Kecewa benar Tun Mahathir Mohamad nampaknya bila keinginannya untuk bekerjasama dengan PN ditolak mentah-mentah oleh Mahiaddin Md Yasin.
Sedangkan, Tun Mahathir dipetik sebagai berkata, beliau sanggup melupakan perbuatan khianat Mahiaddin terhadapnya bagi membolehkan GTA dan PN bekerjasama menghadapi PRU15 akan datang.
“Kita fikir takpalah kalau pun dia (pernah) tikam belakang (saya) kerana demi bangsa, negara, agama kita, kita sanggup rendahkan diri nak bersama.
“Walaupun dia buat khianat kepada saya, saya boleh lupakan perkara itu.
“Tetapi bila kita cuba nak kerjasama dengan Mahiaddin tetapi dia jawab dia tak nak kerjasama dengan siapa pun – bukan main sombong,” kata bekas Perdana Menteri itu ketika berucap pada Program Rapat Umum GTA Kedah, di Alor Setar malam tadi.
Beliau yang juga Pengerusi GTA mendakwa, keengganan Mahiaddin bekerjasama itu adalah disebabkan yakin PN boleh memenangi PRU15 tanpa perlu bersama dengan mana-mana pihak dan kerana Pengerusi PN itu masih berminat untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Sebelum penolakan Mahiaddin ini, Anwar lebih awal menolak hasrat dan keinginan Tun Mahathir untuk membawa GTA bekerjasama dengan PH.
Malah, menurut Anwar, tiada keperluan untuk beliau bertemu dengan Tun Mahathir bagi tujuan itu kerana lebih berfaedah baginya berjumpa dengan rakyat pada ketika ini.
Makna kata, malang sungguh perjalanan politik Tun Mahathir bersama GTA dan Pejuang yang dipimpinnya sekarang kerana dua blok utama pencabar BN secara terbuka menolak bekerjasama dengannya.
Maka, apa yang Tun Mahathir perlu lakukan seterusnya?
Oleh kerana PH dan PN sudah menolak untuk bekerjsama dan kalau bergerak sendirian pula tidak mungkin beliau mampu membawa GTA menang walau satu kerusi pun, tiada pilihan lain yang boleh Tun Mahathir lakukan melainkan harus memilih UMNO dan BN sebagai rakan kerjasamanya.
Kalau dengan PH, Tun sanggup menjilat ludah sendiri dan dengan PN pula sanggup melupakan pengkhianatan Mahiaddin, kenapa tidak dengan UMNO dan BN?
Malah jika sebelum PRU14 lalu, Tun Mahathir juga sanggup mencari Anwar hingga ke mahkamah, tentulah tidak mustahil beliau juga boleh tiba-tiba sampai ke WTC untuk mencari Ahmad Zahid Hamidi.
Lagi pun, hanya UMNO dan BN saja pilihan yang tinggal untuk diajak bekerjasama bagi mengelakkan GTA hilang nyawa dalam politik negara.
Tanpa bekerjasama dengan sesiapa, habislah GTA jawabnya, bahkan Langkawi pun mungkin tak mampu dimenangi juga.
Belum terlambat lagi, carilah UMNO dengan segera sebelum tarikh 5 November tiba.
Mana tahu, tiba-tiba UMNO pun turut sedang mencari rakan kerjasama. – ShahbudinHusin 29/10/2022.
No comments:
Post a Comment