Saturday, November 12, 2022

PENGAKUAN TERBUKA MAHU JADI PERDANA MENTERI, KJ TEMPAH KEKALAHAN?

 



Rasanya Khairy Jamaluddin atau KJ adalah pemimpin UMNO yang pertama mengaku secara terbuka dirinya mahu jadi Perdana Menteri.

Sebelum ini, walaupun seseorang pemimpin UMNO itu memang diketahui sedang merancang untuk menjadi Perdana Menteri atau berkedudukan makin hampir dengan kerusi tersebut, tetapi tidak pernah ada yang secara terbuka mengaku mahu jadi Perdana Menteri.

Secara umumnya mereka masih berselindung atau malu-malu untuk mengakui mahu jadi Perdana Menteri.

Ini kerana risiko membuat pengakuan itu boleh menjadi senjata yang menikam karier sendiri akhirnya.

Pak Lah atau Tun Abdullah Badawi ketika sudah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pun tidak pernah secara terbuka mengaku mahu jadi Perdana Menteri.

Beliau ketika itu tetap menjadi timbalan yang setia kepada Tun Mahathir Mohamad sehinggalah diserahkan jawatan itu kepadanya pada 2003.

Begitu juga dengan semua Perdana Menteri yang lain, sebelum sampai ke jawatan Perdana Menteri, tidak pernah mereka secara terbuka meluahkan keinginan dalam hati terhadap jawatan tertinggi itu.

Ismail Sabri Yaakob, sebelum jadi Perdana Menteri, tidak pernah kita dengar ada mengakui secara terbuka mahu jadi Perdana Menteri.

Begitu juga dengan pemimpin lain seperti Hishammuddin Hussein misalnya, walau diketahui beliau ada cita-cita ke arah itu dan sentiasa pula berusaha meningkatkan kariernya dalam UMNO, tapi tidak pernah walau sekali pun mulutnya mengeluarkan kenyataan mahu jadi Perdana Menteri.

Lain benar nampaknya dengan KJ, belum pun memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Presiden UMNO, bahkan beliau tiada apa-apa jawatan dalam hireaki parti ketika ini dan sedang berjuang untuk memegangi kerusi Sungai Buloh pada 19 November ini, luahan keinginan menjadi Perdana Menteri itu sudah pun diluahkannya secara terbuka.

“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya, Sungai Buloh bukan hadnya. Saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti, kita pimpin Malaysia… Insya-Allah.

“Dengan takdir Allah, dengan sokongan daripada rakan, satu hari nanti, saya mahu memimpin UMNO.

“Satu hari nanti, saya mahu menjadi Perdana Menteri anda untuk membangunkan negara ini, tapi saya mesti menang di sini dulu,” kata calon Barisan Nasional (BN) itu semasa ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi.

Tidak salah lagi tujuan KJ meluahkan keinginannya itu ialah agar pengundi Sungai Buloh tidak ragu-ragu untuk memberi kemenangan kepadanya pada pengundian 19 November nanti.

Mungkin ini senjata terakhirnya untuk memenangi kerusi Sungai Buloh memandangkan peluangnya untuk menang lagi masih samar berikutan majoriti kemenangan PKR di kerusi tersebut pada PRU14 lalu adalah lebih 26,000 undi.

Meskipun kedatangannya ke Sungai Buloh setelah diketepikan daripada Rembau setakat ini disambut baik oleh pengundi, tinjauan juga mendapati peluangnya untuk memang masih lagi 50-50.

Kelebihan pencabarnya, R Ramanan daripada PKR, selain beliau amat disenangi oleh penduduk tempatan, dua DUN dalam Parlimen Sungai Buloh iaitu Kota Damansara dan Paya Jaras memang sedia dalam genggaman PKR setelah memenangi pada PRU14 lalu.

Paya Jaras diwakili oleh Khairuddin Othman, manakala Adun Kota Damansara ialah Shatiri Mansor.

Melalui dua Adun berkenaan, usaha mendekati pengundi pasti lebih mudah bagi R Ramanan dan ini suatu kelebihan buatnya berbanding KJ.

Persoalan di sini, apakah dengan pengakuan secara terbuka mahu jadi Perdana Menteri itu boleh membawa keuntungan kepada KJ untuk memenangi kerusi Sungai Buloh?

Adakah pengundi Sungai Buloh boleh terpikat dengan perkara itu?

Atau mungkinkah, musuh dan pesaingnya dalam UMNO yang turut mengidam kerusi Perdana Menteri akan mula berusaha memastikan kekalahannya di Sungai Buloh ini? – ShahbudinHusin 09/11/2022.

No comments:

Post a Comment