Monday, February 15, 2016

Apa nasib pekerja tempatan?


N Gopal Kishnam
N Gopal Kishnam 
 
 
SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak dapat menerima kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan berhubung kemasukan sebanyak 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh.

Setiausaha Agungnya, N Gopal Kishnam berkata, pekerja-pekerja yang sebelum ini bekerja di sektor perladangan kini boleh diserap ke dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

"Kami merasakan lebih wajar dan baik sekiranya pekerja tempatan sendiri diberikan latihan secukupnya di samping gaji yang diterima setimpal untuk diserapkan dalam sektor kerja separa mahir.

"Sektor ini gagal mengambil hati pekerja tempatan kerana gaji rendah dan masa bekerja yang panjang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mempersoalkan mengapa ramai warganegara Malaysia merantau ke Singapura setiap hari untuk menyara hidup.

"Saya nak tanya siapa banyak buat kerja-kerja separa mahir di Singapura? Walaupun ia kerja separa mahir tetapi imbuhan diterima tinggi, maka pekerja tempatan ini sanggup berulang alik ke negara jiran.

"Mereka yang bekerja di Singapura ini bukan sahaja profesional, malah terdiri daripada golongan yang terkandas dalam pelajaran dan pekerjaan am," katanya.

Gopal turut melahirkan kebimbangan mengenai keadaan semasa di negara ini di mana beribu-ribu pekerja asing beroperasi secara haram dan tidak mempunyai sebarang dokumen sah.

"Kerajaan seharusnya mencari jalan penyelesaian bagi menangani isu mereka sebelum membuat keputusan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing lagi.

"Saya rasa sekiranya kerajaan serius dengan pengiktirafan untuk mencapai negara berstatus pendapatan tinggi, maka mereka haru mengehadkan pekerja asing di tempat kerja seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (Pengurusan pekerja asing ke paras 15 peratus)," katanya.

Namun begitu, Gopal berkata, berdasarkan perkembangan semasa, beliau kurang yakin hasrat tersebut mampu dicapai.

"Sehingga hari ini lebih kurang 7 juta pekerja asing berada di negara ini dan hanya 2.1 juta sahaja yang memiliki dokumen sah," katanya.

Katanya, kementerian perlu melaksanakan kajian mendalam berkaitan pemecatan, pengangguran dan keperluan pasaran tenaga kerja bagi membolehkan kerajaan mengehadkan pengambil pekerja asing secara beransur-ansur.

"Pengumuman kerajaan untuk membawa masuk pekerja warga Bangladesh ini seolah-olah bertujuan untuk mengecualikan pekerja tempatan daripada perintah gaji minimum. Ini suatu tindakan diskriminasi.

"Negara tidak harus bergantung kepada sumber tenaga kerja dari negara asing. Keadaan ini sudah tentu akan memudaratkan ekonomi tempatan dan memberi kesan buruk kepada penduduk tempatan," katanya.

No comments:

Post a Comment