Wednesday, September 9, 2015

Hamid Bador gesa pembantu nasihatkan Rosmah jangan ambil kesempatan


Rizal Mansor harus menasihatkan Rosmah Mansor agar tidak menyalahgunakan harta kerajaan serta tidak mencampuri urusan pemerintahan negara.
rizal,rosmah,hamid


PETALING JAYA: Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor digesa supaya menasihatkan majikannya, Datin Seri Rosmah Mansor agar tidak mengambil kesempatan kedudukannya sebagai isteri Perdana Menteri.

Gesaan itu dibuat oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Hamid Bador.

Hamid mendakwa, Rosmah menyalahgunakan harta kerajaan dan mencampuri urusan pemerintahan di negara ini.

“Sebagai Pegawai Khas kepada Rosmah, Rizal harus berani untuk menasihatkan bosnya agar tidak campur tangan dalam hal ehwal kerajaan.

“Dia juga (Rosmah) tidak sepatutnya mengambil kesempatan dengan menggunakan jet kerajaan untuk tujuan peribadi,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today (FMT).

Menurut Hamid, apa yang dilakukan oleh Rosmah itu telah menimbulkan masalah kepada pegawai-pegawai kerajaan.

“Rosmah hanya isteri kepada Perdana Menteri Malaysia. Negara ini adalah untuk 30 juta orang, dia tidak boleh menggunakan segala-galanya untuk kepentingan peribadi,” ujarnya.

Ditanya mengenai apa yang dimaksudkan dengan Rosmah mencampuri urusan kerajaan, Hamid berkata, beliau akan mendedahkan perkara itu tidak lama lagi dan bukan sekarang.

Hamid dalam satu kenyataan baru-baru ini mendakwa bahawa Rosmah hadir di salah satu daripada `mesyuarat tergempar’ yang diadakan oleh Najib mengenai pemecatan beberapa pegawai kerajaan termasuk bekas Peguam Negara, Tan Sri Abd Gani Patail.

Rizal bagaimanapun ketika dihubungi berkata, semua dakwaan yang dibuat oleh Hamid adalah pembohongan.

No comments:

Post a Comment