Monday, February 15, 2016

ANNUAR MUSA KINI SENJATA BARU NAJIB BALUN MAHATHIR


 shahbudindotcom 

 
 
 
 
Perlantikan Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan UMNO menggantikan Ahmad Maslan kini semakin difahami berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkannya sejak akhir-akhir ini.

Beliau tidak lain untuk dijadikan senjata paling depan menyerang Tun Mahathir Mohamad yang terus lantang mengkritik kepimpinan Najib Razak.

Untuk rekod, Annuar bukan saja pernah menjadi menteri di era Tun Mahathir selepas pilihanraya 1990, bahkan menjadi pemimpin Kelantan paling lantang menyerang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan Presiden UMNO tahun 1987.

Dalam pemilihan itu, Tun Mahathir berjaya menewaskan Ku Li dengan kelebihan 43 undi.

Ketika timbulnya isu Raja-Raja yang membabitkan pindaan perlembagaan, Annuar Musa juga menjadi antara yang paling ke depan menyokong usaha Tun Mahathir dan kerajaan ke arah itu.

Pendeknya, kelantangan dan kepetahan berpidato Annuar bukanlah luar biasa selama beberapa lama ketika Tun Mahathir merupakan "bossnya".

Annuar, dalam perjalanan karier politiknya lebih dikenali sebagai orang Tun Mahathir sehingga dapat menjadi menteri penuh ketika berusia dalam lingkungan pertengahan 30an.

Kini, dengan  melantiknya sebagai Ketua Penerangan UMNO, Najib dilihat lebih mahu memanfaatkan kemampuan Annuar itu untuk menyerang balik bekas "bossnya" yang pernah berjasa kepadanya itu.

Beberapa kenyataan Annuar yang membandingkan tindakan Tun Mahathir ketika berkuasa dengan Najib sekarang serta serangannya kepada Mukhriz yang didakwanya tidak pernah bersuara dalam mesyuarat MT UMNO, tidak lain memperlihatkan kecenderungan ke arah itu.

Dalam kunjungannya ke Perak dan Kedah baru-baru ini,  Annuar juga dengan jelas mahukan  UMNO bersikap menyerang dan bukan lagi defensif sebagaimana yang dilakukannya sekarang ini.

Beliau juga mengajak semua pihak dalam UMNO terus mempertahankan institusi presiden yang kian teruk diserang dan dipertikaikan.
 
 
 
 
 
Sebelum itu, Annuar turut mengulas panjang tulisan Tun Mahathir dalam blognya yang mengkritik Peguam Negara dengan menyifatkannya suatu bentuk hasutan dan berikutan beberapa laporan polis sudah dibuat, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar menegaskan, pihaknya akan menyiasat bekas Perdana Menteri itu berkaitan jenayah fitnah.

Sebagaimana dulunya Annuar sentiasa ke depan  menyerang Ku Li dan Sultan Kelantan, jawatan baru dan peredaran masa seterusnya akan memperlihatkan begitulah juga Ahli Parlimen Ketereh itu akan "membalun dan membelasah" Tun Mahathir.

Aktifnya Annuar membela dan mempertahankan Najib dengan jawatan barunya sekarang sambil cuba membandingkannya dengan apa yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir dahulu, Perdana Menteri kini seolah-olah sudah ada "senjata baru"  untuk menyerang balas pengkritik  utamanya itu.

Secara langsung, ia juga memperlihatkan "senjata lama" seperti Salleh Said Keruak, Abdul Rahman Dahlan dan lain-lain yang selama ini banyak menghabiskan masa mennyerang Tun Mahathir, semakin tumpul di mata Najib.

Pendekatan Annuar pula tidak memperlihatkan sama sekali keinginan untuk membaik dan menjernihkan semula hubungan Tun Mahathir dengan Najib, sebaliknya terus menyerang dan menyerang sehingga mungkin "seorang jadi abu, seorang lagi jadi arang."

Tidak menghairankan juga jika dalam waktu terdekat ini Tun Mahathir akan ditangkap dan disiasat berikutan jalan ke arah itu sudah pun ditunjukkan oleh Annuar yang menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai menghasut.

Jika ditangkap, bukan persoalan apa jadi kepada Tun Mahathir yang menjadi isunya, tetapi yang lebih ingin disaksikan ialah apa jadi kepada Najib selepas itu?

Adakah Najib makin selesa atau makin terjerut?

Di sebalik Najib mungkin berasa perlantikan Annuar bermanfaat untuk dirinya dalam menghadapi serangan bekas Perdana Menteri itu, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah ia juga menjadikan perkelahian Tun Mahathir - Najib terus parah dan berdarah sehingga tibanya tarikh pilihanraya akan datang, kalau pun tidak membawa sampai ke hujung nyawa. 

No comments:

Post a Comment