Monday, November 21, 2022

Dakwa PN Perak enggan jumpa, Saarani menipu, kata Peja

 


agendaily.com
22/11/2022

Perikatan Nasional (PN) Perak menemplak kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mendakwa pihaknya tidak mahu berjumpa untuk berunding soal penubuhan kerajaan negeri.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kenyataan itu satu pembohongan susulan pertemuan mereka berlangsung semalam di Kuala Lumpur.

“Kenyataan Saarani bahawa PN tidak mahu berjumpa dengannya dan tidak bersetuju untuk memberi apa-apa peranan kepada BN dalam pembentukan Kerajaan Negeri Perak adalah merupakan satu penipuan besar.

“Hakikat sebenarnya ialah saya telah bertemu dengan beliau pada hari Ahad, 20 November 2022 di Kuala Lumpur. Pada perjumpaan yang turut dihadiri oleh Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Setiausaha Perhubungan PN Perak), kami telah berunding tentang kemungkinan kerjasama PN dan BN menubuhkan kerajaan di Perak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Petang tadi, Saarani yang baru saja mengangkat sumpah jawatan menteri besar Perak ke-15 di Istana Iskandariah berkata BN menyahut kerjasama dengan PH selepas mendakwa PN tidak mahu berjumpa dengan pihaknya untuk berunding.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Faizal yang lebih mesra dipanggil Peja berkata dalam pertemuan itu Saarani menyatakan hasrat untuk kekal dicadangkan sebagai Menteri Besar Perak.

“Saya juga telah menyatakan kebimbangan saya dengan keadaan di mana Kerajaan Negeri Perak belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera demi kepentingan rakyat.

“Saya tegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk berkerjasama namun, pihak beliau bertegas untuk PN menawarkan tawaran jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri,” jelasnya.

Katanya lagi, Saarani meminta untuk merujuk kepada kepimpinan UMNO sebelum membuat apa-apa persetujuan.

“Namun, pada hari ini beliau dan kepimpinan Umno menyelamatkan jawatan menteri besar yang dipegangnya sambil menipu perwakilan Perhimpunan Agung Umno yang lalu dengan slogan ‘No DAP!’.

“Tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak adalah amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan yang dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli dengan penipuan kepada rakyat jelata,” katanya.

Pada PRU-15, BN hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi DUN Perak, sekali gus menjadikannya sebagai keputusan terburuk pernah direkodkan parti itu.

Keputusan di DUN sama turut menyaksikan PN berjaya menawan 26 kerusi, manakala PH memenangi 24 kerusi.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan untuk membentuk kerajaan negeri, gabungan perlu memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi.

No comments:

Post a Comment