Baiklah, saya akui ramai yang menangis hiba dan tidak kurang yang bersorak gembira kerana anak bekas perdana menteri disingkir daripada jawatan menteri besar Kedah.
Saya dah tengok banyak drama politik macam ini sampai dah mangli. Akhirnya kita kena tolak emosi dan terima realiti.
Ada yang menangis dan ketawa itu ikhlas. Tapi mesti ada yang menangis dan ketawa dalam kapasiti mereka sebagai pemakan dedak.
Nak simpati dengan (Datuk Seri) Mukhriz Dr Mahathir sangat-sangat pun susah. Selepas 1,003 hari jadi MB tak kan tak ada seorang dua Ahli Dewan Undangan (ADUN) Umno yang sokong beliau. Tak masuk akal. Mesti ada sebab. Tak tahulah kalau semua ADUN Umno makan dedak atau kena tunjuk fail SPRM.
Buat masa ini, macam kata orang putih, Mukhriz “is history”. Kalau nak cergas dalam politik juga, dia kena modelkan semula diri dia. Stail merak kayangan tak jalan.
Sekarang mengenai menteri besar baru, (Datuk Seri) Ahmad Bashah Md Hanipah. Dia ni daripada generasi dan latar belakang saya.
Ahmad Bashah jadi pilihan. Allahyarham ayah saya kenal baik ayah dia. Mereka sama-sama berniaga getah dan cergas dalam politik akar umbi Umno. Kedai ayah saya di Tanah Merah, Pendang. Kedai ayah beliau di Kubur Panjang. Jarak tak sampai 10 kilometer.
Ramai orang perli dia pasal latar belakang pendidikan dia. Tak patut. Sudah kira tumbuk perut. Tak gentleman.
Ahmad Bashah tak patut malu. Dia patut bangga. Anak peniaga getah boleh naik jadi MB dengan hanya kelulusan sekolah menengah. Ada orang kata lulus SRP dan ada kata SPM.
Ramai dalam generasi dia dan saya tak mengaji tinggi. Tak ada peluang dan sebab desakan hidup. Kena cari kerja sebaik saja cukup umur kerja. Saya pun mengaji bukan tinggi sangat. Anak-anak saya lagi tinggi belajar daripada saya.
Yang patut malu adalah ADUN-ADUN Umno yang ada ijazah berjela-jela tu la. Merekalah yang patut malu. Kalau mereka hebat, pasal apa tak dilantik jadi MB?
Mengaji tinggi, mengampu pandai
Mengaji tinggi, berkonspirasi pandai, mengampu kelas dunia, stail macam Mat Salleh tapi tak dapat jadi MB.
Katakanlah Ahmad Bashah yang jadi kepala konspirasi jatuhkan Mukhriz. Lagi terer (terror), lagi hebat. Budak kampung mengaji sekolah menengah boleh makan budak lulus universiti Amerika dan Jepun.
Bukan itu saja. Perdana Menteri dan Presiden Umno, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib bin Abdul Razak lebih percaya dan teruja dengan budak lulus sekolah menengah daripada segala para sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam DUN Kedah.
Atau kita boleh kata, inilah kesudahan politik dedak, cantas mencantas, konspirasi dan anti-orang pandai yang diamalkan oleh Umno sejak sekian lama. Lulusan sekolah menengah naik jadi MB!
Selepas 70 tahun mendakwa berjuang untuk agama, bangsa dan negara dan 58 tahun menerajui Malaysia inilah agaknya penghujung jalan bagi Umno.
Pasal makan dedak, saya nak cerita sikit. Saya boleh kata pakar dalam hal dedak. Ayah saya pernah bekerja di kilang beras. Dedak adalah hasil sampingan mengilang padi jadi beras.
Dedak dibagi makan kepada ayam, itik dan babi. Sebab kurang zat kena campur dengan nasi basi dan sisa makanan lain. Silap-silap campuran ayam, itik dan babi boleh tercekik. Jadi hati-hatilah bila makan dedak.
No comments:
Post a Comment