Monday, November 21, 2022

ULASAN | Melawan rasa jemu yang bahaya

 


ULASAN | Hari yang baru memang muncul lagi hari ini. Selain waktu yang baru, tidak banyak perubahan yang perlu didepani setakat ini, kecuali kemelut politik yang masih belum terungkai.

Ketika kesangsian semakin merata, masih ada sesetengah orang meletakkan harapan bahawa dengan terlaksananya pilihan raya umum (PRU) untuk kali ke-15, keadaan akan menjadi lebih memudahkan.

Ya, pada masa sama seperti selalu orang politik akan menjual nama rakyat untuk apa saja tindakan mereka. Tidak adalah apa-apa yang lain diidamkan oleh mereka - yakni orang politik itu - melainkan kuasa.

Dan semua orang tahu mengharapkan orang politik mencatur langkah demi rakyat itu sama seperti mengharapkan sekawan gajah boleh terbang tinggi.

ADS

Akhirnya terbukti PRU ke-15 tidak menyediakan penyelesaian setakat ini. Bahkan ia menjadi semakin rumit. Dalam keadaan sekarang - ketika kuasa itu memberahikan - semakin meneballah intrig sesama orang politik.

Memang tidak ada sebab untuk orang ramai percaya kepada mereka.

Sudah tentu mereka akan cuba sedaya upaya untuk kelihatan baik dan jujur. Namun akal dan ingatan yang diberikan Tuhan menjadikan kita tidak mudah lupa bahawa di sebalik orang politik itu ada satu makhluk yang besar bernama sifat suka menipu.

Mahu kebencian kian marak

ADS

Sekarang penyelesaian belum ditemui. Pada masa sama, orang ramai semakin muak dan letih. Nah, di situ punca 'bahaya' yang sedang kita tempah bersama-sama.

Perlu difahami bahawa, ketika keyakinan rakyat semakin goyah, PRU ke-14 seakan-akan menjadi ubat kepada kegelisahan itu. Mengembalikan keyakinan yang sudah hilang adalah suatu proses yang panjang dan menjerihkan.

Dalam keadaan serba jerih dan sangsi itulah berlakunya Langkah Sheraton. Rakyat terpaksa menanggung kepayahan yang dipaksakan. Kecurigaan terhadap politik dan demokrasi muncul kembali.

Kegelisahan yang belum sempat pudar itu bahkan sebaliknya semakin menebal. Dan sudah tentu ia adalah natijah daripada tiupan-tiupan api kejahatan orang politik yang membakar emosi dan sentimen sesetengah segmen rakyat.

Ketika kesangsian dan kebencian yang ditanam dalam negara ini sejak puluhan tahun lalu itu sepatutnya dimatikan, orang politik sebaliknya memberikan apa saja sumber yang ada - termasuk di luar kewarasan - agar ia terus membara. Mereka mahu ia semakin marak.

Kini selepas PRU ke-15, kesusahan yang dipaksakan itu masih terus wujud. Ia mungkin mengambil bentuk dan sifat yang sedikit berbeza, namun kesulitan yang ada adalah real dan tetap menyusahkan.

Kemelut politik yang berpanjangan ini juga sebenarnya sedang membawa orang ramai ke arah suatu kejemuan yang amat dalam. Jemu terhadap sikap orang politik itu memang sudah dimaklumi.

Suatu lagi bahaya yang mungkin sedang ditempah ialah rasa 'jemu' berbuat baik. Misalnya jemu kerana mempercayai janji-janji manis politik, atau jemu berlaku jujur untuk ditipu, ditindas dan dikalahkan lagi.

ADS

Kadang-kadang ia adalah kekalahan yang dipaksakan juga. Ia merupakan satu lagi kesulitan baru di atas kesulitan lama, atau tidak berapa lama.

Benar, sebagai seorang Muslim sudah dijanjikan setiap perbuatan akan ada balasannya. Ia adalah formula yang kelihatan mudah dan senang disebut oleh lidah.

Kalau kelakuannya baik, akan baiklah balasan yang akan diterima; kalau jahat, sebaliknya kejahatan jugalah yang sedang menunggu.

Ketika minda semakin lesu dan ketakutan pula mungkin tidak mahu surut, berapa ramai orang yang ingat akan janji Tuhan bahawa di setiap kesusahan atau kesempitan itu akan menyusul kelapangan dan kesenangan?

Rasa jemu untuk berlaku jujur, berbuat baik dan bertahan dengan apa yang ada boleh runtuh oleh keadaan yang menekan. Berbuat benar tetapi kalah lagi dan lagi itu adalah suatu bahaya.

Perlu dilihat bertindak tegas

Pada masa sama ada pihak yang terus memainkan sentimen agama dan bangsa. Dipercayai ia dipersiapkan sejak awal dan dipendamkan saja, sehinggalah apabila pihak yang terlibat berasa impian mereka untuk mendakap kuasa mula terancam.

Justeru dengan kemudahan media sosial yang terbentang luas, itulah yang menjadi wahana terbaik. Dalam keadaan mentaliti sesetengah orang yang lebih suka percaya cerita yang mereka mahu percaya saja, percikan-percikan jahat itu mudah merebak.

Ia ibarat anak-anak api yang singgah di atas sabut kelapa kering yang diletakkan di sebelah minyak tanah.

Dalam keadaan begitu harapan sudah tentu digantungkan kepada pihak berkuasa. Ketika amaran yang diberikan oleh polis memang tepat dan dihargai, perlu ada tindakan yang dilihat dibuat oleh mereka.

Orang ramai perlu dimaklumkan bahawa langkah sewajarnya - dan tegas - sedang diambil bagi menjamin keselamatan negara. Ketenteraman di tanah bertuah ini tidak ada galang gantinya.

Sekarang ini ada anak kecil sedang bermain api. Hatinya terbakar bukan kerana sepi tetapi kerana benci. Air matanya tidak mengalir tetapi darahnya mendidih kerana kebencian itulah. Tanah dipijak bakal menjadi milik orang berlainan parti.

Anak kecil itu sedang bermain-main api dengan niat mahu membakar bumi.

Hari yang baru memang muncul lagi hari ini. Ia masih hari yang membawa harapan yang sama. Tetapi ia juga boleh menghantar mendung nasib yang lama. Rakyat semakin letih dan jemu melihat kebaikan terus dikalahkan lagi dan lagi.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.

No comments:

Post a Comment