Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpendirian langkah kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menamatkan kemelut politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Whipnya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengulas spekulasi terbaharu kemungkinan wujud rundingan rahsia antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan ia tidak akan memberi kestabilan politik kepada negara.

“Pertama sekali dalam BN itu sendiri, ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong kerjasama BN dan PH.

“Ini sudah tentu mencetuskan ketidakstabilan sekali lagi,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga calon Parlimen Petra Jaya menyeru pengundi memilih GPS demi kestabilan dan keutamaan Sarawak ketika ini ialah menentukan dasar di peringkat Persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil.

“Jika BN dan PH bergabung, itu hak mereka. Keutamaan Sarawak sekarang ialah menentukan dasar di peringkat Persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil.

“GPS sahaja, jangan fikir yang lain. GPS yang akan dapat menstabilkan politik negara ketika ini,” katanya.

Baru-baru ini isu kerjasama Anwar dengan Zahid yang dianggap mempunyai hubungan cikgu dan anak murid timbul semula menjelang PRU-15 pada 19 November ini.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menimbulkan isu semula berhubung kerjasama sulit antara Anwar dan Zahid.

Pada masa sama, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi pernah menyuarakan bahawa strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-15.

Hadi turut membangkitkan objektif akhir kerjasama itu adalah menyelamatkan pemimpin BN yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.