Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini menyaksikan ramai muka baharu mewarnai senarai calon yang masih muda.
Mengikut pecahan usia bawah 50 tahun, di peringkat Parlimen, seramai 19 calon berusia 21 hingga 29 tahun, 129 calon (30 hingga 30 tahun) dan 241 calon (40 hingga 49 tahun).
Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, seramai 17 calon berusia 21 hingga 29 tahun, 75 calon (30 hingga 39 tahun) dan 106 calon (40 hingga 49 tahun).
Persoalannya, mampukah calon muda yang masih baharu dalam dunia politik memikul tanggungjawab untuk membawa suara rakyat?
Dalam pada itu, Dekan Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Kasmani berkata, penampilan belia sebagai calon PRU15 kali ini menunjukkan usaha parti-parti politik dalam meremajakan parti.
“Sebagai calon muda dan baharu, sudah tentu mereka turut berdepan cabaran untuk mendapatkan undi daripada pengundi di kawasan setempat.
“Pertama sekali mereka kena kenali dan tahu kawasan di situ. Walaupun ada yang kata parti penting, tetapi keadaan sekarang sama rata berbanding dahulu yang mana ada pihak dominan.
“Semua parti dilihat sama rata dan sebab itulah, pilihan raya kali ini sangat menarik. Rakyat keliru tidak tahu hendak memilih calon, jadi ini peluang tonjolkan diri serta mengenali sesuatu kawasan tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun era sosial media pada masa ini memberi kelebihan dalam menjalankan kempen, namun kempen konvensional dari rumah ke rumah dan bertemu pengundi secara bersemuka juga penting.
“Media sosial sangat ‘berkuasa’ terutama untuk mencapai kumpulan pengundi 40 tahun ke bawah tapi kempen secara tradisional juga penting,” katanya.
Ujarnya, penampilan calon muda juga bukan bermaksud mesti menang, namun pencalonan pada PRU15 adalah langkah pertama untuk bergerak dan meneruskan perjalanan dalam dunia politik.
Dalam pada itu, bekas pengacara stesyen televisyen, TV Alhijrah, Nurul Fadzilah Kamaluddin yang juga Ketua Srikandi Muda Bersatu antara muka baru yang bertanding PRU15 kali ini.
Nurul Fadzilah dilihat berpotensi menarik sokongan pengundi muda iaitu pengundi 18 tahun di kawasan Parlimen Setiawangsa.
Sebelum menceburi arena politik, Nurul Fadzilah pernah melakukan kerja kebajikan bersama badan bukan kerajaan (NGO). Bahkan, dia juga pengamal undang-undang sivil dan mempunyai syarikat guaman sendiri.
“Lazimnya aktiviti membantu orang ramai ini saya lakukan pada hujung minggu. Kami sangat aktif ketika pandemik melanda negara bermula 2020 sehingga kini,” katanya.
Antara program dianjurkan ialah Bakul Makanan dan Bakul Bayi Prihatin.
“Kecintaan dengan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan membuatkan hati saya sangat tenang. Ia memberi kepuasan yang sukar digambarkan.
“Setiap pemberian yang diberi kadangkala ada antara mereka yang selitkan doa untuk saya. Ketika itu rasa hati sangat tenang dan puas dapat bantu ramai orang,” katanya.
No comments:
Post a Comment