Monday, November 21, 2022

Rakyat beratur dalam banjir untuk mengundi, apa kata Zahid, UMNO?

 


agendaily.com
19/11/2022
Pengundi beratur dalam banjir di Kampung Long Bemang, di Parlimen Baram, Sarawak. - Gambar Kayanfm Miri

Proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kawasan dilanda banjir di Parlimen Baram, diteruskan hari ini (Sabtu, 19 November 2022), walaupun pengundi terpaksa beratur dalam banjir separas lutut.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri dilaporkan berkata, Ketua Polis Daerah Marudi, Mohd Ruslan Mat Kib yang bertanggung jawab untuk kawasan Baram melaporkan, polis berkolaborasi dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pengundian PRU-15 di bahagian itu berjalan lancar.

“Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai),” katanya kepada media semasa meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di Kuching, hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan Parlimen itu.

Menurut laporan media sosial, suasana di Pusat Mengundi Kampung Long Bemang di Parlimen Baram berjalan lancar. Orang ramai tetap bersemangat beratur untuk menunaikan tanggungjawab mereka walaupun dalam suasana banjir.

Sebelum ini, SPR menetapkan hari ini sebagai hari pembuangan undi PRU-15 yang melibatkan lebih 20 juta pengundi, setelah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen ke-14 pada 10 Oktober lalu, walaupun amaran dikeluarkan mengenai musim tengkujuh yang boleh menyebabkan banjir.

Ismail Sabri dilaporkan terpaksa membubarkan Parlimen lebih awal daripada tarikh akhir sebelum September tahun depan selepas mendapat tekanan kuat daripada UMNO yang diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, SPR melaporkan sehingga jam 1 tengah hari ini, statistik keluar mengundi adalah 50 peratus.

No comments:

Post a Comment