Kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelmarin kerana rakyat menolak Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Zahid sepatutnya menyedari perkara itu dan bertindak mengundurkan diri bagi memberi nafas kepada UMNO untuk meneruskan perjuangan.
Menurutnya lagi, pimpinan dan ahli UMNO mengikuti setiap naratif yang dibuat oleh pucuk pimpinan namun ternyata gagal maka secara tradisinya pemimpin itu perlu meletakkan jawatannya.
Apabila gagal kena ada kebertanggungjawaban. Sudah tradisi dalam parti, kena ada akauntabiliti di pihak yang memimpin seperti mana yang dilakukan Datuk Seri Najib (Razak). Demi kebaikan parti bagi membolehkan kita maju ke depan, presiden hendaklah mengundurkan diri supaya kita boleh bernafas. Janganlah menggelupur dalam lumpur setelah kita tewas.
“Kalau kapten yang gagal teruskan…termasuk nak berunding dan sebagainya, menggunakan naratif yang telah gagal, kita akan terus gagal. Kita kemuka calon muka baharu, ‘poster boy’ (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tapi kenapa kita ditolak? Pada pandangan saya, rakyat memberi isyarat bahawasanya mereka menolak yang memimpin UMNO.
“Mereka menolak Zahid, mereka bukan menolak calon atau parti. Sebab itu gelombang Melayu tidak pergi kepada PH tapi kerana tidak mahu Zahid, mereka letakkan undi kepada PN,” katanya pada sidang media bersama beberapa ketua bahagian UMNO, hari ini.
Suasana panas dalam UMNO semakin kelihatan selepas Presiden UMNO itu mengadakan pertemuan dengan pimpinan PH termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara dipercayai bagi membincangkan hal pembentukan kerajaan Persekutuan.
Namun usaha Zahid itu ditentang beberapa pemimpin termasuk Hishamuddin dan beberapa pimpinan lain yang menolak kerjasama dengan parti gabungan DAP itu.
Dalam pada itu, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata Zahid perlu menerima hakikat dirinya merupakan liabiliti kepada parti.
“Kekalahan kita adalah kerana presiden dilihat menguasai parti bukan ‘poster boy’ (Ismail Sabri). Zahid kena terima hakikat beliau adalah satu liabiliti kepada UMNO. Ini pahit nak disebut tapi kalau kelangsungan UMNO ini nak diteruskan, Zahid hendaklah berundur dari saf ini.
“Rakyat menolak zahid sebagai pemimpin kerana UMNO dilihat tidak ada ‘will power’ untuk menolak pemimpin-pemimpin yang tercemar. Tapi kerana kawan kita tak tergamak dan kita bayar mahal untuk itu. Rakyat menolak kerana UMNO dilihat mempertahankan pemimpin yang tidak ada integriti.
“Kita cuba pertahankan pemimpin kita sampai saat akhir, rakyat dah buat keputusan. Kalau kita dilihat masih tak ada ‘will power’ nak bersihkan UMNO, kita akan terjun ke gaung yang lebih dalam yang mungkin tak boleh keluar seperti mana kita lihat sekarang,” katanya.
No comments:
Post a Comment