Perikatan Nasional (PN) telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun (SD) daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jumlah SD yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan lanjutan tempoh penyerahan akuan berkanun dan nama calon Perdana Menteri ke-10 sehingga jam 2 petang esok.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin susulan permohonan dibuat ketua parti-parti politik, hari ini.

“Baginda  menzahirkan titah perkenan supaya proses bagi ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan sehingga jam 2.00 petang esok (Selasa, 22 November 2022).

Hari ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Speaker Dewan Rakyat memberi lebih masa untuk gabungan itu mengemukakan akuan berkanun mengenai siapa yang disokong untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Dalam kenyataan sama, Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar serta bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu juga pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

Semalam Yang di-Pertuan Agong meminta ketua-ketua parti memaklumkan melalui Speaker Dewan Rakyat keputusan mereka mengenai pembentukan kerajaan sebelum 2 petang ini.