oleh Liew
Chin Tong Saya kongsikan ucapan saya di
sidang meja bulat pembangkang tempoh hari berkaitan penubuhan Pakatan Harapan
supaya dapat memperdalam debat terbuka dengan lebih banyak perspektif. Saya
memberitahu sidang bahawa saya akan menyentuh empat isu klise yang kerap menjadi
persoalan. Pertamanya, adakah pakatan baru itu ditubuh tergesa-gesa? Sebenarnya, Pakatan Rakyat berakhir pada Jun 2015
walaupun sebenarnya ia gagal berfungsi untuk tempoh agak lama; setidak-tidaknya
sejak krisis Menteri Besar Selangor, atau mungkin lebih awal lagi. Jadi,
sebuah pakatan perlu segera ditubuh kerana pembangkang harus bersedia dengan
kemungkinan Umno menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan
menggantikannya dengan Datuk Seri Zahid Hamidi ataupun Tan Sri Muhyiddin
Yassin. Kerana ada lompong besar dalam kepimpinan politik Malaysia. Lebih
cepat diisi, lebih baik impaknya kepada rakyat yang mahu melihat pembangkang
sebagai pengimbang kepada kerajaan Umno. Yang kedua, mampukah pembangkang
menang pilihan raya akan datang dengan mudah? Ada berpendapat pembangkang
hanya perlu bersabar sementara kerajaan sedia ada hancur sendiri. Tak perlu buat
apa-apa buat masa sekarang, tunggu saja bertanding satu-lawan-satu pada pilihan
raya kelak. Kemenangan pasti diperoleh dengan mudah. Ada kenyataan menyebut:
“Bukan Pembangkang yang menang pilihan raya tapi Kerajaan yang kalah.” Pendapat
seperti ini mungkin ada betulnya tapi ia terlalu berserah. Mengharapkan
menang mudah boleh menyebabkan pengundi takut keputusan pilihan raya tidak
memihak kepada majoriti dan kembali memilih Umno apabila keadaan
mendesak. Jadi, pembangkang harus memupuk sokongan rakyat dan memperoleh
kepercayaan mereka untuk menggantikan kerajaan. Ketiga pula, bagaimana untuk
menang tanpa PAS? Ada juga suara klise betapa PAS memiliki pengaruh terbesar
dalam kalangan pengundi Melayu terutama masyarakat luar bandar. Maka tidak ada
gunanya pakatan baru tanpa penyertaan PAS. Tapi, kita mesti ingat, tanpa sayap
progresif mereka, PAS tidak mampu meraih sokongan pengundi Melayu bandar, apatah
lagi pengundi bukan Melayu. Kalau kita anggapkan saja “angin” politik memihak
kepada pembangkang, keputusan pilihan raya akan datang bergantung sama ada
pembangkang mampu mengalahkan Umno di 35-40 kerusi marjinal di
Semenanjung. Sekarang, Umno memegang 73 kerusi . Jika mereka hilang 40 kerusi
marjinal, ia menjadi titik penamat Umno sebagai kerajaan. Kerusi marjinal
kebanyakannya kerusi separa-bandar di pantai barat Semenanjung dan terdiri
daripada komposisi etnik bercampur. Kerusi-kerusi itulah yang sukar dikuasai
PAS yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang tanpa sayap progresif. Sudah
pasti Umno akan cuba mengulangi taktik yang diguna pakai pada pilihan raya 2013
dengan cuba menakut-nakutkan pengundi Melayu separa-bandar di kawasan kerusi
marjinal terhadap orang Cina. Walaupun taktik itu menjadi pada 2013, tak
semestinya ia menjadi sekali lagi pada pilihan raya akan datang. Lebih
penting lagi, pakatan pembangkang yang baru mesti menyakinkan pengundi Melayu di
kawasan separa-bandar betapa kerajaan baru lebih baik berbanding kerajaan Umno.
Dan, untuk menjadi lebih baik, perkauman tidak harus dijadikan isu. Sebaliknya, kepercayaan dan kesepaduan antara etnik dalam
kalangan rakyat Malaysia perlu dibina demi masa depan yang baru. Jika pakatan
baru pembangkang dapat membina kepercayaan dan kesepaduan rakyat terutama dalam
kalangan orang muda Melayu di kawasan separa-bandar, akan ada gelombang atau
tsunami yang akan menyingkirkan Umno buat selama-lamanya. Gelombang itu
secara dasarnya berkenaan ekonomi. Kita boleh lihat sendiri bagaimana gerakan
‘Baju Merah’ cuba memainkan isu ketidakseimbangan ekonomi antara orang Melayu
dan Cina. Suara mereka mungkin kedengaran bersifat perkauman tapi nada mereka
jelas berkaitan ekonomi. Pakatan baru pembangkang mesti menyakinkan rakyat
Malaysia bahawa amalan kronisme Umnolah yang menyebabkan masalah tiada
pekerjaan dan pendapatan yang mencukupi dalam kalangan orang muda Melayu. Ia
bukan disebabkan oleh orang Cina atau DAP, atau mana-mana hantu momok
lain. Contohnya, dengan kedatangan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang dibawa
masuk ke Malaysia oleh Zahid Hamidi dalam tempoh tiga tahun sejak 2016, akan
wujud persaingan yang mengakibatkan pengurangan pendapatan pekerja
Melayu. Kroni Umno untung tapi orang muda Melayu terseksa. Lebih-lebih
lagi, semua itu tiada kaitan dengan PAS. Ada banyak kerja yang menunggu tapi
melalui kepimpinan sekarang yang konservatif, PAS dijangka tidak berminat untuk
turut sama. Keempat, bolehkan PKR berperanan seperti Tengku Razaleigh Hamzah
(Ku Li) pada 1990? Ada pendapat salah dalam kalangan teman seperjuangan dan
penyokong pembangkang bahawa PKR boleh memainkan peranan seperti Ku Li dengan
menerajui dua pakatan berbeza pada satu masa. Pada 1990, Semangat 46 yang
dipimpin Ku Li bekerjasama dengan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah dan
dengan DAP dalam Gagasan Rakyat. Ketika itu, DAP dan PAS lebih tertumpu pada
kawasan masing-masing dan tidak ada perebutan tuntutan kerusi pilihan
raya. Namun, kali ini berbeza sama sekali. PAS dan Amanah akan bertembung dan
berebut kerusi pilihan raya. Secara dasarnya, PAS sedar dengan kenyataan betapa
Parti Amanah Negara (Amanah) berkembang pesat dan cuba menyingkirkan pengaruh
PAS. PAS tentu tidak akan membenarkannya. Begitu juga Amanah. Kedua-dua parti
itu tidak akan membenarkan PKR untuk menyediakan ruang untuk parti yang satu
lagi. Jelaslah, Malaysia memerlukan pakatan pembangkang yang mampu mengisi
lompong kepimpinan, seterusnya membentuk masa depan dengan polisi yang rasional
dan memimpin negara atas nama kesepaduan, bukannya perpecahan. Sudah tiba
masanya untuk bersikap jelas. Sudah tiba masa untuk bergerak ke depan dan
membentuk masa depan yang baru untuk Malaysia.
"Tak guna ada ramai ahli parlimen muslim jika Islam tidak dipertahankan. Maka tunaikanlah tanggungjawab anda!" - Prof Madya Dr Aznan Hasan. Gambar oleh Nor Azlan Nor Muhammad.
SAYA mencadangkan kepada pimpinan PAS agar tidak lagi menimbulkan isu baiah dan talak tiga. Pada saya, enough has been said. Biarlah perkara tersebut seterusnya diselesaikan oleh pihak yang berkenaan (individu yang keluar dan pihak berwajib).
Jika mereka tidak berniat membawanya kepada Majlis Agama dan Majlis Agama juga tidak berminat untuk membicarakan perkara ini, biarkan sahaja. Tiada sebarang tanggungjawab PAS untuk membicarakan perkara ini. Isu urusan mereka dengan Allah. Overkill kadangkala akan backfire.
PAS seharusnya menguatkan lagi gerak kerja mereka untuk sampai kepada masyarakat dan menjelaskan lagi misi islah PAS. ‘Serangan’ lebih sepatutnya berdasarkan idea dan cadangan.
Umpamanya, golongan GHB kononnya menggelarkan diri mereka progresif dan menggambarkan golongan yang berada di dalam PAS adalah golongan konservatif.
Pada saya adalah berbaloi untuk PAS menjelaskan sisi kefahaman PAS dalam hal ini. Jelaskan bahawa dakwah PAS kini tetap bersifat progresif, tetapi mempunyai paksi thawabit yang jelas, bersifat inklusif, tetapi setia kepada prinsip, bersifat considerate tetapi tidak sehingga sanggup menggadaikan segalanya untuk menang.
Ini akan lebih memberi faedah kepada PAS, pada pandangan saya.
Gerakan kerja penerangan dan outreach seharusnya lebih menjurus ke arah itu. Gambarkan juga bahawa golongan profesional dan anak muda yang kekal dengan PAS amatlah ramai, dan yang berpindah rumah hanya sedikit.
Salah satu satu serangan saraf yang dimainkan oleh kumpulan GHB ialah dengan menggambarkan seolah-olah hampir semua golongan profesional dan anak muda telah keluar dari PAS. Yang tinggal hanya Pak Lebai sahaja. Ini perlu dijelaskan. Oleh kerana itu saya rasa gerakan Profesional Istiqamah yang cuba digerakkan amatlah baik.
PAS juga seharusnya menegaskan bahawa ia tidak akan berundur daripada kawasan-kawasan yang telah dimenangi oleh PAS, tetapi telah dibawa lari ke dalam parti lain (sama ada PKR atau Parti Pekerja-Pekerja Malaysia).
Saya amat bersetuju dengan ketegasan PAS untuk tidak berbincang dengan Parti Pekerja-Pekerja Malaysia. Ia memberikan keyakinan rakyat bahawa PAS tidak dengan mudah sanggup ‘menjual’ prinsipnya demi untuk menang undi. Begitu juga dengan DAP. PAS ada integriti. Harapnya tak ada U-Turn pula selepas ni.
Jika terdapat keperluan (atas apa juga consideration) untuk bekerjasama pada masa hadapan dengan sesiapa sekalipun, PAS wajib menyatakan prinsip-prinsipnya dengan jelas, menjelaskan perkara-perkara yang PAS akan terus memperjuangkannya, dan tiada tolak ansur.
Perlu jelas sejak dari awal lagi dan sebarkan kepada masyarakat. Itu akan menjadi suatu parameter yang akan dipegang dan dapat dinilai oleh semua orang.
Taklah nanti PAS akan dituduh khianat apabila terpaksa bertindak menarik diri apabila pihak-pihak tersebut gagal mematuhi butiran-butiran yang telah dipersetujui.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih tersenyum bangga apabila boleh bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Disember lalu.
"Saya kini, untuk rekod, sebagai perdana menteri tunggal yang boleh bermain golf dengan Obama," katanya berseloroh dalam pertemuan dengan pelajar Malaysia di New York semalam.
Dalam rakaman ucapan yang diperolehi Malaysiakini, Najib berkata bahawa beliau tidak mendapat manfaat dari segi politik daripada perlawanan golf itu.
"Saya lakukannya kerana saya fikir ia adalah langkah positif untuk kita membina hubungan peribadi dengan presiden Amerika Syarikat. Saya lakukannya demi Malaysia, saya lakukannya demi rakyat.
"Malangnya masanya salah, saya tidak mendapat sebarang keuntungan politik," katanya, yang mengundang ketawa hadirin.
Najib berseloroh mengenai kecaman yang diterimanya sewaktu bermain golf dengan Obama sedangkan negeri di Pantai Timur mengalami banjir.
MENGAIBKAN: Tahniah rakyat
Malaysia! Kita akhirnya melakukan sesuatu yang saya rasakan mustahil bagi sebuah
negara kecil seperti kita ini – kita kini dikenali di seluruh dunia!
Malangnya kita mendapat publisiti ini bukanlah
dengan cara yang saya harapkan.
Malaysia sentiasa memainkan peranan kurang
penting berbanding negara yang lebih besar dan “seksi” di Asia Tenggara. Dari
segi pelancongan, kita tewas dengan Indonesia yang memiliki Bali – destinasi
pulau terulung dunia.
Malah, Thailand dan Kemboja pun mengatasi kita,
dan itu tidak termasuk pelancongan seks dan budaya “semua ok” mereka.
Dalam aspek geopolitik juga Malaysia tewas.
Ketika Konfrontasi, kuasa eropah, terutama Amerika Syarikat, berpihak kepada
Indonesia ekoran lokasi strategik dan limpahan sumber aslinya. Negara-negara
lain seperti Filipina dan Thailand memang sudah lama di bawah pengaruh AS,
Singapura dilihat sebagai pusat komersial dan perdagangan strategik, Vietnam
kekal menjadi satu-satunya negara yang menang perang dengan AS dan Taiwan –
walaupun secara teknikalnya bukan sebuah negara – dilindungi kuasa dunia
itu.
Brunei? Status sultan mereka selaku salah
seorang yang paling kaya di dunia memberikan profil tinggi kepada negara itu di
seluruh dunia. Turut membantu adalah skandal-skandal yang berkait dengan
mereka.
Malah “pariah” dunia, Myanmar pun lebih
dikenali berbanding Malaysia dan menghasilkan seorang pemenang Hadiah Nobel
Keamanan.
Jadi bagaimana Malaysia mendapat tempatnya di
pentas dunia? Amat menyedihkan, kita membayar harga yang mahal untuk
itu.
Ada insiden MH370 dan MH17. Limpahan simpati
pada awalnya diganti oleh ejekan ekoran cara pegawai kita mengendalikan tragedi
tersebut. Ditambah pula dengan kemarahan keluarga mangsa, terutama warga
China.
Namun insiden itu hanyalah langkah pertama. Apa
yang benar-benar membuatkan dunia menyedari kewujudan kita adalah laporan Wall
Street Journal tentang 1MDB, dan tindakbalas kerajaan kita yang menyerang
penerbitan yang disegani itu.
Dan sejak itu, Malaysia berhadapan masalah
dengan dua lagi organisasi media, iaitu Al-Jazeera dan Channels News Asia.
Jadi kita kini dalam perang dingin dengan dua
organisasi media antarabangsa, dan satu media serantau.
Tetapi seperti kata orang, publisiti buruk
lebih baik daripada tiada publisiti langsung.
Kalau itu masih belum mencukupi, kita
memutuskan untuk melibatkan Interpol dalam politik dalaman kita apabila pihak
berkuasa membuat permintaan ‘notis merah’ terhadap Clare Rewcastle-Brown. Ia
ditolak serta-merta oleh organisasi antarabangsa tersebut.
Dan jangan dilupa usaha perdana menteri kita.
Beliau telah memupuk persahabatan dengan sebilangan pemimpin dunia, bermain golf
dengan presiden AS Barack Obama. Beliau juga mengimport dua ekor panda dan
berjaya membiakkan seekor anak melalui ‘diplomasi panda’ versinya.
Bercakap tentang diplomasi, surat saya sebelum
ini menyentuh tentang kunjungan duta China ke Jalan Petaling dan kenyataannya.
Dengan melihat kepada kegemparan yang tercetus – oleh kunjungannya, bukan surat
saya – kita mungkin akan menyaksikan permulaan faux pas antarabangsa,
walaupun kemungkinan besar pengakhirannya sama seperti insiden malang yang saya
senaraikan di atas – Malaysia mendapat malu.
Namun lihatlah dari sudut positif – Malaysia
kini dikenali di seluruh dunia, bukan?
Kita boleh merasa senang dengan hakikat
masyarakat seluruh dunia sedang melihat kita, menunggu keaiban seterusnya yang
bakal menimpa.
Jadi marilah kita memberi penghargaan kepada
penguasa yang menjadikan kita bahan lawak terbesar dunia! Kita tentunya tidak
boleh membawa keaiban ini dengan sendiri tanpa pimpihan hebat mereka.
Orang Rusila gempar
dengan penyertaan Ust Miqdad (tengah) bersama
Amanah
Tindakan pemimpin progresif dalam PAS
meninggalkan parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) mengakibatkan
perpecahan bukan saja di kalangan ahli dan pemimpinnya bahkan juga ahli keluarga
pimpinan utama PAS, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Hadi yang berpangkalan di Rusila,
Marang, Terengganu kehilangan keluarganya apabila anak saudara di sebelah
isterinya, Miqdad Zakaria, dilantik sebagai ketua Amanah kawasan
Marang.
Pada 19 September, Miqdad bersama ahli
jawatankuasa Amanah Marang melancarkan program pertama mereka pada majlis
pembukaan pejabat di Wakaf Dua iaitu kawasan penempatan campuran antara Melayu
dan Cina dalam kawasan Marang.
"Saya buat ini atas dasar sayang
kepada rakan seagama sebab saya lihat menjadi satu kesilapan daripada segi
akidah apabila ditanam seolah-olah PAS ini agama," kata Miqdad kepada The
Malaysian Insider. Rumah Miqdad hanya 200 meter saja dari Masjid Rusila dan juga
rumah Hadi. Sejak sekian lama beliau adalah ahli jemaah masjid itu dan kekal
hingga sekarang.
Namun Miqdad terpaksa membayar harga
yang mahal dengan keputusannya menerima pelantikan sebagai ketua Amanah Marang,
kawasan Parlimen yang diwakili Hadi, apabila beliau diboikot penyokong PAS di
tempat tinggalnya sendiri.
"Saya akan hadapi semuanya walaupun
pelbagai perkara dilakukan mereka (penyokong dan ahli PAS).
"Saya diboikot mereka, salam saya
tidak berjawab, 24 surau dan masjid yang selama ini saya dijemput untuk
memberikan kuliah sudah berhenti berbuat demikian," cerita Miqdad yang belajar
di Universiti Al Azhar sebelum ini.
Apa yang dialami Miqdad boleh difahami
logiknya kerana Rusila adalah kubu PAS sejak dulu.
Hadi, yang memberikan kuliah mingguan
di Masjid Rusila sejak 1980-an, dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan
mereka yang menyertai Amanah adalah pengkhianat dan tidak akan bekerjasama
dengan mereka.
Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar
Mohd Tahir berkata, pihaknya menyedari penyertaan Miqdad yang mempunyai
pertalian darah dengan Hadi.
"Saya maklum penyertaan beliau, tetapi
saya tidak pasti beliau merupakan anak saudara Hadi, ataupun anak saudara isteri
Hadi.
"Sepatutnya tidak menjadi isu kerana
mereka sertai Amanah atau mana-mana parti dengan kerelaan masing-masing,"
katanya.
Beliau turut mengakui mempunyai
saudara mara yang merupakan ahli PAS dan Umno.
"Sesiapa pun yang menyertai Amanah
adalah atas kepercayan mereka terhadap parti. "Ada juga ibu dan bapa yang sertai
Amanah, tetapi anak mereka masih mahu bersama PAS, itu tidak menjadi isu,"
katanya. Apa yang dialami Hadi, sama seperti
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Zawawi Salleh apabila adiknya,
Saberi Salleh sendiri turut menyokong Amanah. Saberi yang kini tinggal di Pasir
Puteh, Kelantan juga menjadi penggerak utama penentangan terhadap kepimpinan PAS
sejak penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau PasMa, kemudiannya
Gerakan Harapan Baru (GHB) dan kini Amanah. Di Bachok, Kelantan anak dan cucu
bekas yang dipertua PAS Bachok allahyarham Datuk Omar Muhamad juga menjadi
penggerak utama Amanah kawasan itu. Khairudin Omar, anak bekas speaker
Dewan Undangan Negeri Kelantan itu kini ketua Amanah Bachok manakala anak beliau
yang juga cucu Omar, Syahidulamri Khairudin ketua Pemuda Amanah
Bachok.
PAS kini berpecah kepada 2 dengan
kelahiran Amanah. Ketika pelancarannya 16 September lalu, Kelantan menjadi
penyumbang ahlinya yang paling ramai iaitu 8,000 daripada kira-kira 30,000 ahli
Amanah yang berdaftar ketika itu.
Menjelang hujung tahun ini, Amanah
mensasarkan keahliannya seramai 100,000 orang yang majoritinya bekas ahli
PAS.
Amanah dalam kempennya terus mahu
menyebarkan kasih sayang dengan taglinenya Amanah Sayang Semua, tetapi sukar
bagi PAS menerimanya kerana bagi mereka Amanah adalah pengkhianat perjuangan
mereka. – 29 September, 2015.- sumber
Komen al-Husseyn
:
Laporan di atas tu agak terlebih
sedikit rempah ratusnya bila menyebut "Hadi yang berpangkalan di Rusila,
Marang, Terengganu kehilangan keluarganya apabila anak saudara di sebelah
isterinya, Miqdad Zakaria, dilantik sebagai ketua Amanah kawasan
Marang." Keluarga tetap keluarga. Hj Hadi tidak
kehilangan Miqdad sebagai keluarganya sebagaimana Khalid Samad tidak kehilangan
abangnya, Shahrir Samad. Begitu juga sebagaimana Nik Abduh dengan abangnya, Nik
Omar ... walaupun mereka semua berlainan parti ikatan pertalian darah adalah
lebih pekat dari air... Melalui perbualan inbox difesbuk
bersama Miqdad sebentar tadi, beliau memaklumkan, beliau berkelulusan dari
Mut'ah Universiti Jordan, bukan Universiti Al Azhar sebagaimana yg
dilaporkan. Beliau tetap bersangka baik dengan
ahli keluarga dan org kampungnya dan menganggap mereka sebagai insan-insan yg soleh. Beliau menganggap dirinya hanya
direhatkan dari mengajar di surau dan di masjid, bukan
dipecat. Miqdad tetap
beranggapan baik walaupun salamnya tidak bersambut sebagaimana
biasanya. " Ana kenal keluarga dan org kampung
ana..dia tak akan buat gitu..mungkin mereka jawab dalam hati. " Mereka org baik semua.. perbalahan
diantara ahli kuarga dan org kampung ana tak pernah terasa hati..ana anggap ini
seni dakwah yg patut ana tempuhi" Miqdad berkata. Allahu akbar... Hamba ini berjiwa
besar, tidak terasa terhimpit walaupun diperlakukan sedemikian. Semoga Allah
permudahkan segala urusan Ust Miqdad dalam menempuh segala dugaan dan cabaran
yang bakal dihadapi di masa-masa yang mendatang. Sama-sama kita doakan : Allahumma
Rabbana, min ladunka rahmah, wa-hayyik lana min amrina rasyada ....Ya Allah
wahai tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kami petunjuk
dalam urusan kamu dengan segala petunjuk. Amin.
1. Saya percaya ramai yang tidak tahu
sejauh mana siasatan terhadap skandal 1MDB dan RM2.6 bilion ini sedang
berjalan.
2. Saya percaya ramai yang tidak tahu
apa yang Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang lakukan sekarang dengan kedua-dua
skandal ini setelah beliau dilantik menjadi Peguam Negara.
3. Saya juga percaya ramai yang tidak
tahu sejauh mana siasatan pihak polis yang diketuai oleh Ketua Polis Negara
terhadap kedua-dua skandal ini.
4. Saya dan rakyat Malaysia juga sudah
lama tidak mendengar hasil siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap RM2.6 bilion dan SRC
International.
5. Yang saya dan ramai rakyat Malaysia
tahu, mereka yang serius mengkritik skandal ini pula yang diambil tindakan oleh
pihak berkuasa dan yang terbaru adalah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang
ditahan di bawah SOSMA atas dakwaan cuba mensabotaj negara.
6. Beginikah tahap kecekapan
badan-badan besar yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat skandal 1MDB dan
RM2.6 bilion?
7. Apa yang menyebabkan badan-badan ini
mengambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat skandal ini?
8. Mengapa terlalu sukar untuk
badan-badan ini untuk menemui bukti-bukti penyelewangan dan salah laku yang
berlaku di dalam kedua-dua skandal ini?
9. Selama ini ramai yang memuji dan
menyatakan bahawa PDRM dan SPRM adalah badan penyiasat yang cekap dan tangkas
dalam menangani kes-kes rasuah dan jenayah. Tetapi apabila melibatkan skandal
1MDB dan RM2.6 bilion, ramai menjadi was-was dan ragu-ragu serta bernyata
mengapa kedua-dua badan ini kelihatan tidak bermaya dan lembap?
10. Mengapa siasatan terhadap kedua-dua
skandal ini dilihat seperti dilengah-lengahkan?
11. Mengapa penyelewengan yang berlaku
di dalam skandal ini perlu disembunyikan?
12. Apa yang telah badan-badan ini
lakukan terhadap Najib dan suspek yang terlibat di dalam kedua-dua skandal
ini?
13. Apa sudah jadi dengan badan-badan
ini? Adakah mereka hendak menyelamatkan Najib dan kuncu-kuncunya atau hendak
menyelamatkan Malaysia?
14. Akhirnya, adakah siasatan ini hanya
sekadar satu lakonan dan sandiwara atau bagaimana?
Dapat mesej ni dari rakan mengenai Majlis Penerangan TPPA di PWTC petang tadi. Agak mengejutkan apa yang ditulis, saya copy sepenuhnya ( dengan pembetulan ejaan ) -
Secara halusnya, Tok Pa kata kita takut terlepas peluang. Mungkin tandatangan dalam 1-2 hari, itu pun lepas sebulan akan detail perjanjian akan dikeluarkan untuk tatapan awam. Kemudian akan dikemukakan di sidang parlimen untuk dipersetujui.
Wooooo..... TPPA nak di sain dalam masa terdekat ni ? Sehari dua ni ? Oleh Najib yang kebetulan di New York .... yang kebetulan berdepan dengan siasatan FBI terhadap kelaku nya dalam soal duit bilion2 .....
Saya tak dapat mengesahkan kebenaran mesej itu tapi memandangkan keseriusan dakwaannya, saya postkan juga. Kalau benar bagaimana ?
Kita tidak mahu modus operandi ala 1MDB berulang bawah Najib di mana digunakan cara BUAT DULU, CERITA KEMUDIAN.
Semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), zaman di
mana DAP masih bekerjasama dengan PAS, pembangkang mendapat 52% undi
popular. Namun 52% undi popular yang diperolehi pembangkang tidak dapat
menewaskan Umno-BN, malah pembangkang tewas 89-133 (perbezaan 44 kerusi) di
peringkat Parlimen. Kini pembangkang berpecah, dan tertubuhnya Pakatan
Harapan antara PKR, DAP dan Amanah. Manakala Pakatan Rakyat pula tinggal dua
parti antara PKR dan PAS. Melihat senario perbalahan politik hari ini, boleh
kita simpulkan secara ringkas: a. Majoriti Orang Cina tidak
menyokong PAS dan Umno b. Penyokong PAS tidak akan menyokong DAP dan
Amanah c. Penyokong Umno tidak akan menyokong DAP dan Amanah d. PAS dan
Umno tetap bertembung di kerusi majoriti Melayu e. Kemungkinan besar berlaku
pertandingan tiga penjuru Ada beberapa senario pertandingan tiga
penjuru: Senario 1: PAS lawan Umno, Amanah masuk di
tengah-tengah. Pertandingan ini hanya menguntungkan
Umno-BN.
Senario 2: DAP lawan MCA/Gerakan, PAS masuk
di tengah-tengah dengan seorang calon Melayu.
Pertandingan ini akan
menjadi menarik sekiranya peratusan undi orang Melayu di kawasan ini melebihi
60% kerana DAP sedang bermusuh dengan PAS dan juga Umno, dua parti yang masih
mengawal majoriti undi Melayu.
Senario 3: Tiga
penjuru seperti Kota Damansara dan Semenyih jika perbincangan kerusi gagal
diselesaikan. Perlawanan tiga penjuru ini terbukti memihak kepada Umno, meskipun
di kawasan campuran berinternet tinggi dan ketika pembangkang dalam keadaan
bekerjasama.
Senario 4: Akan berlaku satu senario
yang menarik, di mana Umno merampas kerusi-kerusi MCA dan Gerakan yang mempunyai
lebih 50% pengundi Melayu. Umno akan bertanding melawan DAP sendiri berdasarkan
sentimen orang Melayu terhadap DAP.
Strategi ini akan terpakai sekali
lagi di PRU14 kerana pada hari ini, MCA dan Gerakan sudah dikira lumpuh ekoran
kontroversi perhimpunan baju merah. Jika sentimen kaum masih tinggi,
pertandingan sengit dijangkakan akan berlaku.
Senario
5: Jika DAP menurunkan calon Melayu, situasi Teluk Intan bakal
berulang, malah dengan lebih teruk. Pembangkang esklusif tanpa
PAS
Bagaimana pula dengan undi popular di setiap negeri dan
peringkat nasional bagi Pakatan Harapan tanpa penglibatan PAS
bersama? Analisa berikut melihat peratus undi popular bagi Pakatan Harapan di
setiap negeri untuk 3 senario peratusan sokongan Melayu iaitu pada tahap 20%,
27% dan 33% manakala peratusan undi Cina berada pada 90%, undi lain-lain pada
65% untuk Semenanjung, 45% untuk Sarawak dan 55% untuk Sabah. Analisa dibuat
berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) pada PRU13 dan peratusan keluar
mengundi 85% bagi Semenanjung dan 80% bagi Sabah dan Sarawak. Carta
analisa: Prediksi kasar bagi Pakatan Harapan peratusan undi
popular Berdasarkan
analisa di atas, boleh dilihat kawasan selamat (peratusan undi popular melebihi
50%) bagi Pakatan Harapan hanyalah Pulau Pinang dan juga Wilayah, iaitu kawasan
yang mempunyai lebih 50% pengundi Cina, meskipun peratusan sokongan undi Melayu
hanya 20%. Jika undi Melayu berkisar pada 33%, Pakatan Harapan mempunyai peluang
untuk memenangi undi popular di Johor, Perak dan Selangor. Namun undi popular
tidak mewakili jumlah kerusi dan segalanya boleh berubah jika pertandingan tiga
penjuru berlaku.
Di peringkat nasional, harapan Pakatan Harapan untuk
menguasai Putrajaya sangat malap di mana undi popular hanyalah bergelar sekitar
38%-45% untuk peratusan sokongan Melayu antara 20%-33%.
Ini cuma
anggaran kasar. Namun, ia tetap memberi gambaran mengapa PAS adalah komponen
penting di kalangan pembangkang. Inilah sebab utama PKR masih berharapkan PAS ke
dalam Pakatan Harapan, namun kehadiran Amanah menyulitkan perkara ini. Jika
ada salah seorang pekerja anda, berhenti bekerja dan menubuh syarikat baru
sambil mengambil pelanggan anda bersama, sebagai pengurus syarikat, apakah anda
akan mengiktiraf syarikat baru tersebut dengan berurusan dengan syarikat baru
tersebut?
Jika anda mengiktiraf, bukankah anda sedang memberikan galakan
kepada pekerja-pekerja lain untuk turut melakukan perkara yang sama pada masa
hadapan?
Oleh itu, tiada syarikat akan melakukannya, sebab ia satu
tindakan membunuh diri. Begitu juga dengan parti politik – sehinggalah satu
waktu di masa depan.
Itulah senario kasar di PRU14 pada hari
ini. Namun, ada 4 faktor besar yang boleh menidakkan segalanya iaitu –
perasaan rakyat pada perkauman, nilai ringgit, keadaan ekonomi dan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak, jika beliau terus menerajui BN ketika PRU14
diadakan.
Ada yang bertanya, “Kenapa tergesa-gesa sangat dengan penubuhan Pakatan Harapan (PH)?” Mereka hairan dengan keinginan untuk menubuhkan PH secepat mungkin dan dengan segera. Namun saya pula sebenarnya hairan dengan kehairanan mereka! Tidakkah sesuatu yang baik apabila ianya hilang atau tercicir, maka semestinya kita akan berusaha supaya ianya kita dapat kembali dan dengan seberapa segera? KESAN PECAHNYA PR
Tidakkah mereka sedar bahawa berpecahnya PR telah menggugat kedudukan parti pembangkang dan mengurangkan keberkesanannya? Bahawa tanpa adanya satu gabungan parti pembangkang yang kukuh, yang bergerak sebagai satu, maka rakyat akan hilang keyakinan terhadap kemampuan pembangkang menggantikan BN. Bahawa itulah sebabnya BN telah bersusah-payah berusaha memecahkan PR dengan mengumpan PAS dengan isu hudud? Bahawa ianya dilakukan atas sebab keberkesanan sebagai satu gabungan yang mantap sehingga BN merasa amat tercabar?
Sedangkan isu hudud itu telah ditentang UMNO sekian lama dan tawaran untuk melaksananya mendatangkan risiko terhadap hubungan UMNO dan BN itu sendiri! Namun mereka sanggup menghadapi risiko itu atas sebab ingin memecahkan PR!
Maka apabila PR berpecah, setiap parti bagaikan bergerak bersendirian tanpa penyelarasan yang rapat dan mantap. Penyelarasan dalam strategi bertindak tidak lagi dapat dilakukan dan begitu juga persoalan pendirian bersama terhadap isu semasa. Maka dari keadaan bagaikan tiga orang mendayung sebuah sampan yang telah menjadi setiap orang mendayung seorang diri. Sudah pasti mendayung seorang diri tidak akan lebih efisyen berbanding tiga orang mendayung satu sampan bersama dengan koordinasi yang mantap.
Oleh itu keperluan untuk membentuk kembali sebuah pakatan yang sanggup bersama atas asas seperti yang dipersetujui dahulu adalah amat penting. Keadaan berpisah bukan sahaja menjadikan pakatan kurang berkesan, ianya menambahkan lagi perbalahan kerana tidak lagi bertemu dan berbincang. Lagi lama berpisah, maka lagi lebar jurang pemisahan. Dilebarkan melalui kata nista dan tohmahan yang terus dilemparkan antara satu sama lain.
AMANAH BERSAMA USAHA MENUBUHKAN KEMBALI PAKATAN PARTI PEMBANGKANG
Maka apabila Ketua Pembangkang menjemput AMANAH ke sidang meja bulat untuk mewujudkan kembali satu pakatan parti pembangkang seperti PR sebelum ini, maka kami terus bersetuju untuk hadir. Kami faham bahawa dengan itu perancangan UMNO/BN untuk memisahkan pembangkang dan melaga-lagakannya akan dapat digagalkan. AMANAH juga memahami bahawa itulah tanggung-jawab dan kewajipan sebagai wadah gerakan Islam yang bergiat di dalam arena politik Negara iaitu untuk menyelamatkan Negara dari terus dirosakkan UMNO/BN. Hanya yang tidak melihat kepada keperluan untuk menjatuhkan BN akan memandang sepi jemputan ini.
AMANAH turut memahami bahawa tiada mana-mana satu parti akan mampu untuk memerintah Malaysia secara sendiri. Oleh itu pembentukan pakatan ini penting supaya rakyat melihat kemampuan bersatu dengan mengenepikan perbezaan demi mengutamakan kepentingan rakyat yang sangat mendesak.
Bagi yang menganggap ianya suatu yang boleh dilengah-lengahkan, mungkin mereka tidak memahami bagaimana dengan berlalunya setiap hari tanpa adanya satu pakatan pembangkang yang kukuh, rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kemampuannya untuk memimpin negara. Kalau sesama sendiri pun tidak mampu menentukan keutamaan dan mengenepikan perbezaan, demi kepentingan rakyat, bagaimana pula mampu memerintah, ujar mereka! Apatah lagi apabila setiap hari diisi oleh kutukan dan tohmahan terhadap satu sama lain.
PENUBUHAN PAKATAN PARTI PEMBANGKANG DIPERMUDAHKAN
Sebenarnya menubuhkan pakatan baharu amat mudah kerana semua saling mengenali dan kerangka asal PR masih boleh digunakan sebagai asas pergabungan. PR telah bersama sejak 2008 dan saling memahami sikap dan pendirian masing-masing. Pada masa yang sama mekanisma mengurus perbezaan telah pun diguna-pakai dan terbukti keberkesanannya. Kegagalan mekanisma ini untuk menyelamatkan PR bukan atas sebab mekanisma itu tidak baik, tetapi atas sebab ianya tidak digunakan. Ianya tidak digunakan kerana ada yang termakan umpan UMNO dan tidak mahu pertikaikan ‘keikhlasan’ UMNO.
Prinsip dan mekanisma ‘kerangka dasar dipersetujui bersama’ serta ‘setuju untuk tidak bersetuju’ terhadap dasar lain yang diperjuangkan oleh parti masing-masing, adalah corak pengurusan ‘politik gabungan’ yang amat berkesan. Namun ianya hanya berkesan sekiranya ianya difahami dan diamalkan secara ikhlas dan jujur. Wujudnya prinsip dan mekanisma ini membawa erti bahawa sebagai satu pakatan harus bergerak bersama memperjuangkan perlaksanaan segala dasar yang telah dipersetujui bersama dan ini seharusnya merupakan tumpuan yang patut diberikan. Pada masa sama apabila timbul isu yang tidak terdapat dalam kerangka tersebut, maka setiap parti berhak menyatakan pendirian yang berbeza. Ini bermakna bahawa dalam isu yang tidak terdapat dalam ‘kerangka dasar dipersetujui bersama’, maka boleh berbeza pandangan sambil saling menghormati hak masing-masing untuk berpegang pada pandangan masing-masing.
Sebagai contoh, dalam isu hudud, tiada masalah bagi PAS menyambut tawaran UMNO berhubung perlaksanaannya, tetapi tiada masalah juga bagi DAP menolaknya. Itulah yang dimaksudkan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Dalam keadaan itu maka masing-masing perlu saling menghormati hak masing-masing untuk berbeza pandangan dalam soal yang tidak dipersetujui bersama, tanpa saling menyerang dan mencaci satu sama lain. Pada masa yang sama isu itu perlu dibincang bersama mengenai cara bagaimana menguruskannya. Perbincangan ini perlu dilakukan secara bersemuka, bukan melalui media musuh yang sentiasa ingin mengadu-domba antara satu sama lain. Itu sekiranya memang ikhlas dan jujur untuk mengekalkan gabungan tersebut.
Parti Amanah Negara memahami dan menerima kedua-dua prinsip dan mekanisma ini dan oleh itu sentiasa bersedia untuk menyertai gabungan parti pembangkang apabila sahaja ianya ditubuhkan.
TUDUHAN BAHAWA PAS DIPINGGIRKAN
Ada yang mendakwa PAS dipinggirkan apabila sidang meja bulat ini diadakan. Saya hairan dengan tuduhan itu. Bagi saya amat jelas bahawa PAS telah dijemput berkali-kali. Tetapi PAS yang memilih untuk tidak hadir setiap kali. Dalam erti-kata lain, PAS bukan dipinggirkan tetapi memilih untuk meminggirkan diri.
Kononnya peminggiran PAS dilakukan apabila diadakan sidang meja bulat ini dalam keadaan tergesa-gesa. PAS masih belum bersedia dan kita harus tunggu sehingga PAS bersedia, kononnya. Sebenarnya pintu untuk PAS menyertai PH ini sentiasa terbuka. Apabila PAS sudah bersedia mereka boleh menyertai PH bila-bila masa.
Persoalannya, adakah PH perlu menunggu sehingga PAS sudah bersedia sebelum membina balik apa yang telah berjaya dirobohkan oleh UMNO? Sudah pasti ‘tidak’!
Apa akan berlaku sekiranya PAS terus terpedaya dengan tipu helah UMNO sehingga terus menganggap UMNO adalah rakan yang lebih baik baginya berbanding PH? Atau terpedaya dengan ‘kehebatan sendiri’ sehingga menganggap tidak perlu untuk bergabung dengan parti lain? Bagi saya, PH perlu terus dengan tugasnya dan diusahakan supaya PAS bersama akhirnya. InsyaAllah PAS akan mengingati kembali bahawa UMNO merupakan punca ummat Islam dan Melayu keliru berhubung tuntutan Islam.
DAKWAAN BAHAWA NGO MEMBANTAH PENUBUHAN PH
Berdasarkan laporan NST ada pihak membuat bermacam-macam andaian. Mungkin kerana prinsip “boleh bertahaluf dengan lawan” maka pandangan terhadap media mereka semakin lunak. Oleh itu laporan media mereka dipegang dengan kuatnya. Maka dianggap benar dakwaan bahawa Datok Ambiga telah ‘walk out’ sidang meja bulat sebagai tanda bantahan. Kononnya Maria Chin juga begitu. Sebenarnya laporan tersebut hampir kesemuanya tidak tepat!
Benar Dato Ambiga tidak setuju dengan penubuhan PH secara tergesa-gesa. Tetapi beliau telah mengemukakan pandangannya dan menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak yang ingin membentuk gabungan itu, iaitu parti politik pembangkang yang terlibat. Beliau bertanya mengenai ketidak hadiran PAS dan mengapa PSM tidak dijemput. Tiada pujian kepada PAS yang melambung-lambung seperti yang digambarkan. Beliau seterusnya meninggalkan sidang tersebut apabila sesi perbincangan bersama NGO tamat dan sesi perbincangan bersama parti politik yang terlibat dimulakan. Pihak NGO dibenarkan hadir sesi kedua ini tetapi hanya sebagai pemerhati.
Maria Chin tidak meninggalkan sidang tersebut bersama Dato Ambiga dan telah hadir bersama sehingga selesai. Begitu juga wakil NGO lain seperti ABIM, IKRAM, SYURA dan lain-lain.
MENGAPA DSAI SEBAGAI CALON PERDANA MENTERI?
Ada yang pertikai kenyataan yang dikeluarkan PH mengistiharkan DSAI sebagai calon Perdana Menterinya. Ada yang tanya, kenapa DSAI?
Hakikatnya DSAI adalah pemmpin yang digeruni oleh UMNO/BN dan atas sebab itulah beliau terus difitnah dan dipenjarakan. Tiada yang boleh menafikan peranan DSAI dalam membina Barisan Alternatif pada awalnya dan Pakatan Rakyat kemudiannya. Atas kepimpinan beliau, PR telah mengegarkan kerajaan BN dan berada diambang kemenangan. Segala sumbangan beliau dihargai dan kemampuan beliau diakui.
Pada masa yang sama adalah merupakan satu kezaliman terhadap DSAI sekiranya setelah beliau melakukan segala itu dan difitnah serta dizalimi oleh kerananya; maka dibenarkan rakyat dan negara melupainya. Adalah perlu menonjolkan namanya sebagai calon Perdana Menteri dan mengingatkan rakyat bahawa beliau difitnah dan dipenjara oleh kerana ingin membela rakyat dan menyelamatkan Negara.
Bagi yang sedang selesa bersama keluarga mereka, di dalam istana mereka atau kereta mewah mereka, yang tidak pernah mengalami kesusahan dalam memperjuangkan hak rakyat dan tidak pernah difitnah dan dipenjarakan kerananya; maka mereka seharusnya bertanya kelayakkan diri sendiri sebelum layak bertanya, “sudah tiada orang lainkah?”.
KESIMPULAN
Maka telah tertubuhnya PH adalah dengan tujuan untuk menggantikan PR yang telah “tidak lagi berfungsi secara rasminya” atau dalam erti-kata yang lain, sudah terkubur. Atas keberanian dan kemampuan ketua pembangkang, DSWA melakukannya saya ucapkan tahniah dan syabas!
Adalah menjadi harapan agar semua parti pembangkang dan rakyat jelata akan bersama dalam usaha menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU ke 14 yang bakal dihadapi. Sejauh mana komitmen sesebuah parti politik terhadap usaha menjatuhkan UMNO/BN akan terbukti dalam masa sebulan dua ini. Sekiranya semua komited, maka semua pihak akan bersama. Sekiranya terdapat agenda lain yang tersembunyi, maka mungkin ini tidak dapat direalisasikan. Dalam keadaan itu, adalah lebih baik bagi pandangan saya, agar tidak bersama. Sekiranya bersama, dalam keadaan mempunyai agenda lain yang yang ingin dicapai, maka adalah tidak jelas siapa yang dianggap kawan dan siapa lawan. Ini adalah demi mengelakkan agar semua parti komponen PH tidak lebih sibuk menyerang sesama sendiri dari menyerang musuh bersama.
Semoga Allah mempermudahkan dan meredhai usaha ini.
SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah)
Khalid Samad menggambarkan kemungkinan PAS akan menyertai Pakatan Harapan dalam
masa enam bulan lagi. Katanya, minat untuk PAS menyertai gabungan berkenaan
akan bergantung kepada perkembangan semasa pakatan baru pembangkang
itu. "Kalau kita dapat mewujudkan satu Pakatan Harapan yang baik, lepas tiga
hingga enam bulan mungkin PAS akan memikirkan kembali pendiriannya. “Ini
banyak bergantung kepada apa yang kita lakukan walaupun mungkin kita mula dalam
keadaan begitu tidak semestinya ianya berterusan begitu.” Ahli Parlimen Shah
Alam itu turut berkata beliau yakin gabungan baru itu mampu untuk meyakinkan PAS
bagi menyertai gabungan tersebut berdasarkan kepada prestasinya pada masa akan
datang. "Saya beri sebagai contoh (jangka waktu PAS sertai Pakatan Harapan)
maknanya saya beri had dan waktu. Tetapi maksud saya mungkin sekarang ini dia
(PAS) tidak setuju untuk masuk (Pakatan Harapan) tetapi kalau dia nampak pakatan
ini bergerak dengan baik mungkin dia akhirnya akan masuk dalam masa enam bulan,
mungkin sampai setahun? Kita tengok nanti.” Malah katanya, pintu Pakatan
Harapan sentiasa terbuka untuk menerima PAS pada bila-bila masa. "Peluang
untuk PAS menyertai (Pakatan Harapan) sentiasa terbuka", katanya. Presiden
PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada sidang meja bulat Selasa lalu
memberitahu masih menaruh harapan untuk PAS bekerjasama dalam Pakatan Harapan
yang terdiri daripada PKR, DAP dan parti yang dalam proses didaftarkan,
Amanah. Pada hari sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan
menegaskan parti itu tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang baru dilancarkan
dan pada masa sama tidak sesekali akan bekerjasama dengan DAP. "Pihak penganjur (PKR) telah memanggil (sidang meja bulat) PAS
tapi ditolak, kita tidak boleh tunggu (untuk PAS sertai Pakatan Harapan), Tanpa
wujudnya pakatan sebagai satu gabungan maka penyelarasan itu diantara
parti-parti pembangkang tidak dapat dilakukan dan itu merupakan satu suasana
yang merugikan kita, lagi cepat ianya diatasi adalah lebih baik," ujar
Khalid. Mengulas mengenai kenyataan penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr
Mohamad Agus Yusof, yang menjangkakan bahawa Pakatan Harapan akan kehilangan
undi kaum Melayu, katannya perkara itu tidak boleh dinafikan kerana gabungan
berkenaan baru sahaja ditubuhkan. "Mungkin tahap pemulaan (Amanah) nampak
begitu (tidak diterima) tapi saya rasakan bahawa akhirnya Amanah akan diterima
oleh masyarakat Melayu dan di kawasan yang mana kita bertanding tidak ada tiga
penjuru kita boleh dapat (kekalkan kerusi). Kalau ada tiga penjuru pun kita
(yakin) akan dapat sebahagian (kerusi bekas Ahli PAS) tapi bukan
kesemuanya." "Mungkin kita tidak dapat semua undi Melayu yang pergi kepada
PAS, tetapi saya yakin bahawa kita boleh dapat sebahagian besar daripada undi
Melayu itu," katanya. Agus hari ini berkata kumpulan Melayu konservatif akan
menolak Pakatan Harapan dek kerana ketiadaan PAS dalam gabungan
berkenaan. Kehadiran Amanah yang diilhamkan oleh serpihan PAS juga dilihat
gagal untuk menarik golongan Melayu konservatif yang selesa dengan PAS.
Nada perkauman perhimpunan baju merah disokong Datuk Seri Najib Razak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, dalam satu lagi serangan ke atas perdana menteri yang dilanda masalah itu.
Dr Mahathir berkata beliau merasakan, selepas menonton ucapan yang dibuat Najib mengenai perhimpunan tersebut, ia kelihatan seolah-olah presiden Umno itu menggesa peserta perhimpunan menunjukkan yang "orang Melayu boleh buat apa saja yang orang lain boleh buat".
"Saya tidak lihat orang lain menjerit seperti kumpulan baju merah itu menjerit, mereka bersifat perkauman.
"Saya berada di perhimpunan baju kuning, mereka tidak melaungkan tentang satu-satu kaum, mereka berkata perdana menteri mesti berundur, itu sahaja, tetapi perdana menteri berkata, 'kita boleh bersifat perkauman sepertimana mereka'," kata Dr Mahathir, merujuk kepada perhimpunan Bersih 4 di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Ogos yang dihadirinya.
Beliau juga berkata, jelas sekali perhimpunan baju merah di ibu negara pada 16 September itu mendapat sokongan kerajaan, kerana penunjuk perasaan pergi ke sana menaiki dalam bas Felda dan diberi wang dan makanan.
"Nampaknya kerajaan berada di sebalik perhimpunan itu, ramai daripada mereka orang Umno dan Felda.
"Jadi, hanya orang dalam kerajaan saja yang boleh berbuat begitu," katanya kepada media selepas berucap pada forum keamanan di Holiday Inn Melaka, anjuran Majlis Peguam negeri itu.
Terdahulu, ketika menjawab soalan daripada peserta forum mengenai kaum dan ketegangan agama di negara ini, bekas perdana menteri itu berkata, walaupun rakyat berbilang kaum di Malaysia hidup bersama dalam harmoni, kerajaan yang memerintah menggalakkan sentimen perkauman.
"Sedikit sebanyak, kita menerima perbezaan antara satu kaum dengan kaum yang lain tetapi apa yang saya lihat berlaku hari ini adalah, kerajaan sebenarnya menggalakkan sentimen perkauman, ini sangat sangat tidak baik," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, negara ini boleh dikatakan aman sejak enam dekad yang lalu, kecuali ketika rusuhan kaum pada 1969
"Memanglah kita tidak berpeluk cium dengan satu sama lain, tetapi di sesetengah negara, untuk berjalan di jalanan pun tidak selamat.
"Tidak ada pertengkaran antara kaum, kita merasa aman dan kita membangun lebih cepat daripada banyak negara lain," katanya.
Beliau juga mengingatkan hadirin yang, generasi terdahulu sedar rakyat negara ini banyak perbezaannya, tetapi mereka mahu berkongsi kekayaan dan kuasa dengan cara yang adil.
"Pada mulanya, orang Melayu sebagai orang asal mahukan semuanya untuk dirinya sendiri. Mereka kata ini negara mereka, orang lain semua datang dari negara lain.
"Tetapi orang lain pun ada tuntutan mereka. Dan kalau kita ikutkan tuntutan semua orang, kita akan bergaduh sesama kita dan memusnahkan semuanya dan akhirnya tidak mendapat apa-apa. "Kita perlu beri sesuatu untuk dapat sesuatu," katanya.
Katanya, hakikat yang kaum yang berbeza hari ini masih tidak berpuas hati, bermakna perkara yang betul sudah dilakukan.
"Kalau kita dapati ada satu kaum yang terlalu gembira, itu tandanya kaum ini menjadi kesayangan," katanya disambut ketawa para hadirin.
Negarawan bersara juga mengakui kegagalannya dalam membuatkan semua orang menerima satu bahasa yang boleh menyatukan semua rakyat bersama.
Beliau bagaimanapun berkata, walaupun gam yang melekat rakyat Malaysia tidak sebegitu kuat, perpaduan dalam negara ini jauh lebih baik daripada banyak negara lain yang hanya mempunyai satu etnik saja lapor The Malaysian Insider
HIDUP MELAYU adalah lauangan dari HIMPUNAN MERAH yang diadakan pada sambutan kelahiran hari Malaysia yang lalu, Laungan garang kemerehan ini dengan nada perkauman Melayu di jadikan wacana pasca perhimpunan.
Namun beberapa orang penganalisa politik Malaysia berpendapat gelora perkauman ini perlu dikeluarkan secara berperlembagaan supaya berlaku perbincangan, pendidikan demokrasi dan akhirnya perdamaian ke arah menghormati hak-hak asasi manusia.
Himpunan Baju Merah lebih baik terjadi daripada ia terpendam di bawah tanah, bergerak seperti mafia ataupun pergerakan ektremis yang bersandarkan keganasan untuk merebut kekuasaan – pembunuhan bersenjata seperti gerakan penghapusan etnik di Rwanda dahulu.
Saya percaya setakat hari ini, pihak keselamatan dan keamanan – juga pihak perniagaan dan perdagangan – Malaysia tidak akan membenarkan peristiwa 13 Mei berulang lagi.
Maka tiga orang anggota polis cedera ringan dalam mempertahankan Petaling Street daripada dirempuh para penunjuk perasaan, meski mereka dilemparkan kata-kata kesat “barua Cina.”
Saya boleh katakan Himpunan Baju Merah berjaya mencapai tujuannya untuk menunjukkan (tidak sama sekali kebenaran, melainkan tanggapan) bahawa kononnya orang-orang Melayu tanpa berbelah bahagi bersatu menyokong padu Najib Razak.
MERAH pada dasar beranggapan mereka telah berjaya mengenal pasti apa yang berlaku selama ini antara kaum di Malaysia, Melayu terus tertindas, semua permasalahan adalah di sebabkan oleh kaum Cina khususnya parti DAP. Tuduhan kepada kedua anak berank ini Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sampai ke peringakat kemuncaknya.
Tapi malangnya tuduhan dan tangapan serong MERAH ini tidak di sokong dengan faktar atau pertimbangan akal budi, Tohmahan di buat hanya untuk meraih simpati Melayu yang lain. Pesoalannya benarkan mereka ingin menggadai atau menjual negera ini?
MERAH juga lupa atau sengaja tidak memahami kesilapan lalu, apakah pengagihan kekayaan di negara ini di agihkan oleh DAP atau dari kalangan Cina untuk kepentingan rakyat atau MERAH cuma menukkan rasa untuk mempertahankan tindakan kepimmpinan Melayu yang hidup rakus dengan kekayaan hingga melupakan rakyat jelata.
1- Siapa membela anak dara di pekosa oleh pemimpin Melayu?
2- Kaum mana yang mempertahankan Akta Pengambilan Tanah negara dari dipinda?
Akta gila yang membolehkan tanah sesiapapun di negara ini dirampas kerajaan atas tujuan pembangunan ekonomi semata-mata, yang tersangat luas taksiran dan ruang lintup kuasanya, meliputi kepentingan ekonomi pihak swasta yang boleh saja bertentangan dengan kepentingan orang ramai. Walhal sebelum itu, kerajaan hanya boleh mengambil tanah milik peribadi dan orang ramai atas tujuan kemudahan dan infrastruktur awam.
3- Untuk Melayu Cina DAP juga sanggup merengkok di penjara, ISA 2 tahun.
Pembaca cari lah sendiri siapa mereka.
Pada masa yang sama negara di bawah kepimpinan Najib sedang berperang dengan isu-isu semasa yang amat sukar untuk di bendung. Projek 1MBD contohnya telah mengambil masa yang panjang dn ianya cukup berliku, penyelewangan " Derma RM2.6b " Projek TPPA, Pembunuhan Altantuya di hidupkan kembali juga kaitan dengan masalah hutang negera dan murahnya mata wang Malaysia berbandingan dengan US.
Dengan demonstrasi Baju Merah, sekurang-kurangnya perhatian masyarakat tempatan dapat dialihkan seketika daripada isu yang paling mencabar hari ini, iaitu 1MDB dan desakan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad agar Najib Razak meletakkan jawatan PM.
Ribuan Baju Merah yang berhimpun itu memang menang sorakannya, dengan seruan slogan perkauman yang penuh gegak gempita. Kemenangan sorakan MERAH adalah untuk Najib Razak dan bukannya untuk penambahbaikan untuk rakyat.
MERAH telah menyelamatkan problem Najib buat seketika. Tahniah Merah
Jauh berbeza himpunan MERAH dengan KUNING dalam mempejuangkan hak Rakyat.
Pendekkan tulisan Himpunan Merah lebih kepada mempertahankan Najib dari untuk rakyat.
Panggil duta China: Timbalan menteri luar tak ikut protokol
Timbalan Menteri Luar Negara Datuk Seri Reezal Naina Merican didakwa tidak mengikut protokol ketika memanggil duta China Huang Huikang.
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata untuk memanggil Huang, ia mesti dibuat oleh menteri luar negara selepas berunding dengan perdana menteri.
“Sekarang kedua-dua pihak, perdana menteri dan menteri luar negara berada di luar negara, jadi pemangku menteri luar ialah (Datuk) Hamzah (Zainuddin),” katanya kepada Malaysiakini.
Nazri berkata perbualannya dengan Hamzah semalam mendapati pemangku menteri luar itu tidak menerima arahan daripada menteri atau perdana menteri untuk memanggil Huang.
“Timbalan menteri tidak boleh panggil duta kerana pemangku menteri ialah Hamzah,” katanya.
“Itulah sebabnya bila saya sahkan dengannya (Hamzah) beliau tidak terima arahan daripada kedua-dua pihak, menteri luar dan perdana menteri (untuk memanggil Huang) yang saya simpulkan tiada keperluan kepada duta itu untuk ke Wisma Putra.”
Nazri bagaimanapun tidak pasti sama ada Reeezal (gambar) membuat silap susulan baru dilantik ke jawatan itu. Tugasannya berkuat kuasa pada 28 Julai selepas rombakan kabinet terbaru.
Sin Chew hari ini melaporkan Hamzah sebagai membatalkan panggilan itu.
Hamzah merupakan timbalan menteri luar sehingga rombakan kabinet Julai lalu, yang mana beliau dilantik sebagai menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan.
Kenyataan Huang semasa melawat Jalan Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini dilihat sebagai campur tangan asing, tetapi Huang menjelaskan ia hanya lawatan muhibah.
Sin Chew melaporkan Huang tidak menerima panggilan rasmi daripada Wisma Putra dan Huang tidak akan ke Wisma Putra di Putrajaya hari ini.
Huang dijadualkan untuk menghadiri satu forum di Kuala Lumpur pagi ini.
Malaysiakini telah menghubungi Reezal dan Hamzah untuk mendapatkan respons mereka.