Thursday, February 11, 2016

Najib suruh kementerian berjimat hanya gimik


 
SHEIKH_OMAR_ALI_SENAWANG_03072015_TMIKAMAL_ARIFFIN_09

Oleh Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR : Pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada kementerian dan jabatan kerajaan supaya berjimat dalam berbelanja ketika melakukan lawatan kerja dan majlis rasmi hanya gimik.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali menyifatkan Najib tidak serius dan tidak lebih sekadar mempermainkan rakyat dengan gimik melalui kenyataan seumpama itu ketika ekonomi sudah parah, ditambah pula pelbagai skandal kewangan.

"Alangkah baiknya jika beliau membuat seruan ini sejak awal dahulu lagi. Najib tidak seharusnya bertindak sewaktu nasi sudah menjadi bubur," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Semalam, Najib yang terpalit dengan pelbagai skandal berbilion ringgit, berpesan kepada kementerian dan jabatan kerajaan supaya berjimat dengan menyarankan karpet merah untuknya serta hidangan makanan istimewa dikurangkan.

Pada masa sama, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerima peruntukan bajet tertinggi pada tahun ini berbanding kementerian dan jabatan lain sehingga mengundang kritikan serta desakan supaya mengurangkan perbelanjaan jabatan itu.

Menyifatkan pesanan itu tidak selaras dengan keazaman Najib untuk mengubah keadaan ekonomi negara, Sheikh Omar berkata, rakyat tidak lupa segala kepincangan ekonomi hasil pelaksanaan dasar kerajaan yang mengakibatkan hidup rakyat terbeban.

"Rakyat masih tidak lupa isu pemborosan seperti penggunaan jet peribadi secara tidak masuk akal, bil utiliti di Seri Perdana yang melampau. Ia tidak sama sekali menunjukkan keikhlasan serta keazaman politik terhadap nasib rakyat dan ekonomi negara.

"Bukan soal saranannya itu lebih utama ialah isu besar seperti skandal 1MDB, dana RM2.6 bilion, krisis Tabung Haji dan ketirisan serta pemborosan kerajaan perlu dijawab segera untuk menyakinkan rakyat," katanya. -Roketkini.com

No comments:

Post a Comment