Alhmdulillah - Ada juga Ahli Parlimen PAS yang berani cabar balik Parti Gerakan.
Kalau betul umno ikhlas nak sama-sama nak melaksanakan hudud di bumi Malaysia, sepatutnya rakannya tak berani nak tunjuk kurang ajar....
Peguam Pas Cabar Parti Gerakan Berdebat Isu Hudud
KENYATAAN MEDIA ISU NOTIS UNDANG UNDANG DARI GERAKAN
Pertama saya selaku Pengerusi Lajnah Undang Undang Pas mengucapkan
terima kasih pada Parti Gerakan di atas surat atau notis undang undang
bertarikh 24.4.2014 yang dihantar kepada Pas berkenaan isu hudud.
Keduanya,Pas yang mendokong amalan demokrasi termasuk kebebasan bersuara
menghormati hak dan kebebasan parti Gerakan melalui sayap pemudanya
atas pandangan mereka berkenaan hudud itu. Pas mungkin tidak setuju
dengan pandangan Gerakan namun yakin dan percayalah kami akan
mempertahankan hak dan kebebasan bersuara anda dengan segala kudrat
kami.
Ketiganya, jika dilihat kepada isi kandungan surat itu sebab utama
penentangan Gerakan kepada hasrat perlaksaaan hudud oleh Pas adalah
berkisar kepada isu Perlembagaan. Gerakan berpendapat undang undang
hudud bertentangan dengan Perlembagaan kerana dikatakan tiada
peruntukkan dalam Perlembagaan bahawa hudud boleh dilaksanakan.
Amat malang pihak Gerakan hanya menyatakan secara umum bahawa hudud
bertentangan dengan Perlembagaan namun tidak dinyatakan peruntukan mana
di dalam Perlembagaan yang dikatakan dilanggar oleh Pas atau Kerajaan
Kelantan. Ketiadaan perincian dakwaan mereka ini menimbulkan andaian
adakah pihak Gerakan menghantara notis tindakan undang undang kepada Pas
hanya berdasarkan sentimen semata mata dan sikap gopoh tanpa terlebih
dahulu menghalusi Perlembagaan dan peruntukkan di dalamnya.
Dakwaan Gerakan dalam Notis mereka kepada Pas bahawa kewujudan hukum
hudud akan mengakibatkan kewujudan dua sistem perundangan jenayah dalam
negara kita adalah, dengan hormat, satu dakwaan yang gopoh, tidak
berasas dan juga menunjukkan ketidakfahaman mereka tentang perjalanan
sistem undang undang jenayah dalam negara ini.
Untuk makluman Gerakan, kewujudan dua sistem jenayah dalam negara ini
telah pun wujud sejak Perlembagaan Persekutuan itu wujud. Sejak awal
lagi negara kita dan Perlembagaan merestui kewujudan dua sistem jenayah
itu iaitu jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dan jenayah syariah
yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Oleh itu sama ada hudud wujud
atau tidak , hakikatnya negara kita telah pun mempunyai dua sistem
jenayah dan ini diperuntukkan oleh Perlembagaan. Nampaknya bukan Pas
yang melanggar Perlembagaan sebaliknya hujah Gerakan yang menyalahi
Perlembagaan.
Malahan jika kita mengambil kira wujudnya Mahkamah Tentera yang
membicarakan kes jenayah yang melibatkan tentera maka terdapat lebih
dari dua sistem jenayah dalam negara kita. Bagaimana pula dengan
kewujudan mahkamah seperti Mahkamah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL )
yang juga diberi kuasa membicarakan kes saman berunsur jenayah !
Apa pun kita patut memuji Gerakan kerana meskipun mereka menghantar
Notis yang boleh dikatakan pra matang kepada Pas, mereka tidaklah
dilihat menghina hukum hudud seperti para pemimpin Umno, sekutu mereka
yang beragama Islam , yang pernah dan diketahui menghina hukum hudud
secara terbuka sebelum ini.
Alexender Pope menyatakan " Little knowledge is dangerous thing" maka
atas ruh kata kata tersebut saya ingin menasihatkan pemimpin Gerakan
pelajarilah hukum hudud sebelum kamu ingin menentangnya. Adil kah
menentang hudud tanpa mengetahui dan memahami undang undang hudud itu
terlebih dahulu ?
Saya juga berharap Gerakan juga perlu bersikap konsisten. Mengapakah
kita tidak mendengar Gerakan menentang undang undang zalim dan drakonian
seperti ISA , Akta Hasutaan, Akta Penerbitan Dan Pencetakan, SOSMA ,
Akta Pencegahan Jenayah dan banyak lagi.
Mengapakah apabila kerajaan BN luluskan Akta Pencegahan Jenayah yang
mengembalikan kuasa menahan tanpa bicara Gerakan tidak membantah malahan
menyokong. Bukankah ia adalah Akta yang zalim dan melanggar hak asasi
manusia yang dijamin oleh Perlembagaan?Mengapakah tiada notis dihanta
kepada Umno , MCA dan MIC?
Adakah Gerakan sedar dan tahu bahawa tiada penahanan tanpa bicara dalam
hudud malahan prinsip dalam undang undang jenayah Islam jauh lebih baik
iaitu "lebih baik hakim tersilap bebaskan 10 orang bersalah dari hakim
tersilap sabitkan seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah".
Saya mengambil kesempatan ini mengajak Gerakan untuk kita sama sama
berdialog atau berdebat secara rational dan matang dalam isu hudud ini.
Gerakan sediakanlah tempat, tarikh dan masa insya Allah Pas bersedia
datang bila bila masa.
MOHAMED HANIPA MAIDIN
PENGERUSI LAJNAH UNDANG UNDANG PAS PUSAT
PENGERUSI LAJNAH UNDANG UNDANG PAS PUSAT
Ada berani ke parti Gerakan nak sahut cabaran ni,, sure tak berani,, macam mana umno juga ler..
No comments:
Post a Comment