Tuesday, September 29, 2015

Adakah Malaysia sudah jadi bahan lawak dunia?



oleh Ng Kheng Hong
MENGAIBKAN: Tahniah rakyat Malaysia! Kita akhirnya melakukan sesuatu yang saya rasakan mustahil bagi sebuah negara kecil seperti kita ini – kita kini dikenali di seluruh dunia!
Malangnya kita mendapat publisiti ini bukanlah dengan cara yang saya harapkan.
Malaysia sentiasa memainkan peranan kurang penting berbanding negara yang lebih besar dan “seksi” di Asia Tenggara. Dari segi pelancongan, kita tewas dengan Indonesia yang memiliki Bali – destinasi pulau terulung dunia.
Malah, Thailand dan Kemboja pun mengatasi kita, dan itu tidak termasuk pelancongan seks dan budaya “semua ok” mereka.
Dalam aspek geopolitik juga Malaysia tewas. Ketika Konfrontasi, kuasa eropah, terutama Amerika Syarikat, berpihak kepada Indonesia ekoran lokasi strategik dan limpahan sumber aslinya. Negara-negara lain seperti Filipina dan Thailand memang sudah lama di bawah pengaruh AS, Singapura dilihat sebagai pusat komersial dan perdagangan strategik, Vietnam kekal menjadi satu-satunya negara yang menang perang dengan AS dan Taiwan – walaupun secara teknikalnya bukan sebuah negara – dilindungi kuasa dunia itu.
Brunei? Status sultan mereka selaku salah seorang yang paling kaya di dunia memberikan profil tinggi kepada negara itu di seluruh dunia. Turut membantu adalah skandal-skandal yang berkait dengan mereka.
Malah “pariah” dunia, Myanmar pun lebih dikenali berbanding Malaysia dan menghasilkan seorang pemenang Hadiah Nobel Keamanan.
Jadi bagaimana Malaysia mendapat tempatnya di pentas dunia? Amat menyedihkan, kita membayar harga yang mahal untuk itu.

Ada insiden MH370 dan MH17. Limpahan simpati pada awalnya diganti oleh ejekan ekoran cara pegawai kita mengendalikan tragedi tersebut. Ditambah pula dengan kemarahan keluarga mangsa, terutama warga China.
Namun insiden itu hanyalah langkah pertama. Apa yang benar-benar membuatkan dunia menyedari kewujudan kita adalah laporan Wall Street Journal tentang 1MDB, dan tindakbalas kerajaan kita yang menyerang penerbitan yang disegani itu.
Dan sejak itu, Malaysia berhadapan masalah dengan dua lagi organisasi media, iaitu Al-Jazeera dan Channels News Asia.
Jadi kita kini dalam perang dingin dengan dua organisasi media antarabangsa, dan satu media serantau.
Tetapi seperti kata orang, publisiti buruk lebih baik daripada tiada publisiti langsung.
Kalau itu masih belum mencukupi, kita memutuskan untuk melibatkan Interpol dalam politik dalaman kita apabila pihak berkuasa membuat permintaan ‘notis merah’ terhadap Clare Rewcastle-Brown. Ia ditolak serta-merta oleh organisasi antarabangsa tersebut.
Dan jangan dilupa usaha perdana menteri kita. Beliau telah memupuk persahabatan dengan sebilangan pemimpin dunia, bermain golf dengan presiden AS Barack Obama. Beliau juga mengimport dua ekor panda dan berjaya membiakkan seekor anak melalui ‘diplomasi panda’ versinya.
Bercakap tentang diplomasi, surat saya sebelum ini menyentuh tentang kunjungan duta China ke Jalan Petaling dan kenyataannya. Dengan melihat kepada kegemparan yang tercetus – oleh kunjungannya, bukan surat saya – kita mungkin akan menyaksikan permulaan faux pas antarabangsa, walaupun kemungkinan besar pengakhirannya sama seperti insiden malang yang saya senaraikan di atas – Malaysia mendapat malu.
Namun lihatlah dari sudut positif – Malaysia kini dikenali di seluruh dunia, bukan?
Kita boleh merasa senang dengan hakikat masyarakat seluruh dunia sedang melihat kita, menunggu keaiban seterusnya yang bakal menimpa.
Jadi marilah kita memberi penghargaan kepada penguasa yang menjadikan kita bahan lawak terbesar dunia! Kita tentunya tidak boleh membawa keaiban ini dengan sendiri tanpa pimpihan hebat mereka.
Malaysia Boleh! Memang mengaibkan.

No comments:

Post a Comment