Wednesday, February 3, 2016

Apa erti krisis dan penggantian kerusi MB Kedah ?


Catatan Umum

1. Isu krisis jawatan MB di Kedah yang berakhir pagi ini sebenarnya bukan isu rakyat, ia isu Umno dan isu orang orang kaya. Mukhriz tidak akan miskin pun kalau dia tidak jadi MB dia adalah tauke Opcom Holdings Bhd yang ditubuhkan 1994 yang kaya raya dapat projek gentian optik semasa Mahathir dalam kerajaan lagi.

2. Mukhriz juga Pengerusi TBWA-ISC Malaysia Sdn. Bhd, Airzed Networks Sdn. Bhd. dan Bioven Holdings Sdn. Bhd. Juga merupakan Pengarah Opcom Niaga Sdn. Bhd., Ajiya Berhad, Kosmo Technology Industrial Bhd dan Reliance Pacific Bhd jadi makcik - makcik yang menangis sedih sangat tu elok berhenti sedih pasal orang, maka sedih pasal hidup sendiri dalam negara yang ekonomi dikuasai pemodal besar dan kroni yang diwariskan oleh Mahathir dan diteruskan sehingga zaman Najib ini.

3. Pertembungan ini adalah soal parti Umno kerana 'katanya' Mukhriz gagal menjaga kelompok Umno malah dia digelar Menteri Besar waktu pejabat sebab semua kena ikut waktu dia bekerja, itu sebab dia sendiri tak sedar serang hendap dalam negeri sendiri. Malah dia punya 'bossy' mengakibatkan beberapa kali mesyuarat exco kerajaan negeri dibuat di Kuala Lumpur. 

4. PKR cuba campur tangan dengan nyatakan sokongan pada Mukhriz di saat hujung usia jawatan MBnya. Ini tak ubah seperti Umno sokong Khalid Ibrahim di hujung usia MBnya di Selangor. Sama dan serupa, ini sangat memalukan seharusnya selaku parti progresif dan pro demokrasi tuntutan seharusnya mengembalikan semula kuasa kepada rakyat tetapi PKR telah menunjukkan sikap sama dan serupanya.

Dan tidak kreatif langsung sepatutnya ketika krisis seperti ini pembangkang harus tunjuk penyatuan dan ajukan nama bakal MB bukan Bn sendiri dan ajukan pada Istana... baru stylo.

5. Maka apa yang berlaku seminggu dua ni dan keputusan berjaya menurunkan Mukhriz dan menaikkan Basha ialah pasukan pembangkang yang pro Mahathir kalah ditangan Najib dan pasukan pembangkang yang pro Najib. Rakyat akan melihat analisis ini kerana masing - masing memilih untuk menunjukkan sikap berpihak pada kekuasaan dengan tidak ada pun suara ADUN yang pro demokrasi dan progresif ke arah memperkasa kuasa rakyat.

6. Kutukan terhadap Bashah kerana kononya tahap pendidikannya cuma SRP percayalah semakin menjauhkan kelompok pengundi tertentu. Bagi saya rakyat melihat Umno lebih praktikal dalam perkara ini. Ini beerti praktik untuk memilih pemimpin perlu sijil bergulung gulung adalah salah. Apa guna sijil bergulung - gulung kalau tak mampu menyusun massa dan penyokong di bawah tetapi ego dan terkongkong dengan teori semata - mata. Krisis di Kedah membuktikan Mukhriz yang kononya 'mengaji' tinggi tersungkur di kaki Bashah yang hanya SRP (jika benarlah tuduhan Bashah hanya lulus SRP) dan jika pembangkang terus bodoh memainkan isu ini maka yakinlah kelompok yang gagal meneruskan pelajaran atas perbagai alasan termasuk terhimpit dengan kehidupan maka akan lebih dekat dengan Umno dan menjadikan Bashah 'ikon' mereka.
Kalau saya Bashah saya sebut dengan mudah, saya tidak beranak dalam dulang emas seperti Mukhriz, saya orang kampung yang mak dan bapa saya susah. Mereka sudah sekolahkan saya semampu mereka. Jangan hina ibu bapa saya yang juga mewakili banyak ibu bapa melayu kampung yang susah. Bila saya sudah dewasa saya terlalu sibuk berkhidmat untuk rakyat , saya lupakan hasrat menyambung pelajaran kerana saya sudah mampu untuk terus kehidupan tapi saya pilih untuk pastikan anak - anak saya dan anak - anak Malaysia yang lain mampu meneruskan pendidikan dan tidak menjadi seperti saya. Jika ini dialog Bashah maka selamat tinggal buat pembangkang yang bermain isu tanpa strategi. Maka akan bersatulah pemilik SRP dan SPM menolak keegoaan pemilik kertas sijil bergulung - gulung.

7. Krisis ini juga menunjukkan istilah kehidupan ibarat roda itu betul. Ingat bapa Mukhriz memangsakan Anwar dengan kejam, malah Mukhriz sendiri menulis panjang lebar mendesak Abdullah berundur kini dia kena diri sendiri. Ingat ketika 1998 / 99 , Mahathir sebut dengan jelas Anwar hanya menang sorak, kini semua melihat anaknya kumpul penyokong hampir penuh stadium bersorak tetapi tetap tersungkur maka Mukhriz mangsa ludah ke langit bapanya.

8. Krisis pertukaran MB ini tidak ada ertinya pada rakyat, kita makin terhimpit susah. Cuma ia umpama satu 'moment' mengalihkan sekejap keperitan kehidupan seharian.
Akhirnya kalau Mahathir dan anaknya 'jantan' ini masa sesuai keluar sahaja Umno .... jika tidak ia bukan urusan rakyat kerana Mahathir itu Umno, Mukhriz itu Umno, Najib itu Umno begitu juga Muhyiddin, Shafie semua Umno... cukuplah ketika jatuhkan Abdullah Mahathir gunakan rakyat untuk perkukuh Umno .... ini masa rakyat lawan Umno sebagai Umno...
che'GuBard

 Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment