Wednesday, February 10, 2016

Jangan membazir sambut saya, pesan Najib


Najib tidak kisah dengan sambutan yang sederhana kerana baginya, setiap lawatan kerja adalah untuk merasai 'denyut nadi' rakyat.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berpesan kepada kementerian dan jabatan kerajaan agar tidak membazir dalam berbelanja ketika menyambutnya dalam lawatan kerja dan majlis rasmi.
Beliau tidak kisah dengan sambutan yang sederhana kerana baginya, setiap lawatan kerja adalah untuk merasai 'denyut nadi' rakyat.
"Terima kasih untuk segala persiapan menyambut saya. Saya faham jika ada protokol yang perlu diikuti, tetapi di mana boleh, kita kurangkan persiapan seperti karpet merah, hidangan istimewa dan sebagainya.
"Fokus utama kita adalah rakyat, bukan protokol. Setiap lawatan kerja yang saya lakukan adalah untuk bersama rakyat dan mendengar masalah mereka," katanya menerusi laman blognya www.najibrazak.com.
Nasihat berikut adalah susulan kepada peringatannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri 6 Januari lalu agar kepada Jemaah Menteri dan kementerian mengamalkan perbelanjaan berhemah.
"Ia juga merangkumi perbelanjaan ketika sambutan lawatan kerja dan majlis rasmi bersama saya atau menteri lain. Saya lihat masih ada perbelanjaan yang boleh kita kurang atau elakkan," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment