Tidak Banyak Jauh Bezanya Dengan UMNO Di Malaysia Ini......
Pulau Diego Garcia, Rakyatnya Dihalau AS dan British!
Tranungkite
Bermula
tahun 1967, setiap orang Chagos yang meninggalkan Pulau Diego Garcia
untuk rawatan perubatan atau bercuti di Mauritius, tidak lagi dibenarkan
pulang ke tanah air mereka.
Tanpa
ditemani keluarga atau harta benda, penduduk asal pulau yang terletak di
jantung Lautan Hindi itu terpaksa merempat di penempatan setinggan
Mauritius. Sehingga tahun 1973, hampir 1,200 orang Chagos dipindah
secara paksaan ke Mauritius dan Seychelles.
Keluarga
Jeannette Alexis antara penduduk Diego Garcia terakhir dipindahkan.
Imbas Alexis: "Ayah memberitahu bahawa kami mesti meninggalkan pulau ini
(Diego Garcia) kerana orang Amerika akan berpindah masuk dan ia tidak
lagi selamat untuk kami sekeluarga."
Sudahlah
mereka dihalau, haiwan peliharaan mereka terutama anjing dibunuh
tentera British menggunakan gas dan kemudiannya dibakar.
"Anda
boleh bayangkan tekanan yang mereka letakkan ke atas kami. Saya menangis
dan berpaut pada kaki ibu dan walaupun masih kecil ketika itu, saya
sedar bahawa kami telah meninggalkan sesuatu yang berharga dan ia
merupakan rumah kami," luah Alexis.
Marcel
Moulinie, pengurus sebuah ladang kelapa di pulau berkeluasan 44
kilometer (km) persegi itu menceritakan, dia diarahkan kerajaan British
untuk memindahkan semua penduduk keluar.
"Apabila
tiba waktu berpindah, mereka tidak dibenarkan membawa apa-apa selain
beg berisi baju. Kapal kargo pemindahan yang digunakan pula kecil dan
mereka terpaksa berhimpit selama lima jam," dedah Moulinie.
Penduduk
Diego Garcia memberitahu bahawa mereka meninggalkan syurga dan dicampak
ke neraka apabila tiba di Pelabuhan Louis, Mauritius. Berbekalkan
kepakaran menangkap ikan dan berkebun, tanpa kemahiran profesional,
mereka berdepan kesulitan mengadaptasi kehidupan di bandar serba lengkap
itu.
Tambah
menyayat hati, selepas ditinggalkan tanpa wang, pekerjaan yang
dijanjikan dan rumah baharu, orang Chagos terpaksa berdikari hidup dalam
buangan di tanah asing.
Selepas
tiga dekad, tiada siapa mengetahui kisah kesengsaraan orang Chagos
sehingga seorang penduduk asalnya, Olivier Bancoult, presiden bagi
Persatuan Pelarian Chagos mendakwa kerajaan Britain di mahkamah.
Amarah
Bancoult tidak terbendung setiap kali mengenang penderitaan yang dilalui
bangsanya. Tiga abang Bancoult mati sebagai pemabuk akibat berputus asa
dengan kesempitan hidup kritikal manakala adik perempuannya membunuh
diri kerana terlalu merindui Diego Garcia.
Lapangan terbang Diego Garcia memainkan peranan
penting ketika serangan ke atas Iraq dan Afghanistan.
"Ia
menyiat-nyiat perasaan saya dan sebab itu saya tidak akan berputus asa.
Semua ini terjadi kerana AS dan British membuat hidup kami merana," luah
Bancoult menerusi laporan rangkaian televisyen dan radio Amerika
Syarikat (AS), CBS News pada Jun 2003.
Kelapa
Kontroversi
membabitkan hak untuk pulang penduduk asal Diego Garcia dengan kerajaan
Britain dan AS mendapat perhatian dunia. Namun ia tidak diperjuangkan
secara besar-besaran ekoran bilangan kecil rakyatnya yang kini meningkat
kepada 5,000 orang.
Mengupas
punca perpindahan paksaan itu, penulis buku Island of Shame: The Secret
History of The U.S. Military on Diego Garcia, David Vine seperti yang
dipetik daripada Global Research pada tahun 2009 mendedahkan, orang
Chagos dipindahkan kerana populasi mereka yang kecil dan bukan tergolong
dalam orang kulit putih.
Pihak AS
juga cuba menyebarkan cerita palsu dengan mengatakan orang Chagos
hanyalah pekerja kontrak sementara yang mendiami Diego Garcia untuk
jangka masa singkat. Sementelah, mereka telah hidup di pulau itu sejak
Revolusi Amerika iaitu hampir 200 tahun.
Jelas
Vine yang juga profesor antropologi di Universiti Amerika, Washington
DC, orang Chagos diimport dari Afrika, India dan sekitar Kepulauan
Melayu bagi bekerja di ladang kelapa dan kopra (kelapa kering) di pulau
itu.
Nenek moyang
Diego
Garcia yang merupakan salah satu daripada 52 pulau dalam Kepulauan
Chagos pada asalnya bukanlah penempatan manusia. Ia ditemui pelayar
Portugis, Vasco de Gama sekitar 1500-an tetapi tidak diiktiraf di dalam
peta dunia.
Pada
abad ke-18 (1700-1800), Perancis meletakkan Diego Garcia di bawah
jajahan Mauritius. Hamba-hamba yang dibawa masuk ke pulau itu untuk
sektor agrikultur kemudiannya menjadi majoriti penduduk dan merupakan
nenek moyang keturunan Chagos hari ini.
Pangkalan tentera bersama Amerika Syarikat dan Britain
bagi meluaskan dominasi di Asia Barat.
British
kemudian menawan Mauritius ketika Perang Napolean dan mendapat milikan
ke atas Diego Garcia menerusi Perjanjian Paris. Tidak lama kemudian,
pada tahun 1883, sistem perhambaan dihapuskan dalam sistem empayar
British membolehkan orang Chagos membina peradaban sendiri.
Sehingga
tahun 1971, pendapatan utama penduduk pulau itu diperoleh hasil
perdagangan minyak kelapa. Ia merupakan sektor perladangan yang
menguntungkan kerana minyak kelapa itu dijadikan minyak mesin yang
berkualiti dan digunakan dalam lampu-lampu di Eropah.
Setahun
selepas penubuhan Jajahan Lautan Hindi British (BIOT) pada tahun 1965,
satu perjanjian rasmi telah ditandatangani antara United Kingdom (UK)
dan AS bagi menjadikan Diego Garcia sebagai pangkalan tentera bersama.
Bagi
menguatkuasakan perjanjian itu, Britain memisahkan Kepulauan Chagos
daripada jajahan Mauritius, biarpun tindakan mereka menyalahi
undang-undang penyahjajahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berdasarkan
perjanjian itu, Diego Garcia dipajak kepada AS sebagai pertukaran
pemansuhan hutang membeli peralatan ketenteraan bernilai AS$14 juta
(RM45 juta).
Laman
web Infoplease menyatakan, Diego Garcia terletak di luar rangkaian
siklon (angin puting beliung) menjadikan ia pangkalan tentera efektif
ketika Perang Dingin dan bagi memerhati pergerakan Kesatuan Soviet.
Fungsinya sebagai pangkalan hadapan juga diiktiraf ketika Perang Teluk
1991.
"Menerusi
Diego Garcia, AS boleh meluaskan kuasanya di sepanjang Asia Barat,
Afrika Timur, India, Australia dan Indonesia," jelas Vine yang
menyatakan AS kini memiliki kira-kira 1,000 buah pangkalan termasuk 287
di Jerman, 130 di Jepun dan 57 di Itali.
Diego
Garcia juga dilengkapi pesawat pengebom terbesar AS termasuk Air Force
B-52, B-1B dan B-2. Buktinya pada 17 Disember 1998, hampir 100 peluru
berpandu kruis jarak jauh dilancarkan ke Iraq di bawah Operasi Desert
Fox.
Pada 7
Oktober 2001 pula, AS sekali lagi menggunakan Diego Garcia sebagai
pelancar pesawat pengebom B-52 dan B-2 bagi menyerang Afghanistan.
Biarpun terletak lebih 4,828km dari selatan Iraq, ia tidak mengundang
sebarang masalah logistik kepada AS. Malah Tentera Udara AS pernah
mendedahkan bahawa B-52 mereka boleh menjangkau jarak melebihi 14,162km.
Seperti
yang dinyatakan pada laman web rasmi Fasiliti Sokongan Tentera Laut
Diego Garcia, kedudukan terpencil pulau itu membolehkan ia menjadi hab
kunci bagi mengesan satelit dan bertindak sebagai salah satu daripada
lima stesen pengawasan Penentu Kedudukan Global (GPS). Ia turut
dilengkapi sistem Pengawasan Angkasa Optikal Elektro Darat bagi mengesan
objek di ruang udara.
Dokumen rahsia
Berbalik
kepada tuntutan hak kembali ke Diego Garcia oleh orang Chagos, pada
tahun 2000, Bancoult bersama peguamnya, Richard Gifford berjaya menemui
dokumen-dokumen rahsia yang telah diubah status berhubung penjelasan
perjanjian antara AS dan Britain berkenaan pembinaan pangkalan tentera
Diego Garcia.
Pendedahan
daripada pihak Bancoult membawa kejayaan bermakna. Mahkamah Tinggi
Britain memutuskan bahawa memindahkan penduduk asal Diego Garcia sebagai
satu kegiatan haram.
"Orang
Chagos tidak pernah menolak pangkalan AS di Diego Garcia tetapi mereka
berkecil hati kerana dinafikan peluang pekerjaan di sana," ujar Gifford.
Penduduk asal merupakan petani dan nelayan.
Bagi
mengekang kemaraan orang Chagos, kerajaan Britain mengeluarkan Titah
Berkenan pada tahun 2004 bagi mengharamkan penduduk asal untuk kembali.
Prerogatif diraja tradisional itu membolehkan Britain menolak keputusan
Mahkamah Tinggi pada tahun 2000.
Namun
pada Mei 2006, Mahkamah Tinggi di London memutuskan bahawa orang Chagos
mungkin boleh pulang ke pulau lain di dalam Kepulauan Chagos dan
menyifatkan tindakan kerajaan Britain sebagai menyalahi undang-undang
dan melanggar standard moral.
Menurut
laporan Huffington Post, meskipun tiga mahkamah rendah di Britain
berpihak kepada orang Chagos, keputusan Mahkamah Tinggi dengan margin
3-2 berpihak kepada kerajaan Britain meranapkan impian penduduk asal
Diego Garcia. Tahun lalu, Mahkamah Hak Kemanusiaan Eropah juga menolak
rayuan akhir orang Chagos.
"Ia
adalah pangkalan penting, saya setuju tetapi pada masa yang sama, mereka
perlu sedar bahawa manusia juga penting," luah Alexis
Sumber: sentiasapanas.com
No comments:
Post a Comment