Wednesday, February 3, 2016

Tiada maaf untuk Najib, Umno Kedah


Mahfuz Omar


Peletakan jawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir suatu yang menyedihkan rakyat Kedah.
Peletakan jawatan beliau kerana tiada pilihan disebabkan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan Barisan Nasional (BN) dikatakan hilang kepercayaan terhadap beliau.
Dari awal lagi pendirian saya sangat jelas. Apa keperluan untuk tukar menteri besar Kedah.

Kedua ialah proses hendak tukar menteri besar pula dibuat dengan mencetuskan keresahan pada rakyat yang sedang menghadapi kemelut dan krisis ekonomi yang membawa mereka berdepan dengan beban kehidupan yang sangat teruk. Kini rakyat diheret untuk berdepan dengan kemelut dan krisis politik yang dicetuskan bagi menyempurnakan agenda melenyapkan musuh politik Putrajaya.
Kedah hilang pemimpin berprinsip
Peletakan jawatan Mukhriz sebagai menteri besar adalah kerana keberanian dan kelantangannya dalam kelembutan sifatnya menegur dan mengkritik presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga berkuasa sebagai perdana menteri tanpa menghiraukan akibat yang bakal diterimanya.
Kecekalan dan ketegasan beliau ini adalah kebanggaan rakyat Kedah khususnya di kalangan generasi muda.
Kini beliau menjadi mangsa kepada ketegasan dan keberanian beliau berkata benar di hadapan presiden partinya yang bergelumang dengan segala salah laku dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), RM2.6 bilion, rasuah serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat.

No comments:

Post a Comment