(Oleh Amirul Azhan)
IPOH
20 APRIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mendedahkan
barangan apa sebenarnya yang dibawa dalam kargo MH370 dan cuba
disembunyikan daripada pengetahuan umum, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua
Umum KEADILAN itu berkata, banyak persoalan berhubung misteri
kehilangan pesawat berkenaan belum dijawab Kerajaan Malaysia termasuk
penjelasan mengenai kandungan kargo.
"Setiap
kapal terbang yang berlepas mesti ada 'cargo manifest', maknanya
keterangan barangan yang dibawa dan semuanya direkodkan, (tapi) yang ada
(dalam MH370) hanyalah empat tan manggis dan bateri (lithium ion).
"Sampai
sudah Kerajaan Malaysia dan MAS belum bagi maklumat dan masih lagi
berahsia. Kenapa takut sangat? Benda apa yang nak dicuri? Apa sebenarnya
barang yang nak dibawa ke China? Najib tolong beritahu," kata Anwar, di
hadapan 4,000 hadirin pada ceramah Jelajah Reformasi 2.0 di Wisma
KEADILAN, Bandar Ipoh Raya, Jumaat lalu.
Sehingga
kini tiada laporan bahawa kerajaan menyerahkan butiran mengenai
kandungan kargo itu kepada Kerajaan Australia seperti diminta.
Ketua
Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada 18 Mac menafikan MH370
membawa barangan berbahaya, sebaliknya menyatakan hanya terdapat tiga
hingga empat tan manggis dalam pesawat itu. Namun, empat hari selepas
itu beliau mengesahkan pesawat itu membawa muatan bateri lithium ion dan
juga platform kayu untuk muatan kargonya.
Anwar
selanjutnya, mempersoal kelemahan ketara yang cuba ditutup kerajaan
iaitu keupayaan sistem radar milik negara mengesan MH370.
Menurut
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, radar Malaysia sepatutnya mampu
mengesan MH370 kerana kerajaan membeli sistem radar daripada Marconi
untuk kawasan utara Malaysia.
"Radar
Marconi dipasang di Pangkalan Udara (PU) Gong Kedak dibeli dengan kos
RM1.2 bilion adalah canggih. Lalu lintas pesawat pelbagai saiz semua
boleh nampak dan pesawat negara boleh memintas untuk tindakan segera
jika ada pesawat misteri yang dikesan melalui ruang udara. Macamana
radar boleh tak nampak? Kenapa rahsiakan maklumat ini dan tidak disampai
kepada rakyat?
"Radar
ada, tentera udara ada, Menteri Pertahanan pun ada, kalau kapal terbang
tanpa kebenaran masuk dan lalu semua negeri dan jika dibom Komtar dan
datang ke Ipoh macamana? Tentunya keselamatan kita tak boleh dijamin
oleh Menteri Pertahanan, sebab itulah Hishammuddin (Hussein) mesti letak
jawatan," tegas Anwar.
Turut
dibangkitkan Anwar termasuk mengenai kehadiran dua penumpang warga Iran
yang menggunakan pasport curi semasa menaiki penerbangan itu.
"Bagaimana
pasport curi dari Itali boleh dipakai oleh orang Iran dan bolos masuk
Imigresen sedangkan kita ada sistem canggih dan hal ini terlebih dahulu
diberitahu oleh Interpol sekiranya ada berlaku kecurian pasport," kata
Anwar.
Tegasnya,
tiga persoalan penting ini yang masih belum dijawab, menguatkan dakwaan
bahawa kerajaan Umno BN cuba menyembunyikan maklumat kehilangan MH370.
No comments:
Post a Comment