Saturday, November 5, 2022

PRU15: Parti atau aura calon, kerusi 'panas' jadi tumpuan

 


Khairy Jamaluddin meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk setempat dalam sesi lawatan ke Kampung Melayu Subang Tambahan pada Sabtu. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk setempat dalam sesi lawatan ke Kampung Melayu Subang Tambahan pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Beberapa kerusi ‘panas’ Parlimen mencuri tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menyaksikan beberapa figura besar yang bukan sahaja mempertaruhkan parti tetapi juga membawa ‘aura’ bagi menawan pengundi.

Parlimen Sungai Buloh antara yang menjadi perhatian apabila BN mempertaruhkan Khairy Jamaluddin bagi menawan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) kali ini.

Kalau sebelum ini kerusi Parlimen Sungai Buloh dipandang sepi, namun dengan pencalonan Menteri Kesihatan itu, mampukah ‘aura’ Rembau dibawa bersama Khairy, 46, bagi menghadapi saingan sengit tujuh penjuru termasuk Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk R Ramanan mewakili PH.

Lima lagi pencabar iaitu Mohd Ghazali Md Hamin (PN-Pas), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang), Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Jufliz Faiza, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri masing-masing sebagai calon Bebas.

Pada PRU14, R Sivarasa dari PKR menang di Parlimen Sungai Buloh dengan majoriti 26,634 undi.

Di Parlimen Gombak, berlaku pertembungan antara ‘mentor’ dan ‘protege’ iaitu penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Bersatu) berdepan anak didiknya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam saingan lima penjuru.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga akan berdepan, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang-Putra) dan calon Bebas, Zulkifli Ahmad.

Biarpun berubah platform politik, Mohamed Azmin menyuarakan keyakinan mempertahankan kerusi itu dan akan meneruskan pelan pembangunan di Gombak sekiranya diberikan kepercayaan sekali lagi oleh pengundi.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Gombak dimenangi Mohamed Azmin yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi dalam pertembungan tiga penjuru, menewaskan Datuk Abdul Rahim Kamarudin (BN) dan Khairil Nizam (PAS).
Artikel Berkaitan:


BN turut mempertaruhkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi menghangatkan lagi pertarungan merebut kerusi Parlimen Kuala Selangor, berdepan penyandang yang juga bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-PKR).

Berdepan pertandingan empat penjuru, kredibiliti Tengku Zafrul selaku calon baharu bakal dicabar Mohd Noor Mohd Shahar (PN-Pas) dan Mohd Shaid Rosli (GTA-Pejuang).

Pada PRU14 Dr Dzulkefly menang di kerusi itu dengan majoriti 8,498 undi.

Turut menjadi tumpuan pertembungan di Parlimen Bandar Tun Razak menyaksikan penyandang Datuk Kamaruddin Jaffar yang akan bertanding atas tiket PN-Bersatu dicabar calon heavyweight iaitu Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH) dan Datuk Chew Yin Keen (BN-MCA).

Cubaan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin yang tewas di Parlimen Ketereh pada PRU14 ‘beralih angin’ ke Putrajaya turut mencuri tumpuan kerana berdepan penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-UMNO).

Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berdepan empat lagi pencabar iaitu Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR), Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang) serta dua calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee.

Turut menjadi perhatian pada PRU15 adalah beberapa kerusi yang penyandangnya tidak dicalonkan semula oleh parti masing-masing, tetapi kekal komited mahu terus mencurah bakti kepada pengundi.

Antaranya Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang memilih untuk bertanding atas tiket PN di Parlimen Arau setelah tidak dicalonkan semula oleh BN.

Shahidan berdepan saingan tiga penjuru iaitu dari Datuk Rozabil Abd Rahman dari BN-UMNO dan Fathin Amelina Fazlie (PH-PKR).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.- Bernama

No comments:

Post a Comment