Artikel ini berkaitan dengan TPPA. Secara umumnya idea TPPA adalah baik kerana ia memberi peluang kepada negara negara yang terlibat dengan TPPA untuk melebarluas pasaran ekonomi atau perdagangan negara mereka. Kita tahu banyak negara mungkin tidak dapat menembusi pasaran negara luar kerana wujudnya sekatan sekatan perdagangan seperti tarif import yang amat tinggi atau kouta atau lain-lain sekatan. TPPA bertujuan meliberalisasi perdagangan antarabangsa.
Malaysia terlibat dalam TPPA bersama sama 11 negara yang lain seperti USA, New Zealand, Peru, Singapura dan beberapa negara yang lain. TPPA kini masih dalam peringkat rundingan bagi menyelesaikan terma-terma yang dipersetujui yang melibatkan 29 bab merangkumi pelbagai sektor dan tidak terhad kepada sektor perdagangan sahaja.
Meskipun idea TPPA adalah baik namun aspek negatifnya mengatasi aspek positifnya sekaligus bantahan kepada TPPA disuarakan di dalam dan di luar Parlimen. Bantahan itu ada asas yang amat kuat. Pertamanya proses perundingan TPPA berjalan secara rahsia. Terma-terma yang hendak dibincang dan dipersetujui juga dirahsiakan.
Kami sebagai ahli Parlimen juga tidak diberi keistimewaan untuk diberi salinan draf perjanjian dan butir-butir rundingan. Di Parlimen, Menteri hanya memaklumkan bahawa hak dan kepentingan rakyat negara ini akan dilindungi namun apabila kita bertanya macam mana ia akan dilindungi dalam keadaan kita sebagai ahli Parlimen tidak dimaklumkan terma terma rundingan, Menteri tidak dapat menjawab.
Masalah pertama TPPA adalah, negara-negara yang terlibat tidak mempunyai kekuatan ekonomi yang seimbang. Ketidakseimbangan ini sudah pasti akan menjejaskan kuasa atau kekuatan rundingan kita (bargaining power). Sebagai contoh, di belakang negara Amerika adalah gergasi gergasi ekonomi seperti Wall Mart yang mempunyai kuasa melobi yang amat dominan. Dalam ketidaaan padang yang sama rata maka kita percaya negara kecil seperti Malaysia amat sukar untuk melindungi kepentingan rakyat hatta kedaulatan negara jika kita setuju tandatangan TPPA.
No comments:
Post a Comment