Wednesday, February 3, 2016

Putrajaya bidas laporan ‘Najib menteri kewangan Asia paling teruk’


Malaysia mencatat perkembangan ekonomi, termasuk peningkatan kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) daripada RM528 billion kepada RM877 billion dari tahun 2009-2015, hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Malah, menerusi pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan, ekonomi negara berkembang daripada 1.9% pada 2009 kepada 6.0% pada 2014 dalam persekitaran ekonomi dunia yang lembap serta beberapa cabaran lain, kata kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai membidas artikel oleh FinanceAsia bertajuk "Najib Razak: Asia's Worst Finance Minister 2016" (Menteri Kewangan Asia Paling Teruk 2016).

Sambil menyangkal tuduhan dilemparkan portal itu, MoF berkata adalah tidak beretika bagi media itu membuat penilaian berdasarkan perkembangan dalam tempoh 12 bulan dan bersandarkan beberapa pertuduhan tidak berasas serta berat sebelah. MoF sebaliknya menegaskan, di bawah kepemimpinan perdana menteri, ekonomi Malaysia terus mencatatkan perkembangan sebanyak 4.5% hingga 5.5 pada 2015.
Malah, kadar pengangguran turun daripada 4.5% kepada 3.0% dengan sejumlah 1.8 juta pekerjaan baharu berjaya diwujudkan.
Pendapatan per kapita pula meningkat daripada RM24,541 kepada RM33,572, manakala defisit fiskal berkurangan daripada 6.7% kepada 3.2%.
"Walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu, Malaysia masih optimistik dengan sasaran pertumbuhan KDNK pada kadar 4.5% bagi tahun ini.
"Jadi, jika Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.5% dalam keadaan ekonomi yang lembap ini, boleh dikatakan ekonomi Malaysia masih kukuh jika dibandingkan dengan beberapa negara Asia yang lain," jelas kementerian itu.
MoF turut mempersoalkan tujuan artikel tersebut yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang teruk dan menggunakan tajuk sedemikian bagi meningkatkan semula laman web media itu.

No comments:

Post a Comment