Monday, November 21, 2022

PAS jamin takkan laksana dasar menekan, khususnya di Sabah, S'wak

 

mk-logo
BERITA

Diterbitkan:  Nov 21, 2022 8:27 PM
Dikemaskini: 11:02 PM
32

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan melaksanakan langkah-langkah yang menekan mana-mana pihak khususnya di Sabah dan Sarawak sekiranya ia menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan baru.

"PAS memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan-rakan kongsi dalam kerajaan meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar di kalangan parti-parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, adat resam dan agama dan mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing berdasarkan jaminan Perlembagaan Persekutuan.

"PAS telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh PAS di Kelantan lebih dari 30 tahun.

ADS

"Justeru itu PAS menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS akan menggunakan kedudukan yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang menekan mana-mana pihak, apatah lagi di negeri-negeri Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani penghidupan yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing.

"Malahan PAS amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dengan mana tidak boleh dipaksa seseorang bukan Islam untuk menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kefahaman mereka sendiri," jelasnya lagi.

Takiyuddin juga berkata PAS telah membuktikan dirinya dalam perkara ini sejak 31 bulan lalu apabila parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

Jelasnya, PAS sentiasa mematuhi semua keputusan secara musyawarah, sama ada di peringkat Kabinet, kementerian atau agensi kerajaan.

Pada masa sama, PAS telah membuktikan keterbukaan mereka termasuk dalam memelihara hak pelbagai kaum dan agama sepanjang 30 tahun lebih memerintah Kelantan, tambah Takiyuddin.

Katanya, pemimpin dan ahli PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besar yang profesional dalam bidang mereka.

Justeru, menurut Takiyuddin PAS boleh menunaikan tanggungjawab secara profesional apabila diberi jawatan dan peranan dalam kerajaan dan agensinya.

No comments:

Post a Comment