Tuesday, July 2, 2019

Abdul Azeez sedia serah kerusi pada PAS



MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim menyatakan kesediaan melepaskan kerusi yang disandangnya kepada PAS pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 kelak.

Menurutnya, penyatuan ummah antara Umno dan PAS amat penting demi agama, bangsa dan tanah air dan bukan demi kepentingan mana-mana individu.

"PRU bila-bila masa, sama ada tiga tahun daripada sekarang, esok atau tahun depan. Saya yakin dan percaya rakyat sudah tahu siapa mereka ingin pilih.

"Saya sendiri, jika perlu korbankan diri saya demi rakyat pada masa depan berkenaan kerusi, saya rela, sanggup reda dan ikhlas," katan Abdul Azeez dipetik Sinar Online.


Pada PRU14, Abdul Azeez mempertahankan kerusi parlimen Baling dengan majoriti 1,074 undi menewaskan calon PAS dan Bersatu.

Penyandang parlimen Baling selama dua penggal itu turut mahu Kedah terutamanya di kawasannya menjadi model terbaik penyatuan ummah dan kerjasama PAS dan Umno dalam menghadapi PRU.

"Dengan izin Allah juga Kedah akan jadi satu negeri contoh.

"Saya juga melihat kerjasama antara PAS dan Umno sangat baik dengan menerima sambutan ahli yang memberangsangkan setiap kali program bersama dianjurkan.

“Saya yakin dan percaya ini petanda cukup baik kerana perpaduan ummah ini untuk agama, bangsa, agama dan tanah air," Abdul Azeez dilaporkan sebagai berkata.

Isu berkaitan penyerahan kerusi antara PAS dan Umno timbul selepas Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dilaporkan membuat cabaran itu semalam.

Azan berkata Umno dan PAS perlu saling menyerahkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dimenangi pembangkang bagi membuktikan keikhlasan kerjasama yang dicapai dan bukan sekadar retorik semata-mata.

Jelasnya, kegagalan berbuat demikian hanya membuktikan Umno dan PAS sekadar bersandiwara kepada penyokong dan seluruh rakyat Malaysia dan bukan berusaha murni ke arah ta’awun seperti yang dijanjikan.


Mujahid! Minta maaf @ berundur




TYRAZALHE

UYGHUR: ADAKAH KENYATAAN MENTERI AGAMA PENDIRIAN RASMI PUTRAJAYA?


BANGI – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa berhubung lawatannya ke Xinjiang, China baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kesal terhadap kenyataan menteri agama Malaysia itu kerana memperlihatkan sokongan beliau kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang.

Merujuk kenyataan yang disiarkan Mujahid di Facebooknya Rabu lalu, Khairuddin berkata, beliau merasakan Mujahid tidak meneliti berita sebenar nasib umat Islam Uyghur, atau hanya menyuarakan pendirian rasmi kerajaan Malaysia sesuai dengan kedudukannya sebagai menteri.

“Amat tidak patut sekali beliau menunjukkan sokongan kepada China dalam isu yang sedang mendapat perhatian oleh pelbagai negara serta agensi dan pertubuhan sehingga ke peringkat antarabangsa yang sedang berusaha memberikan tekanan kepada China bagi menamatkan krisis kemanusiaan di negara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menggesa Wisma Putra segera menjelaskan sama ada kenyataan Mujahid itu mewakili pendirian dan dasar rasmi kerajaan dalam hubungan antarabangsa atau ia bersifat peribadi.

“Jika ia adalah kenyataan peribadi beliau, maka amat wajar Kabinet mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada menteri itu dan beliau mesti segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia atau meletakkan jawatan,” katanya.

Kenyataan Mujahid yang mengatakan beliau dibawa melawat pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uyghur – istilah yang digunakan Beijing bagi menempatkan ribuan orang Islam yang mengkritik dasar China di Xinjiang – seolah-olah hidup dengan harmoni tanpa ditindas, mencetuskan kritikan pengguna media sosial.

Bahkan, beliau turut teruk dikecam netizen apabila dalam ucapannya menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu’.

Usul wajibkan anggota Parlimen isytihar harta dibentang di Dewan Rakyat



THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Usul mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing dibentang di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata langkah itu adalah satu usaha kerajaan dalam mewujudkan sebuah negara yang berakauntabiliti, telus dan bebas rasuah.

“Walaupun kerajaan dah ambil tindakan untuk mereformasi perkhidmatan kerajaan berkaitan rasuah dan mula pendakwaan terhadap individu disyaki melakukan rasuah, kerajaan berpendapat inisiatif kerajaan ini masih boleh ditambah baik.

“Usaha kerajaan untuk perangi rasuah bukan sahaja berkaitan tindakan pencegahan dan hukuman tapi membabitkan isu perspektif rakyat iaitu usaha itu mesti dapat dilihat dan disedari lapisan rakyat,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Liew berkata kerajaan mengambil maklum tiada undang-undang mewajibkan anggota Parlimen mengisytiharkan harta, justeru atas faktor itu, kerajaan berpendirian usul itu cara paling baik untuk menguatkuasakan tindakan mewajibkan setiap daripada mereka mengisytiharkan harta.

Beliau menarik perhatian dewan bahawa memandangkan pengisytiharan itu telah dilaksanakan anggota pentadbiran dan anggota Parlimen kerajaan, maka sudah tiba masa semua anggota Parlimen termasuk pembangkang membuat perkara sama atas prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Katanya usul itu akan terpakai kepada semua anggota Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak-anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, dan pemegang amanah berkaitan.

“Sebaik usul ini diluluskan ia akan membolehkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta dalam tempoh tiga bulan sehingga 1 Okt 2019 dengan mengisi borang akuan berkanun yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Kesemua akuan berkanun ini perlu diakui sumpah sebagaimana ditetapkan dalam Akta Akuan Berkanun 1960 atau Akta 783. Dalam konteks ini harta yang dinyatakan adalah pendapatan bulanan dan semua harta alih dan tidak alih, di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata akuan berkenaan kemudian akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan dan disalin kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudian dimuat naik senarai nama dan butiran harta anggota Parlimen selama tempoh tiga bulan dari tarikh SPRM menerima akuan berkanun.

“Memandangkan usul ini satu ketetapan Dewan yang akan mengikat semua anggota Parlimen, maka sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada arahan ini, Yang Berhormat boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

“Seterusnya sekiranya didapati membuat akuan tidak benar, maka anggota itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, dan jika disabit kesalahan, anggota Parlimen berkenaan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun tiga tahun dan denda,” katanya.

Cadangan ambil pekerja asing warga Afrika ditarik balik



MalaysiaGazetteMenteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran
KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran menarik balik cadangan membawa masuk pekerja asing dari Afrika bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam sektor peladangan kelapa sawit.

Keputusan tersebut dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menegaskan tiada keperluan untuk mengimport pekerja dari Afrika.

“Oleh sebab perdana menteri berkata tidak ada keperluan membawa pekerja dari Afrika, maka saya akan memaklumkan kepada pemilik ladang bahawa keseluruhan cadangan membawa masuk pekerja asing ke Malaysia digugurkan,” kata Kula Segaran dalam kenyataan yang dilaporkan portal FMT.

Mengulas lanjut, Kula berkata, kenyataannya sebelum ini mengenai perkara itu dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan kontroversi.

Kula berkata, cadangan itu timbul dalam sesi bertemu pemilik ladang di Cameron Highlands yang memberitahu bahawa mereka berdepan masalah kekurangan pekerja.

Mereka seterusnya mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan kemungkinan mengambil pekerja dari Afrika, terutama dari negeara di mana Malaysia membuat pelaburan.

“Ia kelihatan seperti cadangan yang munasabh berlatarbelakangkan masalah kekurangan pekerja di estet di Malaysia,” kata Kula.

“Dalam konteks sesi pertemuan inilah saya timbulkan idea bahawa kerajaan mungkin perlu melihat ke Afrika bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di sektor peladangan di negara ini.

“Dalam pada itu turut ditimbulkan ialah keperluan mendapatkan kelulusan Kabinet mengenai cadangan itu. Ia tidak berlaku pun.”

Kula berkata, pemilik estet menganggarkan kerugian kira-kira RM10 bilion setahun akibat buah tidak dipetik kerana kekurangan pekerja.

Katanya, buah kelapa sawit perlu dipetik dalam tempoh 21 hari selepas masak, dan masalah kekurangan pekerja untuk memetiknya menyebabkan berlakunya lambakan.

Beliau berkata, pemilik estet juga memberitahu bahawa pekerja dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Vietnam tidak lagi berminat untuk bekerja di ladang kelapa sawit, sebaliknya lebih cenderung kepada pekerjaan lain yang enggan dilakukan oleh rakyat Malaysia. –MalaysiaGazette

1MDB: PH perlu berhati-hati jika menuduh Pas






Mohd Zaini Samsu HadiKamaruzaman Mohamad



BANGI – Pas memberi amaran kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya berhati-hati dalam membuat sebarang tuduhan.




Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Pusatnya, Kamaruzaman Mohamad apabila mengingatkan pimpinan PH bahawa sikap yang ditunjukkan oleh mereka mungkin akan ditiru oleh rakyat.




Katanya, sebagai individu yang mewakili parti politik, pemimpin PH seharusnya peka dengan perkara tersebut kerana mereka merupakan penentu kepada situasi politik negara.




“Sebenarnya perkara ini tidak baik untuk negara kerana mereka adalah pemimpin politik dan merekalah yang akan menentukan suasana negara.




“Jadi, sikap mereka ini akan ditiru oleh rakyat. Kami memberi nasihat kepada PH supaya lepas ini lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang tuduhan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Perpaduan Ummah anjuran bersama Pas dan UMNO Bangi di sini hari ini.




Semalam, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Nasuruddin Daud dilapor berkata, sehingga hari ini belum ada pemimpin PH memohon maaf atas tuduhan kononnya Pas menerima dana 1MDB.




Menurut Nasuruddin, Pas masih memberi ruang dan peluang kepada pemimpin PH untuk berbuat demikian selepas bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull dan yang baharu, Latheefa Koya tidak mempunyai bukti pembabitan Pas dengan tuduhan yang dilemparkan.




Dalam perkembangan sama Kamaruzaman berkata, permohonan maaf yang sepatutnya dibuat oleh pemimpin PH bukanlah sekadar berkaitan isu 1MDB malah dalam segenap perkara banyak tuduhan yang dilemparkan terhadap Pas tidak berasas.




“Kalau mereka tak mintak maaf pun kita harap mereka insaf dengan sikap mereka yang sebelum ini yang terlalu terburu-terburu tanpa fakta yang jelas terus membuat tuduhan,” ujarnya. – MalaysiaGazette