Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein rela dipecat daripada berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Beliau yang bertegas untuk tidak bekerjasama dengan PH dan DAP sejak sebelum ini lagi itu berkata pendirian itu tidak sesekali akan berubah malah beliau mempersilakan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memecatnya kerana menentang pakatan itu.
“Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi, tetap menolak kerjasama dengan PH. Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.
“No Anwar, No DAP. Pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” katanya melalui kemas kini status di Facebook, hari ini.
Semalam Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg dilaporkan memaklumkan gabungan itu bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu Perikatan Nasional (BN) dan BN.
Bagaimanapun, hari ini media melaporkan Zahid bersama beberapa pimpinan BN mengadakan pertemuan dengan pimpinan PH termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara dipercayai bagi membincangkan hal pembentukan kerajaan itu.
Namun usaha Zahid itu ditentang beberapa pemimpin termasuk Hishamuddin dan beberapa pimpinan lain.
Semalam media melaporkan, kesemua 29 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kecuali Zahid didakwa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.
Sumber media melaporkan, SD tersebut dipercayai ditandatangani pada malam tadi dengan diuruskan oleh Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam satu sidang media di ibu negara berkata, mana-mana Ahli Parlimen daripada BN yang menandatangani sebarang dokumen terutama SD untuk menamakan sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri adalah tidak sah.
Beliau berkata, ini kerana tindakan itu melanggar Perlembagaan parti.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia sementara, Tan Sri Annuar Musa yang digugurkan dalam pencalonan pada PRU-15 lalu turut memuat naik beberapa kenyataan sindiran di akaun media sosialnya sejak beberapa hari lalu.
Terbaharu, beliau seolah-olah menyindir Zahid yang disifatkan merosakkan parti yang dibina bertahun-tahun lamanya demi menyelamatkan diri.
“Nak membina memakan masa bertahun-tahun oleh berjuta ahli. Nak meruntuhkan hanya memerlukan seorang desperado yang nak menjaga tengkuknya,” tulisnya.
No comments:
Post a Comment