Penjarakan Anwar: Kita bangkit jatuhkan Najib, kata Tian Chua
Beliau yakin majoriti rakyat Malaysia akan turut sama memberikan tentangan serupa seperti reformasi pada 1998.
“Pada 14 April lalu, saya ditahan polis dan telefon bimbit saya dirampas kerana kononnya saya terlibat dalam aktiviti menghasut rakyat untuk menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri.
Chua yang juga lebih dikenali sebagai Tian Chua menulis di Twitter @tianchua pada bulan lalu Najib akan digulingkan dalam tempoh lima bulan.
Susulan daripada tulisan itu, polis merampas tablet dan telefon bimbit milik Chua ketika beliau sedang menyertai satu mesyuarat di Hotel Armada, Petaling Jaya.
Katanya, operasi pada jam 7.30 petang itu dijalankan di hadapan umum oleh sepasukan polis berpakaian preman yang membawa waran geledah.
Chua berkata, pada zaman pemerintahan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, rakyat membuktikannya sendiri dan sejarah itu perlu diingati.
“Kita pernah menunjukkan rekod kita. Saya disumbat di dalam (Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di Kamunting selama dua tahun tetapi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), gas pemedih mata, kekerasan dan penindasan tidak akan dapat menahan kebangkitan rakyat.
“Dengan kebangkitan rakyat ini, Dr Mahathir juga tumbang dan inilah hakikat yang kita ingin ingati. Kita akan pertahan dan bangkitkan untuk jatuhkan Najib kalau berani penjarakan Anwar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memberi gesaan sama anak muda akan bangkit menentang kezaliman.
Katanya, himpunan menentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini bakal menjadi saksi gelombang kebangkitan anak muda.
“Amaran saya kepada Najib dan Mahathir. Kalau kamu berani penjarakan Anwar sekali lagi, percayalah cakap saya bukan seratus, bukan seribu, berpuluh-puluh ribu anak muda akan lawan sampai Umno tumbang.
“Bersiap sedia tunggu arahan. 1 Mei kita jumpa di jalan raya. Bila-bila masa, mereka berani penjarakan Anwar, kita turun ramai-ramai tumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN). Insya Allah,” katanya.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengumumkan awal bulan ini, Pakatan Rakyat (PR) akan turut serta dalam himpunan membantah GST 1 Mei ini dan memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkannya.
Katanya, ratusan ribu orang akan menyertai himpunan kemuncak ini setelah rakyat saban hari terus dibebani dengan kenaikan harga barang berterusan dengan GST yang akan diperkenalkan pada tahun depan.
"Himpunan ini akan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur antara jam 2 hingga 5 petang dan kemudian bergerak ke Dataran Merdeka," katanya.
No comments:
Post a Comment