Wednesday, February 3, 2016

Ahli UMNO ragui kemampuan Bashah


Beliau dilihat lebih kepada seorang pengikut bukan pemimpin.
Ahmad Bashah
ALOR SETAR: Pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah sebagai Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikritik hebat oleh akar umbi UMNO di Kedah.
Rata-rata akar umbi UMNO menyifatkan Ahmad Bashah tidak layak menjadi Menteri Besar kerana kemampuannya untuk mentadbir negeri 'Jelapang Padi' itu diragui.
Ketua Umno Cawangan Bandar Laguna, Zahran Abdullah berkata Ahmad Bashah tidak sesuai menjadi Menteri Besar kerana tidak menepati citarasa anak muda sekarang.
Katanya, Ahmad Bashah yang juga ADUN Bakar Bata tidak mampu menjadi idola untuk orang muda kerana sudah 'lapuk'.
"Kita tidak nafikan beliau orang lama dalam politik di Kedah, tapi beliau (Bashah) sebenarnya sudah lapuk.
"Beliau lebih kepada seorang pengikut yang setia dan bukan seorang pemimpin," katanya kepada FMT.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Jalan Badlishah, Anuar Abdul Hamid berpandangan Ahmad Bashah sukar untuk meraih sokongan akar umbi terutamanya daripada golongan muda.
Katanya, ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar, beliau sangat disenangi oleh semua lapisan masyarakat tua dan muda.
"Saya tidak yakin dia mampu ambil hati akar umbi, orang kampung, kaum wanita dan golongan tua dan muda.
"Ini berbeza dengan Mukhriz yang dilihat menjadi satu tarikan tak kira tua atau muda, mereka sangat suka dengan beliau (Mukhriz).
"Kami tidak ada langsung keyakinan terhadap Ahmad Bashah," katanya.

No comments:

Post a Comment