Peguam yang menjadi calon Bebas di Parlimen Batu, Siti Kassim ‘bengang’ dengan teguran Timbalan Presiden PKR yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pandan, supaya pemimpin PH menjaga sensitiviti orang Melayu.

Dalam satu video di Twitternya, Siti Kassim menggesa Rafizi supaya berhenti bercakap mengenai perbezaan kaum dan agama.

“Pemimpin PKR mendakwa kita kena jaga sensitiviti orang Melayu. Apa yang sebenarnya yang sensitiviti ni… Bagaimana dengan perasaan dan sensitiviti kaum lain. Siapa yang melindungi perasaan mereka?

“Inilah masalah yang saya katakan selama ini, pimpinan PKR dakwa kita kena jaga sensitiviti orang Melayu.

“Bagaimana pula dengan sensitiviti kaum lain? Siapa yang melindungi perasaan mereka? Asyik-asyik kaum lain kena jaga kaum Melayu punya perasaan.

“Eh, Rafizi, awak rasa Melayu ni sensitif sangat ke hah? Hanya kerana awak ingin meraih undi, anda sanggup suruh bukan Melayu menutup mulut untuk mempertahankan hak mereka. Betul ke ni? Saya tidak fikir begitu!” kata peguam itu.

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya terpengaruh dengan retorik sedemikian, dan sebagai rakyat negara yang sama, harus menjaga perasaan masing-masing dan bukan hanya orang Melayu.

Semalam, Rafizi dalam sebuah video, menasihatkan orang bukan Melayu dalam Pakatan Harapan supaya mengambil berat tentang cara mereka bercakap mengenai isu Melayu atau apabila bercakap tentang pemimpin Melayu saingan, terutama jika tokoh agama terlibat.

“Itu sensitif kerana ia boleh diputar belitkan tentang seorang bukan Islam yang menghina orang Islam,” kata Rafizi

Tambahnya, jika rakan PH tidak berhati-hati dalam membuat kenyataan yang melibatkan kaum, Islam, raja dan bahasa kebangsaan, kenyataan mereka boleh diperbesar-besarkan oleh UMNO, PAS dan Bersatu untuk memainkan isu perkauman dan menutup rasuah dan kelemahan pentadbiran mereka.