Thursday, February 11, 2016

Tiada pihak boleh sekat PAN untuk bertanding - Anuar Tahir


 Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) berpendapat mana-mana parti politik di negara ini hendaklah bersikap terbuka dalam menghadapi persaingan daripada musuh mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
 
Setiausaha Agung PAN, Anuar Tahir berkata tiada pihak yang boleh menyekat mana-mana parti untuk bertanding di mana-mana kawasan, termasuk kawasan kubu kuat PAS.
 
"Saya juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bertanding menentang Amanah dalam pilihan raya yang akan datang. 
 
"Ini sistem demokrasi bukan namanya demokrasi jika kita hendak mengehadkan perlawanan maknanya kita hendak menang sendiri dan jika begitu tidak perlu adakan pilihan raya.
 
"Jadi kita kena alu-alukan pertandingan dengan baik dan tidak ada siapa boleh sekat sesiapa hendak bertanding di mana-mana. Dia sebagai parti kena fikir jika dia boleh bertanding di situ maka silakan,"katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Anuar juga menasihati semua parti di negara ini supaya tidak saling bermusuhan dan berusaha untuk menghancurkan antara satu sama lain.
 
"Saya bagi pihak parti Amanah Negara atau singkatan kami Amanah mengalu-alukan siapa-siapa sahaja mari kita bertanding sebagai parti yang bertamadun dalam masyarakat yang bertamadun.
 
"Kita hidup di kurun yang baru jadi bukan suasana permusuhan, benci membenci dan usaha untuk memusnahkan antara satu sama lain kita kena jadi negara yang betul-betul maju dari segi pengamalan demokrasi,"ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengalu-alukan PAN untuk bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN yang diwakili Pas, pada pilihan raya umum akan datang.
 
Menurut Takiyuddin, Pas tidak mempunyai kaitan langsung dengan parti itu walaupun ramai pemimpin dan anggota PAN terdiri daripada kalangan bekas anggota PAS.
 
Beliau yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata, tindakan PAN untuk meletakkan calon mereka diyakini tidak akan menjejaskan undi yang diterima PAS sebelum ini.

No comments:

Post a Comment