Tuesday, February 23, 2016

Kronologi pemecatan 2 Adun PKR di Pulau Pinang dan disebalik apa yang berlaku


Kronologi pemecatan 2 Adun PKR di Pulau Pinang
– Muammar Qaddafi | 21 February 2016 10:46 PM


Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini dilaporkan memecat 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR yang memegang jawatan pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) berikutan kegagalan mereka berdiri menyokong pentadbiran kerajaan negeri dalam isu tebus guna tanah di Pulau Pinang.

Kronologi isu ini tidak boleh dinilai pada peringkat usul yang dibawa Adun Umno untuk menangguhkan projek tebus tanah yang memudaratkan alam sekitar lalu beberapa Adun PKR bertindak untuk berkecuali dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) demi kepentingan alam sekitar membelakangi kerajaan negeri seterusnya membawa kepada pemecatan mereka secara diktator Lim Guan Eng.

Sebaliknya isu ini perlu dinilai pada peringkat awal ia diluluskan dan kesan jika ia ditangguhkan.

Rakyat perlu tahu yang meluluskan projek ini demi kepentingan kroni adalah Umno dan Barisan Nasional (BN) sewaktu mereka memerintah Pulau Pinang.

Ya, BN sebenarnya meluluskan projek ini dan yang menyokong kelulusan dulu adalah parti Adun sama membawa usul penangguhan ini iaitu Umno.

Rakyat perlu tahu juga asalnya seluas 3,241 ekar diluluskan untuk projek ini oleh BN namun kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Guan Eng hanya 744 ekar sahaja boleh ditebus guna.

Rakyat perlu tahu jika usul yang diluluskan Umno/BN ditangguhkan maka kerajaan negeri perlu membayar RM1 bilion kepada syarikat terlibat sebagai pampasan. Hal ini sekali gus boleh membawa kerajaan negeri bankrap dan ribuan juta duit rakyat jatuh ke tangan syarikat terlibat.

Rakyat perlu tahu sudah berlaku 2 kes seumpama ini apabila kerajaan negeri perlu membayar pampasan kepada syarikat yang terlibat iaitu dalam skandal tanah Tang Hak Ju sebanyak RM14.7juta dan Bousted Holding Bhd sebanyak RM20 juta kerana mengurangkan ketinggian hotelnya berpunca daripada tindakan kerajaan Umno/BN meluluskannya sebelum itu?

Adakah kerajaan negeri sekali lagi perlu menanggung kerugian kerana tindakan pimpinan lama kerajaan negeri?

Jadi saya sendiri hairan dengan sikap berkecuali 5 Adun PKR terhadap isu ini seolah-olah mereka tidak tahu kesannya kepada kerajaan negeri.

Tindakan 5 Adun PKR ini sekali gus menikam kerajaan negeri dari belakang bahkan tidak merujuk pun kepada pimpinan PKR negeri.

Pemimpin ini bersekongkol dengan Umno/Bn untuk mendesak kerajaan negeri menggunakan duit rakyat untuk membayar ganti rugi kerana ketamakan pemimpin kerajaan Pulau Pinang sebelum ini iaitu BN.

Pun begitu demi mengurangkan kerosakan hubungan PKR – DAP kerana isu ini saya mengesyorkan pengganti 2 Adun yang dipecat sebagai GLC juga adalah dari PKR, yang dihukum itu haruslah individu bukannya parti yang terlibat. – 21 Februari, 2016.

No comments:

Post a Comment