Tuesday, February 9, 2016

Isu MB: Bendera BN terbalik tanda protes?


 
ALOR SETAR – Selepas lebih dua minggu kemelut politik Umno Kedah berpanjangan sehingga mengakibatkan berlaku pertukaran Menteri Besar Kedah, pergolakan dalaman parti pemerintah itu seolah-olah belum menemui jalan penyelesaian.

Biarpun Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sudah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melepaskan jawatan itu pada 3 Februari lalu, konflik itu kelihatan masih mendapat bantahan daripada akar umbi khususnya di Kawasan Jerlun.

Setelah seminggu Adun Bakar Bata itu mengangkat sumpah sebagai menteri besar, situasi politik Umno dan BN kini berhadapan pula dengan protes ahli-ahlinya yang didakwa sengaja menggantung bendera BN dalam keadaan terbalik di sepanjang jalan utama.

Difahamkan, tindakan protes itu dibuat sebagai tanda penolakan akar umbi terhadap pelantikan Ahmad Bashah sebagai menteri besar baharu.

Perbuatan itu mula diviralkan di laman sosial sejak 7 Februari lalu melibatkan beberapa lokasi di sekitar Jerlun, Jerai, Kubang Pasu dan Bandar Baharu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar jalan utama Sungai Petani, Jerai, Guar Chempedak, Alor Setar, Jerlun dan Kubang Pasu mendapati tiada bendera BN yang kelihatan dipasang terbalik.

Malah pemerhatian di Wisma Umno Jerlun dan Pusat Khidmat Dun Ayer Hitam juga tidak memasang bendera BN mahupun Umno.

Hanya di Pusat Khidmat Dun Bakar Bata, Wisma Umno Jerai dan Wisma Umno Kubang Pasu sahaja yang kelihatan memasang bendera parti di pintu masuk bangunan berkenaan.

Konflik dalaman Umno bermula apabila kesemua kepimpinan Umno Kedah dan wakil rakyat secara konsensus menyatakan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno Kedah pada 20 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat setelah semua Ketua Umno Bahagian, Ahli Parlimen, Adun dan Ketua-ketua sayap parti sebulat suara mahu Mukhriz undur dan melepaskan jawatan tersebut.

Adun Ayer Hitam itu juga dikatakan gagal mengurus tadbir kerajaan negeri secara berkesan selain tidak menunaikan manifesto PRU13.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid turut mengesahkan menerima maklumat tersebut setelah ia diviralkan di media sosial, baru-baru ini.

“Saya percaya tindakan protes di satu-satu kawasan itu mungkin berlaku tapi belum dapat gambaran sah daripada Umno Bahagian berkenaan.

“Kita tidak mahu ambil tindakan drastik, sebaliknya minta Umno Bahagian salurkan maklumat berkaitan untuk memudahkan kita mengambil tindakan,” katanya.

Jelasnya, perbezaan pendapat antara sesama individu dan pemimpin adalah perkara biasa, namun tindakan menggantungkan bendera parti dalam keadaan terbalik adalah keterlaluan.

“Bermacam kemungkinan boleh berlaku termasuk sabotaj daripada pihak luar. Bagaimanapun, setiap Umno Bahagian tahu apa tindakan yang harus mereka lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) Zainal Abidin Muhamad ketika dihubungi mengesahkan insiden bendera BN digantung dalam keadaan terbalik, baru-baru ini.

“Kita ada menerima aduan berhubung kejadian bendera parti digantung terbalik di beberapa lokasi sekitar Jerlun. Tapi antara lokasi yang kita dapat kesan adalah di Padang Perahu.

“Pihak Penguatkuasa MDKP juga telah diarah menurunkan semua bendera tersebut pada hari berkenaan dengan segera,” katanya.

No comments:

Post a Comment