melahirkan anak yang sihat.
Namun bukan itu yang terjadi dalam diplomasi panda Malaysia dan China.
Laporan akhbar Sun Daily baru-baru ini menyatakan yang Malaysia perlu membayar US$600,000 (RM2.5 juta) bagi setiap anak panda selepas 12 bulan, dan memulangkannya selepas mencecah usia dua tahun.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik berkata demikian ketika merujuk anak panda yang dilahirkan dua panda – Xing Xing dan Liang Liang – yang dipinjamkan oleh China untuk sepuluh tahun, bagi menandakan 40 tahun hubungan diplomatik antara dua negara.
Wan JunaidiWan Junaidi
Terma yang tidak munasabah ini dinyatakan dalam perjanjian.
“Tidak, panda ini bukan milik Malaysia, walaupun dilahirkan di sini.
“Kita perlu kembalikan anak panda kepada Chengdu, China selepas dua tahun. Kita juga perlu memberi hadiah atas kelahiran panda ini, iaitu US$600,000 bagi setiap anak panda yang dilahirkan di sini,” katanya seperti dipetik.
Bukan itu sahaja.
Malaysia malah tidak boleh memberi nama kepada anak panda ini tanpa persetujuan China, dan kos bulanan untuk menjaga keluarga panda adalah kira-kira RM60,000.
Semua ini, menurut Wan Junaidi, adalah peluang bagi Malaysia “untuk memelihara dan menjaga haiwan yang unik.”
Jika anda bingung selepas membaca perkara ini, anda bukan keseorangan. Ingatlah bahawa RM2.5 juta untuk anak panda, ditambah dengan perbelanjaan bulanan RM60,000 serta RM60 juta yang telah dihabiskan kerajaan untuk membawa panda ini ke sini.
Selain itu, jika panda ini memutuskan untuk melahirkan anak lagi, berjuta lagi wang rakyat akan dihabiskan begitu sahaja.
Secara perspektif, ini sama seperti pengurusan hospital yang membayar pesakit kerana melahirkan anak di premis mereka.
Adakah begini caranya wang cukai dihabiskan oleh kerajaan BN?
Mari kita lihat siapakah yang untung dan rugi dalam perjanjian meragukan ini.
China mendapat jutaan ringgit daripada kerajaan, sementara mereka tidak perlu menggunakan ruang bagi menempatkan dua ekor haiwan yang besar ini.

Haiwan ini diberi keselesaan dalam kurungan berhawa dingin untuk sepuluh tahun, dan membiak sesuka hati mereka – semuanya dibayar oleh kerajaan.
Zoo Negara mungkin berpeluang membuat untung jutaan ringgit dari tiket untuk sepuluh tahun ini, dan kerajaan Malaysia mendapat pujian daripada China kerana mematuhi dan membodek mereka (belum termasuk kemungkinan habuan jutaan ringgit yang masuk ke dalam poket mereka yang terlibat dalam urusniaga ini).
Satu-satunya pihak yang tewas dalam diplomasi panda ini adalah rakyat Malaysia yang membayar cukai.
Bekerja siang dan malam, tidak mampu untuk memasang pendingin hawa di rumah sendiri, dan pada masa sama perlu membayar cukai kepada kerajaan.
Kerajaan kemudian membelanjakan (baca: membazirkan) wang cukai yang dikutip untuk memenuhkan poket politikus, kroni dan melabur dalam projek-projek meragukan yang tidak langsung tidak memberi faedah kepada rakyat yang membayar cukai.
Justifikasi Wan Junaidi bahawa kita dapat memelihara “haiwan yang unik dan menjaga mereka” adalah amat tidak masuk akal.
Malaysia ada haiwan uniknya yang tersendiri, seperti tapir, orang utan dan harimau Malaya. Tapir dan orang utan adalah haiwan yang terancam, manakala harimau Malaya menuju kepupusan.
Apakah pula yang kerajaan telah lakukan untuk melindungi dan memelihara haiwan sendiri?

No comments:

Post a Comment