Meskipun
belum ada sebarang bukti serpihan pesawat MH370 dan cebisan mayat
penumpangnya ditemui sehingga ini, kerajaan dilaporkan sudah mahu
mengeluarkan sijil kematian, iaitu pengesahan rasmi bahawa kesemua
mereka ditakrifkan sudah meninggal dunia.
Timbalan
Menteri Luar Negeri, Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata bahawa
kerajaan memutuskan untuk mengumumkan status penumpang pesawat MH370
yang hilang sejak 8 Mac lalu dalam tempoh terdekat ini.
Pengumuman
tersebut, katanya, diambil selepas mendapat pengesahan daripada pakar
berkaitan dan bertujuan supaya waris penumpang itu dapat meneruskan
kehidupan mereka walaupun sukar menerima hakikat kehilangan anggota
keluarga tersayang mereka.
Keputusan
mahu mengeluarkan sijil kematian ini dipercayai diambil setelah
pencarian memasuki hari ke 47 masih juga gagal menemui sebarang bukti
pesawat itu terhempas di Lautan Hindi sebagaimana yang disimpulkan
melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Najib Razak.
Beberapa
isyarat "ping" yang dikesan, serpihan yang ditemui serta tompokan
minyak yang diuji, ternyata tidak berkaitan langsung dengan pesawat atau
kotak hitam milik MH370 itu.
Pada
masa yang sama, penyiasat antarabangsa juga dikhabarkan mula menyiasat
kemungkinan pesawat itu sebenarnya tidak terhempas di Lautan Hindi
sebagai yang dipercayai sebelum ini, tetapi kemungkinan ianya didaratkan
di sebuah lokasi yang lain atau terhempas di kawasan terpencil selain
daripada Lautan Hindi.
Laporan yang disiarkan oleh NST itu menyebut, ia adalah kemungkinan baru yang sedang diteliti ketika ini.
Sebelum
ini, laporan dari Russia juga menyebut MH370 tidak terhempas di Lautan
Hindi, sebaliknya dirampas dan semua penumpangnya disembunyikan di
sebuah perkampungan kabilah antara Afghanistan dan Pakitan.
Sementara
itu, dalam masa yang sama, Hamzah juga berkata misi pencarian di Lautan
Hindi masih perlu diteruskan dengan kemungkinan menggunakan lebih
banyak aset atau kawasan pencarian diperluaskan lagi.
Jika
misi pencarian masih diteruskan dan skalanya pula berubah ke kawasan
lain serta lebih banyak aset mungkin digunakan, mengapakah begitu cepat
kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian?
Apakah
ini menandakan misi pencarian akan ditamatkan dan kes akhirnya akan
ditutup dengan cara membayar sejumlah wang pampasan kepada waris mangsa?
Apakah wang benar-benar cukup bernilai kepada waris mangsa berbanding ahli keluarga yang masih belum diketahui nasibnya itu?
Sehingga
ini, memang dilaporkan ramai waris mangsa tidak bersetuju dengan
tindakan kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian itu sehingga mereka
benar-benar diberikan bukti bahawa pesawat itu telah terhempas dan
penumpangnya meninggal dunia.
Bagi
kebanyakan waris, bukti nyata tentang kematian adalah perlu dibuktikan
terlebih dahulu sebelum mereka diberikan sijil kematian yang diikuti
dengan pemberian sejumlah wang pampasan.
Ramai
waris yang menolak tindakan kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian
tanpa sebarang bukti itu dan menganggapnya sesuatu yang tidak patut
dilakukan ketika ini.
Setelah
mengeluarkan kenyataan bercanggah, tidak telus dan tidak tepat mengenai
misteri kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu, tindakan mahu
mengeluarkan sijil kematian hanya setelah misi pencarian gagal menemui
sebarang bukti dalam tempoh 47 hari, ia adalah satu lagi bukti kegagalan
kerajaan bertindak waras dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan
perikemanusiaan.
Tidakkah
tindakan mengeluarkan sijil kematian ini menunjukkan prosesnya menuju
ke arah penutupan kes? Walaupun misi pencarian akan diteruskan, tetapi
setelah sijil kematian dikeluarkan, sudah tentulah usaha tidak dilakukan
dengan bersungguh-sungguh lagi?
Kenapakah
hanya setelah 47 hari misi pencarian, kerajaan seolah-olah sudah
berputus asa dan lebih selesa ianya diakhiri dengan kematian?
Bukankah Islam menetapkan pengisytiharan kematian hanya setelah 4 tahun manakala undang- undang negara pula setelah 7 tahun?
Bagaimana jika setelah sijil kematian dikeluarkan, pesawat itu akhirnya dapat ditemui dan semua penumpangnya masih hidup?
Dalam hal ini, kerajaan tidak seharusnya terlalu awal mahu membuat kesimpulan penumpangnya telah meninggal dunia.
Jika
kesimpulan pertama yang diumumkan Najib sebelum ini bahawa pesawat itu
berakhir di Lautan Hindi dan kemudian merakamkan usul takziah di
Parlimen, ternyata masih gagal dibuktikan kebenarannya serta menyinggung
perasaan waris mangsa, kesimpulan penumpangnya telah meninggal dunia
melalui pengeluaran sijil kematian ini sekali lagi mengguris perasaan
mereka.
Seharusnya,
sebagaimana yang kerapkali dijanjikan bahawa pencarian akan diteruskan
sehingga bangkai pesawat, cebisan mayat dan kotak hitam ditemui, ia
benar-benar menjadi ungkapan janji yang ditepati. Janganlah cepat
membuat pusingan U atau menuju ke persimpangan lain sebelum tiba ke
destinasi yang dijanjikan.
Jika
tidak, ia lebih mendedahkan kelemahan kerajaan dan seolah-olah benarlah
tanggapan bahawa banyak yang cuba disembunyikan di sebalik kehilangan
pesawat itu. – shahbudindotcom.blogspot.com
Oleh Shahbudin Husin
No comments:
Post a Comment