PETALING JAYA: Prestasi buruk Amanah dalam pilihan raya umum disebabkan parti itu tidak mampu menarik lebih ramai pengundi Melayu-Islam, kata seorang penganalisis.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata ahli dan penyokong PAS melihat Amanah sebagai “pengkhianat” susulan ahlinya berpecah dari PAS, pada 2015, untuk menubuhkan parti itu menjadi rakan Pakatan Harapan (PH).
“Pengundi Melayu Islam mahukan parti yang mereka lihat melindungi kepentingan, bangsa dan agama mereka, justeru pilihan jelas mereka adalah PAS. Bukan Umno atau Amanah,” katanya kepada FMT.
PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, selain Upko yang berpangkalan di Sabah.
Azmi berkata, walaupun Amanah tidak dapat menarik undi Melayu-Islam, pembubaran atau penyerapan parti itu dalam PKR tidak akan membantu gabungan itu.
“Amanah adalah saingan kepada PAS dan sama sekali berbeza dengan PKR dalam menarik undi Melayu. Ia harus kekal seperti sedia ada,” katanya.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata Amanah menerima sokongan Melayu-Islam di kerusi bandar dan pinggir bandar, namun sukar
menembusi kawasan nusa teras Melayu yang condong pada agama yang lebih konservatif dan “tegar” seperti PAS.
“Pembubaran Amanah akan membayangkan parti itu menyerah diri dalam perjuangan untuk pengundi Melayu-Islam, tetapi penyerapan dalam PKR dan DAP juga tidak akan membantu kerana ia tidak akan menjadikan saki-baki Amanah atau kedua-dua parti lebih sesuai untuk mendapat sokongan pengundi yang sama,” katanya.
Katanya, beliau berpandangan Amanah mungkin tidak lagi relevan selepas ini memandangkan “radikalisasi agama” semakin mendapat tempat.
Sebaliknya, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata Amanah perlu diserapkan dalam PKR kerana jentera dan kekuatan akar umbinya jauh ketinggalan, berbanding sebelum ini.
“Amanah tidak mampu bersaing dengan PAS untuk kumpulan pengundi Melayu sama dan gabungannya dengan DAP juga menjadi faktor (penyumbang) mereka tidak dapat meraih undi Melayu,” katanya.
Beberapa bekas pemimpin Amanah tewas pada pilihan raya, 19 Nov.
Mujahid Yusof Rawa tewas di Parit Buntar kepada Misbahul Munir Masduki dari PAS dengan majoriti 5,395 undi; Mahfuz Omar tewas di Pokok Sena kepada Ahmad Saad @ Yahaya (31,751 undi); Hatta Ramli di Lumut tewas kepada Nordin Ahmad Ismail daripada Bersatu dengan 363 undi; dan Khalid Samad, tewas kepada Johari Ghani (BN) di Titiwangsa dengan 4,632 undi.
Bersatu dan PAS adalah ahli gabungan Perikatan Nasional, yang menang 73 kerusi parlimen keseluruhan dengan 49 daripadanya dikuasai PAS.
No comments:
Post a Comment